Monday, May 19, 2008

APA MUSLIHAT MAHATHIR KELUAR UMNO?

Dunia Politik Malaysia dikejutkan dengan berita sensasi Mahathir isytihar keluar Umno. Ada ura-ura Tengku Razaleigh juga akan keluar tetapi beliau telah jawab bahawa tidak berminat keluar kerana mahu bertanding kerusi Presiden lawan Pak Lah.

Mahathir keluar Umno tidak bemakna beliau akan masuk Pas, PKR, lebih-lebih lagi DAP. Penganalisis politik membuat pelbagai andaian terhadap tindakan ahli Umno yang memegang nombor ahli 001 itu.

Ada yang berpendapat bahawa ini merupakan strategi Mahathir untuk sabotaj Ku Li agar tidak ada bahagian Umno yang aka mengundinya kelak. Ada juga mengatakan Mahathir berpakat dengan Pak Lah untuk menyekat Ku Li. Berita yang menyusul selepas Mahathir letak jawatan antaranya ialah 300 ahli Umno Cawangan di Parlimen Merbok juga isytihar keluar parti dan bersama-sama bekas presiden itu. Yang lagi menarik ialah 200 cawangan Umno lagi akan isytihar keluar parti.

Mahathir berharap anaknya Mukhriz juga isytihar keluar tetapi setakat ini Mukhriz belum memberi kata putus dan berkata bahawa beliau masih berfikir lagi. Barangkali tindakan Mahathir itu tidak dibincangkan dengan Mukhriz, dan barangkali ia merupakan suatu strategi agar rakyat tidak menyedari perancangan mereka, seolah-olah ia berlaku kerana tindakan sendiri dan bukannya konspirasi.

Penulis Mohd Sayuti Omar pula memberi gambaran bahawa tindakan Sanusi Junid keluar juga bertujuan untuk bersama-sama dengan Pas. Beliau sempat menyebut kepada Sayuti, "kini saya sudah tidak ada masalah lagi kalau nak bercakap dengan Pas,".

Mahathir sendiri memberi gambaran bahawa tindakan beliau keluar hanya kerana tidak percaya kepada Pak Lah dan menyatakan kemungkinan menyertai semula Umno setelah Pak Lah diganti. Siapa yang menjadi pilihan hati Mahathir? Beliau tidak menyebut secara jelas tetapi tidak kisah asalkan bukan Pak Lah.

Husam Musa pula mengarahkan jentera pilihanraya di semua peringkat bersiap sedia untuk hadapi Pilihanraya Umum yang mungkin akan berlaku dalam masa terdekat ini akibat kemelut terhebat dalam kepimpinan Umno itu. Kalau betullah Pilihanraya akan diadakan, bagaimana pula peranan Agong? Adakah DYMM As Sultan akan memperkenankan untuk bubar parlimen?

Ada juga berpendapat bahawa tujuan Mahathir adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu video Lingam. Ini kerana beliau merupakan salah seorang yang akan didakwa berhubung kes tersebut.

Ada juga yang meramalkan Mahathir akan tubuh parti baru untuk selamatkan melayu. Ini tidak mungkin berlaku kerana Mahathirlah orang yang tubuh semula Umno selepas dimansuhkan oleh Mahkamah suatu ketika dulu. Kalau beliau mahu tubuh parti baru, sudah tentu beliau tubuh lama dahulu. Sudah tentu juga namanya tidak Umno lagi. Mahathir yang kononnya sayang Melayu, takkan ingin melihat Melayu berpecah lagi dengan adanya parti baru. Parti Semangat 46 pimpinan Ku Li dahulu merupakan hujah bahawa Mahathir tidak setuju adanya parti lain berjuang untuk melayu. Kalau tidak, masakan Mahathir menyatakan hasratnya untuk kembali kepada Umno apabila orang lain memimpin Umno.

Apa pun, macam-macam boleh terjadi dalam politik. Kadang-kadang perkara yang tidak pernah terfikir pun boleh berlaku. Bak kata pepatah, "There is no such permanent friends and there is no such permanent enemies in politics." Jadi, Mahathir mungkin berpakat dengan sesiapa sahaja termasuklah dengan Pakatan Rakyat. Nik Aziz apabila ditanya isu ini, beliau berkata, "Saya lah antara orang yang paling bahagia..". Apabila ditanya apa komen sekiranya Mahathir sertai Pas, beliau berkata Mahathir amat dialu-alukan sekiranya beliau berminat tetapi menegaskan tidak akan menawarkannya kepada Mahathir. Mustahil bekas pemimpin tertinggi negara itu tidak menyertai mana-mana parti politik.

Najib pula membayangkan beliau bersedia untuk bertemu dengan Mahathir. Manakala Tun Musa Hitam berkata bahawa Mahathir bagaikan duri dalam daging yang sudah dikeluarkan. Ada Ahli Akademik melihat peristiwa ini sebagai suatu petanda yang tidak baik kepada kestabilan politik tanahair kerana ia boleh mempengaruhi ekonomi Malaysia. Mungkin akan ada pelabur-pelabur luar negara yang tarik balik pelaburan kerana tidak mahu tanggung risiko.

No comments:

Related Posts with Thumbnails