Sunday, January 6, 2013

ISU AMANAT HAJI HADI



MENGULAS KOMENTAR-KOMENTAR BERKAITAN ISU AMANAT HAJI HADI
Mutakhir ini, isu ‘Amanat Haji Hadi’ dilihat begitu jelas kembali menguasai media arus perdana di negara kita. Media elektronik dan media cetak begitu teruja untuk menganjurkan pendedahan,  ulasan dan anekdot-anekdot yang boleh dikaitkan dengan apa yang dikatakan sebagai ‘Amanat’ tersebut. Sementara itu, pihak-pihak yang terlibat dalam membicarakan dan membuat pendedahan isu ini meliputi menteri,  JAKIM, Ulama’ Muda UMNO,pemimpin-pemimpin politik, bekas-bekas ahli PAS, ahli-ahli akademik, tokoh-tokoh masyarakat dan juga orang ramai.
Secara umumnya, hasil perbincangan dan pendedahan tersebut merumuskan bahawa ‘Amanat’ tersebut telah membuktikan bahawa Presiden PAS, pimpinan PAS, ahli PAS dan penyokong PAS telah menyeleweng daripada ajaran Islam yang tulen, mengamalkan budaya kafir mengkafir dan merosakkan perpaduan masyarakat melayu Islam di negara ini. Oleh itu masyarakat Islam di negara kita hendaklah menjauhkan diri daripada organisasi PAS yang serba songsang itu.
Tidak dapat dinafikan bahawa ada di antara pihak-pihak yang memberikan pandangan tentang isu ini begitu ikhlas dalam menyuarakan pandangan  mereka. Harapan mereka ialah beberapa kesalah-fahaman terhadap isu ‘Amanat’ itu dapat dirungkai secara lebih objektif. Tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah, isu ini sengaja diangkat tinggi oleh pihak media perdana untuk diulas secara ‘ikhlas’ bagi menjayakan agenda tersembunyi yang lebih besar.  Iaitu menghilangkan kredibiliti Presiden PAS dan PAS sendiri sebagai wadah politik yang memperjuangkan Islam dan kepentingan ummat Islam di Malaysia, yang majoritinya berbangsa melayu.
Hakikatnya, isu ‘Amanat’ ini ditimbulkan bukanlah bertujuan untuk menyelesaikan kemelut-kemelut yang didakwa timbul daripada isu ‘Amanat’ itu.  Tetapi ia lebih kepada menjayakan agenda politik pihak tertentu sebagai perang propaganda bagi merosakkan nama baik PAS di mata rakyat. Tambahan lagi, pilihanraya Umum ke-13 pun akan diisytiharkan pada bila-bila masa sahaja. Ibarat kata pepatah; telunjuk lurus, kelingking berkait.
Inilah sebabnya, kita dapati para pengulas yang mengupas isu ‘Amanat’ tersebut tidak hanya memfokuskan perbincangan kepada isi kandung ‘Amanat’ tersebut secara objektif. Bahkan, mereka sengaja meluaskan skop perbincangan kepada prasangka-prasangka yang dibina di atas persepsi dan kesimpulan bahawa ‘Amanat Haji Hadi’ telah mengkafirkan orang UMNO.
Dengan itu, ‘Amanat’ turut dikaitkan dengan;   
1.       Isu kafir mengkafir  dalam masyarakat melayu Islam di negara kita.
2.       Anekdot-anekdot tentang pengikut-pengikut PAS di  kampung mereka yang mengkafirkan UMNO, sembahyang dua imam dan tidak hadir jemputan kenduri kendara.
3.       PAS telah mengamalkan politik memecah belah dan merosakkan perpaduan masyarakat melayu Islam di negara kita.
Walhal, untuk menyalahkan ‘Amanat Haji Hadi’ kepada 3 isu besart tersebut memerlukan para pengkritik dan pengulas’Amanat’ terlebih dahulu membuktikan perkara-perkara berikut;
1.       Dimanakah teks ‘Amanat Haji Hadi’ yang menyebut secara terang dan nyata mengkafirkan orang UMNO?
2.       Adakah ‘Amanat Haji Hadi’ mengandungi gesaan kepada ahli-ahli PAS supaya memulaukan masjid dan kenduri kendara orang-orang UMNO?
3.       Apakah isu-isu politik yang dikenalpasti digunakan oleh PAS untuk memecah belah dan merosakkan perpaduan masyarakat melayu Islam di negara kita?
Mari kita lihat ‘Amanat Haji Hadi’, patah demi patah, baris demi baris;
“Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Budha. Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku'.”
Intipatinya;
1.     PAS menentang UMNO dan BN dalam pilihanraya adalah kerana UMNO dan BN mengekalkan perlembagaan penjajah yang tidak berlandaskan syariat Islam, bukan kerana faktor namanya.
2.     Perjuangan PAS untuk mendaulatkan Syariat Islam di medan politik pilihanraya adalah suatu bentuk jihad, di mana usaha-usaha penerangan dan derma-derma untuk tujuan itu, juga termasuk dalam cabang-cabang jihad.
3.     Perjuangan untuk menegakkan syariat Islam tidaklah mudah kerana di sana ada halangan dan rintangan, oleh itu pendokong PAS mestilah sentiasa mengharapkan pertolongan daripada Allah Taala.
4.     Menentang UMNO dan BN yang enggan menegakkan Syariat Allah secara syumul memerlukan pendokong PAS bersabar dengan karenah pendokong UMNO dan BN yang akan menggunakan jentera kerajaan, media, pemuda tahan lasak dan sebagainya untuk menghalang usaha-usaha penerangan dan dakwah yang cuba dilakukan oleh PAS. Bukan senang untuk berhadapan dengan legasi serangan pemikiran yang ditinggalkan oleh penjajah.
5.     Jika serangan UMNO dan BN sampai ke tahap paling ganas sehingga tidak mempedulikan batasan sistem demokrasi dan sampai ke tahap membahayakan nyawa, pendokong PAS tetap perlu bersabar dan bertahan.Dan jika nyawa mereka diragut dalam proses tersebut, kematian mereka tidak sia-sia, bahkan mereka syahid di sisi Allah Taala.
6.     Sebagai orang Islam, kita perlu berhati-hati dalam tutur kata kerana ada beberapa perkara yang boleh menjadikan seseorang Islam itu murtad dan terkeluar daripada Islam, walaupun dia tidak menukar agamanya secara langsung kepada Budha, Hindu atau Kristian.
7.     Antaranya sebab yang menyebabkan seseorang itu murtad ialah dengan mengatakan bahawa agama suku dan politik suku, iaitu mengatakan bahawa  agama Islam terhad kepada perlaksanaan rukun-rukun Islam semata-mata dan tidak mencakupi semua aspek kehidupan termasuk politik dan pemerintahan.    
Menjawab 3 persoalan tadi,
1.       Tidak ada kelihatan pada teks ‘Amanat Haji Hadi’ yang mengkafirkan orang UMNO.

Yang ada hanyalah ‘Amanat’ itu menyebutkan secara umum, seseorang itu boleh menjadi murtad dengan mengatakan agama suku dan politik suku. Tidak semestinya orang yang berkata begitu terus dihukum murtad, dia boleh jadi murtad jika berkata begitu dengan faham.Tetapi, jika dia berkata begitu kerana jahil, dia berdosa besar dan wajib bertaubat.

2.       ‘Amanat Haji Hadi’ juga tidak langsung menyentuh tentang gesaan kepada ahli-ahli PAS supaya memulaukan masjid dan kenduri kendara orang-orang UMNO.

Yang ada ialah gesaan supaya ahli PAS bersabar menghadapi apa jua ancaman dan karenah UMNO dan BN dalam berjihad menyampaikan penerangan dan dakwah tentang perjuangan PAS untuk menegakkan Syariat Allah di bumi Malaysia tercinta. Antara usaha berjihad menyampaikan penerangan dan dakwah ialah mendekati orang-orang UMNO dan BN di masjid-masjid, kenduri kendara dan mendirikan pusat khidmat masyarakat di setiap DUN. Bukan memusuhi dan menjauhi mereka dengan mengkafirkan mereka.

3.       Persoalan ketiga berkaitan dengan isu-isu politik yang dikemukakan oleh PAS di medan politik Malaysia telah mengakibatkan pecah belah dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia, perlu dibincangkan dengan lebih khusus dan tidak dalam ruang Amanat sebanyak 2 perenggan itu sahaja.

Isu-isu politik yang diperjuangkan oleh PAS sejak 60 tahun yang lalu tentulah terlalu banyak untuk disebut di sini. Antara yang masih diperjuangkan ialah untuk memartabatkan sistem pemerintahan berteraskan Syariah yang adil untuk semua, menuntut tadbir urus kerajaan yang telus dan bertanggungjawab, memerangi peningkatan kadar jenayah tegar dengan undang-undang jenayah Islam, membentuk kerajaan yang telus dan bebas rasuah. PAS juga menentang cara berpolitik berasaskan dendam politik yang rakus dengan memalukan musuh politik yang merupakan saudara melayu Islam dengan per tuduhan zina dan liwat tanpa saksi yang disiarkan dalam media-media arus perdana selama hampir 15 tahun. PAS juga menentang tindakan Kerajaan Pusat merampas hak royalti minyak daripada kerajaan-kerajaan negeri kerana ia melanggar perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri pada zaman Tun Abdul Razak.

Saya fikir isu-isu ini bukan akan menyebabkan orang melayu semakin berpecah belah, bahkan menyebabkan mereka semakin bersatu dan semakin kuat untuk membawa Malaysia lebih ‘cemerlang, gemilang dan terbilang.’
Terbaru, dalam tulisan Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang bertajuk ‘Menilai Amanat Haji Hadi dengan Adil’, beliau telah memberikan ulasan berpandukan kepada buku ‘Menuju PAS Baru’ karangan YB Dr. Mujahid Yusof Rawa dan juga pengalaman peribadi beliau yang telah mengaitkan tindakan kafir mengkafir adalah kesan daripada’ Amanat Haji Hadi’.
Pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan’ Amanat Haji Hadi’ kerana segelintir kecil penyokong PAS salah faham terhadap apa yang disebut oleh Amanat itu. Ini kerana Amanat itu terang dan jelas sekali tidak mengkafirkan orang UMNO. Cuma dalam masa yang sama,  ia turut mengandungi peringatan supaya berhati-hati dalam tutur bicara, kerana akidah juga boleh tertanggal dengan iktikad, perkataan dan perbuatan. PAS menjadikan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias sebagai dasar parti. Oleh itu, apa yang disebutkan sebagai ‘Amanat’ itu perlu difahami mengikut konteks tersebut.
PAS dalam era kepimpinan Ulama’ sangat menekankan konsep perjuangan berdasarkan berteraskan ahli yang berilmu dan beramal sejak di bawah al-Marhum Tuan Guru Haji Yusof Rawa, bapa kesayangan YB Dr. Mujahid dan mantan al-Mursyidul Am PAS yang pertama yang sangat dekat dengan hati setiap pendokong PAS. Para ulama’ di dalam PAS termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sendiri, sentiasa berusaha mentarbiyyah ahli-ahli PAS meningkatkan kualiti ilmu dan amal mereka dalam kerja-kerja dakwah dan perjuangan Islam, sehingga kita dapati pada hari ini tidak ada seorang pun ahli PAS yang menghukum orang UMNO sebagai kafir.
Jika ada orang yang mengatakan hukum Islam tidak sesuai dijalankan pada zaman moden ini atau menghina janggut Baginda Rasulullah SAW, mereka hanya berkata akidah orang yang berkata demikian dalam keadaan bahaya kerana perkataan sebegitu boleh menjerumuskan seseorang ke lembah murtad jika disebut dengan faham, dan berdosa besar jika dengan jahil. Penentuan murtad sebenar mestilah melalui proses mahkamah syariah, kerana seseorang yang mengeluarkan kalimah kufur, mungkin jahil dan telah bertaubat tanpa pengetahuan yang mendengar. Maka mahkamah syariahlah yang patut memutuskan kafir atau tidak kafirnya seseorang lantaran perkataan atau perbuatannya. Ini memerlukan akta murtad.
Satu lagi isu ialah tentang PAS yang pada hari ini turut mempertahankan perlembagaan Malaysia. Isu ini agak panjang untuk diulas di sini. Tetapi ia adalah sesuatu yang tak dapat kita nafikan ialah Perlembagaan Malaysia pada hari sudah banyak mengalami pindaan-pindaan. Dan terdapat juga beberapa elemen dalam perlembagaan yang tidak bersalahan dengan Islam bahkan menepati dengan sistem pemerintahan Islam. Mengenai perlaksanaan hukum  hudud yang bertentangan dengan perlembagaan persekutuan, PAS akan terus berjuang untuk meminda perlembagaan bagi tujuan itu berdasarkan kerangka sistem demokrasi berparlimen yang adil dan telus, iaitu dengan mendapat sokongan 2/3 majoriti ahli dewan Rakyat.
Yang menjadi masalahlah, pihak yang kononnya mempertahankan perlembagaan seringkali bertindak melampaui batasan perlembagaan dan membelakangi hasrat dan kehendak perlembagaan. Antaranya hak untuk bersuara telah dinafikan dengan sekatan berupa akta dan undang-undang. Termasuk hak untuk setiap parti politikmendapat akses kepada media secara adil.
Tulisan Dr. Maszlee Malek bertajuk ‘Apa ada dengan Amanat Hadi’ lebih menjurus kepada sebab sebenar kenapa isu ‘Amanat’ ditimbulkan semula. Dr. Maszlee menyebutkan bahawa beliau sendiri tidak nampak isu mengkafirkan UMNO terdapat dalam’ Amanat’. Ia artikel yang pendek tetapi meyakinkan.
 Membicarakan dan menilai isu ‘Amanat Haji Hadi’ dengan cara yang paling adil dan saksama ialah dengan memberikan ruang sependek 1 jam di media perdana untuk Presiden PAS untuk menjelaskan isu yang dikatakan membelenggu masyarakat melayu Islam di Malaysia selama lebih 30 tahun.

Ustaz Zakaria Ismail
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang
6 Januari 2013 bersamaan 23 Safar 1434 H
insanberpotensi@yahoo.com
Related Posts with Thumbnails