Wednesday, August 27, 2008

AKHIRNYA ANWAR BERSUMPAH

Dalam kemelut isu liwat yang dimainkan akhir-akhir ini, penganlisis politik menjangkakan sokongan melayu terhadap Pakatan Rakyat akan 'swing' khususnya di Pilihanraya Kecil P 44 Permatang Pauh. Mereka menjangkakan sebanyak 30 % undi melayu akan swong kepada BN setelah SUMPAH SAIFUL baru-baru ini. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa sendiri dalam temuramahnya bersama The STAR, menggambarkan ada segeintir masyarakat yang sudah mula percaya dengan tuduhan liwat kerana desakan Umno agar Anwar bersumpah tidak dilayan. Betapa sebatinya sumpah dengan masyarakat terutamanya Melayu yang masih berpegang bahawa sesiapa yang bersumpah adalah benar walaupun hakikatnya tidak semestinya begitu.

Kebimbangan itu terus wujud dalam pilihanraya permatang pauh pada 26 Ogos lalu. Namun keputusan pilihanraya adalah jawapan kepada telahan itu. Sumpah Saiful beribakan Al Qur'an tidak menjadi, bahkan menambahkan sokongan kepada Anwar yang menang bergaya dengan majoriti besar 15, 671. Ini mengatasi majoriti yang diperolehi oleh penyandang Wan Azizah dengan 13, 398. Bertambah sebanyak 2273 undi !!!

Penulis yang sempat berada di Permatang Pauh mendapati peratus keluar mengundi hanya 65.5 % sehingga jam 5 petang. Tetapi berita tv pada malam pengumuman mengatakan sebanyak 81 % keluar mengundi. Ada wartawan yang 'helo' penulis dan beritahu bahawa 2 jam ditambah masa pengundian. Penulis hairan bagaimana boleh ditambah masa pengundian dengan mudah? Akhirnya penulis dapat maklumat bahawa masa tambahan diberi kepada pusat pengundian di dun Seberang Jaya(dun yang dimenangi oleh BN pd PRU12). Alasannya kerana ada kekecohan yang dicetuskan oleh penyokong Pakatan Rakyat yang menyebabkan orang ramai tidak boleh membuang undi.

Malam pengumuman, peringkat awal pengumuman, semua saluran dimenangi oleh DSAI dengan majoriti yang banyak. Memandangkan keputusan saluran2 datang secara runcit, penyokong terpaksa menunggu dari jam 5 petang hinggalah 10 malam baru habis pengumuman. Yang paling akhir ialah saluran2 dari pusat pengundian di dun Seberang Jaya(Kubu Kuat BN). Waktu penulis sampai di Padang Dewan Maktab Tuanku Bainun, tiada seorang pun penyokong BN. Barangkali mereka sudah tahu kalah besar. Yang tinggal hanya khemah2 BN dengan sampah bersepah2. Botol 'holy water' BN, Payung BN yang menjadi bahan gurauan pengunjung. Ada yang memijak2 payung itu, ada yang ingin menyentuh tetapi membatalkan niat kerana disorak pengunjung lain. Ada juga yang mengelak dari terpijak dan tersentuh payung bercap BN itu seolah2 ada najis mughallazah. Banner2 Dato' Arif dicabut dari tempatnya untuk dijadikan alas duduk. Petugas2 FRU hanya memandang sepi kepada penyokong2 Anwar. Ada juga yang menunjukkan isyarat 'best' dengan ibu jari sebagai tanda sokongan.

Suasana di Permatang Pauh sangat luarbiasa. Penyokong dari seluruh pelusuk tanahair berkumpul dengan satu matlamat iaitu membantu dan memberi sokongan kepada Anwar untuk memenangi pilihanraya kecil P44. Penulis sempat meninjau kawasan pilihanraya dengan berkereta, yang menyebabkan penulis terkandas selama lebih dua jam antara simpang sebuah sekolah ke kubang semang. Di sepanjang jalan, penulis sempat terperasan loksi Lokman Adam berceramah yg hanya dihadiri oleh sekitar 50 hingga 60 penyokong BN. Penulis juga sempat melalui Markaz yang menempatkan petugas2 dari Terengganu yang hanya duduk diam dan kelihatan murung. Di sepanjang jalan, ramai penduduk kampung melaungkan reformasi dan macam2 lagi sambil melambai2kan bendera keadilan. Yang menarik, semua ahli keluarga bersama2 dalam kempen termasuklah kanak2 sekolah rendah sekalipun.

SUMPAH SAIFUL TIDAK BERKESAN


Kesimpulan dari keputusan pilihanraya ini, Sumpah Saiful tidak menjadi dan akhirnya semalam, Anwar Ibrahim BERSUMPAH juga tetapi bukan atas isu liwat......Bahkan sebagai AHLI DEWAN RAKYAT yang akan bertugas sebagai KETUA PEMBANGKANG DALAM PARLIMEN MALAYSIA.

Monday, August 25, 2008

MERUNGKAI ISU-ISU SYARA’ DI SEBALIK DAKWAAN LIWAT TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Oleh : Ustaz Zakaria Ismail

PENGENALAN

Sejak daripada timbul dakwaan liwat kali kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), kita sibukkan pula dengan isu sumpah, mubahalah, kesaksian dan perkara-perkara berkaitan. Terdapat banyak juga pandangan-pandangan daripada tokoh-tokoh agama seperti TG Dato’ Nik Abdul Aziz, TG Dato’ Seri Haji Abdul Hadi, Mufti Perlis, Mufti Perak, Dato’ Hasyim Yahya dan lain-lain. Dalam akhbar-akhbar ada memuatkan pandangan pemimpin-pemimpin negara mengenai isu tersebut.

Walaupun begitu, pandangan-pandangan tersebut dipetik secara terhad oleh media massa. Oleh itu, konsep keseluruhan tentang perkara ini tidak dapat ditanggapi oleh orang ramai. Ini membuka ruang kepada salah faham dan silap tanggapan dalam menilai pandangan-pandangan tersebut. Ada yang melihatnya sebagai saling bercanggah dan tidak konsisten. Ada juga yang mencampur adukkan beberapa konsep yang berbeza dalam membuat kesimpulan.

Ada juga pandangan yang terlalu jelas membesarkan isu tentang sahnya lafaz sumpah Saiful, tetapi tidak langsung mengaitkannya dengan hukum hudud mengenai liwat dan qazaf yang menjadi punca dan sebab kenapa Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat di masjid Wilayah Persekutuan. Iaitu pandangan mufti Wilayah Persekutuan Dr. Wan Zahidi Wan Teh.

Artikel ini bertujuan untuk meleraikan permasalahan tersebut dengan memberikan latar belakang tentang beberapa istilah syara’ yang digunakan oleh para ulama ketika memberikan komentar terhadap isu ini. Ini akan memudahkan kita memahami istilah dan konsep yang digunakan sehingga kita mampu menanggapi konsep keseluruhan terhadap isu yang dibangkitkan. Akhir sekali disertakan sedikit pandangan dan ulasan penulis mengenai isu ini.


PERBINCANGAN MENGENAI BEBERAPA ISTILAH SYARA’.


1. Liwat.

Liwat adalah perbuatan kaum Nabi Lut a.s. yang sangat dimurkai oleh Allah. Ia adalah dosa besar yang mendapat laknat dan kutukan daripada Allah. Liwat ialah perbuatan mendatangi seseorang melalui duburnya sama ada lelaki atau perempuan.

Allah berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 80 yang bermaksud;

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”

Mengikut pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie, jenayah liwat adalah sama seperti zina pada bentuk hukuman dan syarat pembuktian yang memerlukan empat orang saksi.

Si pelaku dikenakan hukuman sebat 100 rotan dan buang daerah selama setahun jika masih belum pernah berkahwin dan dihukum rejam jika pernah berkahwin. Sementara orang yang dilakukan liwat kepadanya selain daripada isteri disebat 100 rotan dan dibuang daerah selama setahun tanpa mengira sama ada dia pernah berkahwin atau belum.

Perbuatan liwat ke atas isteri juga adalah berdosa besar dan dilaknat oleh Allah tetapi dikenakan hukuman takzir dan tidak kenakan hukuman hudud. Takzir dalam mazhab Syafie tidak boleh menyamai atau melebihi daripada hukuman hudud yang paling ringan.

Ada juga qaul dalam mazhab syafie yang menyebutkan bahawa hukuman bagi perbuatan liwat ialah dibunuh berdasarkan suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam Ibnu Majah yang bermaksud, “Sesiapa yang kamu dapati dia beramal dengan amalan kaum Nabi Lut a.s., maka bunuhlah si pelaku dan orang yang dilakukan ke atasnya.”

Cara membunuh orang yang melakukan jenayah liwat itu pula diperselisihkan oleh para ulamak, sama ada dibunuh dengan pedang, dengan rejam, dengan diruntuhkan dinding ke atasnya atau dengan dicampak daripada atas bukit. (Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-kahtib, juzuk 12, ms 186)

Perbuatan liwat boleh disabitkan berdasarkan iqrar (pengakuan pelaku dan yang dilakukan ke atasnya) dan penyaksian oleh 4 orang saksi.

2. Qazaf.

Qazaf ialah satu kesalahan hudud iaitu menuduh seseorang melakukan zina dengan tujuan menghina dan memalukan orang yang dituduh tanpa membawa empat orang saksi. Hukuman bagi jenayah qazaf ialah hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali.

Berdasarkan pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie, jenayah liwat adalah sama seperti zina pada bentuk hukuman dan syarat pembuktian yang memerlukan empat orang saksi. Jadi menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti menuduhnya melakukan zina.

Dalil hukum qazaf ialah firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 4.

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”

Ada lima syarat kepada orang yang menuduh iaitu baligh, beraqal, bukan asal keturunan kepada orang yang kena tuduh (seperti ibu, bapa, datuk dan lain-lain), tidak dipaksa, mengetahui tentang pengharaman perbuatannya.

Mengenai syarat dipaksa, hendaklah dipaksa dengan sesuatu yang berat sehingga tidak berdaya untuk tidak melakukannya seperti ugutan bunuh. Paksaan itu pula hendaklah ditepis sekadar terdaya, jika tidak berdaya menepis setelah berusaha maka tidak dikenakan hukuman ke atas orang yang di paksa.

Ada lima syarat juga kepada orang yang dituduh iaitu Islam, baligh, beraqal, tidak pernah disabitkan dengan tuduhan zina ke atasnya dan dia tidak memberi izin kepada si penuduh untuk membuat tuduhan terhadap dirinya.

Satu lagi fakta yang penting dalam bab ini ialah orang yang kena tuduh boleh memaafkan si penuduh jika dia mahu, kerana qazaf adalah untuk memelihara hak keluhuran maruah seseorang yang kena tuduh, maka orang yang kena tuduh itu diberikan hak untuk memaafkan si penuduh jika dia mahu.

3. Sumpah.

Sumpah ialah memperteguhkan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah atau mana-mana sifat Allah ta’ala dalam bentuk ungkapan yang khusus. Dengan makna yang lebih mudah jika seseorang berhasrat untuk berbuat sesuatu perkara, seperti memberi sedekah atau meninggalkan sesuatu perkara, seperti berhasrat untuk berhenti merokok. Hasratnya ini boleh diperteguhkan dengan lafaz sumpah seperti wallahi, wabillahi dan watallahi. Begitu juga, jika seseorang membawa perkhabaran atau dakwaan, dia boleh memperteguhkan perkhabaran atau dakwaan itu dengan lafaz sumpah.

Implikasi daripada bersumpah ialah seseorang yang bersumpah itu berhadapan dengan dua keadaan.

Pertama, hendaklah dia menyempurnakan sumpahnya dengan menunaikan perbuatan yang dia bersumpah unuk melakukan atau meninggalkannya. Atau jika sumpah berbentuk perkhabaran atau dakwaan, perkhabaran atau dakwaan itu mestilah benar.

Kedua, dia melanggar sumpah iaitu dengan cara dia tidak menunaikan perbuatan yang dia bersumpah untuk melakukan atau meninggalkannya. Atau jika sumpah berbentuk perkhabaran atau dakwaan, perkhabaran atau dakwaan itu adalah dusta.

Sumpah dusta inilah yang disebut di dalam hadith sebagai al-yamin al-ghamus iaitu sumpah yang akan menenggelamkan orang yang bersumpah palsu itu ke dalam neraka. Sabda baginda s.a.w dalam suatu hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. bermaksud “Beberapa dosa besar ialah syirik kepada Allah, menderhaka kepada dua ibu bapa, membunuh dan sumpah bohong (al-yamin al-ghamus)”.

Jika melanggar sumpah, seseorang yang bersumpah itu wajib menunaikan kaffarah sumpah iaitu diberi tiga pilihan sama ada untuk membebaskan hamba, memberikan secupak makanan kepada sepuluh orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin. Orang yang bersumpah palsu pun dikenakan kaffarah sumpah selain daripada laknat dan kutukan Allah.

Hukum asal bersumpah ialah makruh kerana kita tidak digalakkan menyebut nama Allah bagi memperteguhkan hasrat atau perkhabaran yang kita bawa. Sepatutnya nama Allah disebut bagi tujuan membesarkan Allah dan memuliakannya. Hukum bersumpah berubah mengikut keadaan-keadaan tertentu kepada wajib, sunat, harus dan haram.

4. Hak bersumpah dalam menghadapi sesuatu dakwaan.

Jika seseorang membuat sesuatu dakwaan di hadapan Qadhi bagi menyatakan bahawa dia berhak ke atas sesuatu hak yang berada pada tangan orang lain maka dia hendaklah membawa bukti bagi menyokong dakwaannya.

Jika tidak ada bukti, maka orang yang kena dakwa dikehendaki bersumpah bagi menafikan tuduhan itu. Dalam keadaan ini, jika orang yang kena dakwa itu bersumpah menafikan tuduhan, maka gugurlah dakwaan tersebut dan tidak ada jalan lagi bagi orang yang mendakwa itu melainkan dengan membawa bukti. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith “Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan”.

Maksudnya, beban bukti tidak dikenakan kepada yang didakwa dan orang yang mendakwa pula tidak ada ruang untuk bersumpah. Kecuali jika orang yang kena dakwa itu tidak mahu bersumpah menafikan dakwaan. Mengikut mazhab Syafie, dalam keadaan inilah orang yang mendakwa dikehendaki bersumpah mengaku bahawa sesuatu hak yang didakwa itu adalah haknya. Dengan itu, hak tersebut diserahkan kepadanya. Keadaan ini disebut sebagai raddul yamin.

Dalam perkara ini, Syed Sabiq dalam Fiqh Sunnah berpendapat, kaedah ini hanya terbatas kepada perkara-perkara yang melibatkan harta sahaja. Ia tidak terpakai perkara-perkara jenayah dan hudud. Telah berlaku ijma’ dalam penggunaan kaedah ini dalam urusan harta kecuali dalam bab al-qasamah.

Satu lagi pendapat, ialah kaedah ini turut terpakai dalam juga dalam perkara hudud yang pada ghalibnya merupakan hak anak Adam iaitu qazaf, qisas yang melibatkan urusan diat dan perkara berkaitan nikah dan talak.

Bersumpah dalam mahkamah adalah bentuk pembuktian yang paling lemah berbanding dengan iqrar dan penyaksian oleh saksi yang adil.

5. Li’an (Mula’anah).

Ini adalah berkenaan sumpah laknat antara suami isteri. Maksud sumpah laknat ialah setiap orang mendoakan laknat Allah ke atas dirinya jika dia berbohong dalam sumpah masing-masing.

Di mana suami mempunyai hak untuk menuduh (qazaf) isterinya berzina tanpa mendatangkan empat orang saksi tetapi dia dikehendaki bersumpah laknat. Jika dia tidak membawa empat orang saksi; di mana dia dikira seorang daripada saksi dan tidak juga mahu bersumpah laknat, maka si suami itu dikenakan hukuman qazaf. Setelah suami bersumpah laknat maka si isteri wajib bersumpah laknat juga bagi menafikan tuduhan suaminya serta bagi mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman zina.

Perkara ini disebutkan dengan terperinci di dalam al-Quran dalam surah an-Nur, ayat 6 hingga 9.

Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.

6. Mubahalah.

Iaitu saling berdoa memohon laknat kepada orang yang berdusta dalam perkara yang menjadi pertikaian antara dua pihak. Ayat mubahalah diturunkan dalam peristiwa pertelingkahan kaum kristian Najran dengan Nabi Muhammad s.a.w. tentang kedudukan Nabi Isa a.s.

Kaum kristian Najran mendakwa nabi Isa a.s sebagai tuhan dan anak tuhan sementara Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa nabi Isa a.s. adalah seorang rasul yang merupakan hamba Allah. Lalu turunlah ayat mubahalah iaitu agar masing-masing saling berdoa agar Allah melaknat orang berbohong dalam perkara tersebut dengan membawa anak-anak dan orang perempuan.

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh (bermubahalah), serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta". Ali Imran : 61.

Akhirnya kaum kristian Najran tidak berani bermubahalah dengan Rasulullah s.a.w. kerana mengetahui kebenaran baginda sebagai seorang rasul. Jika bermubahalah maka pastilah mereka yang akan dilaknati oleh Allah kerana Allah tidak akan melaknati rasulNya s.a.w. Mereka pun menarik diri daripada bermubahalah dan bersetuju untuk membayar jizyah.

Satu lagi peristiwa yang dinukilkan oleh para fuqaha’ berkaitan mubahalah ialah dalam bab faraid iaitu dalam keadaan seorang perempuan meninggal dunia meninggalkan suami, ibu, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan seibu. Di mana Ibnu Abbas r.a. memberikan pendapat yang bercanggah dengan pembahagian yang dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab ketika hidupnya dalam masalah ‘aul. Lalu dikatakan kepadanya, “kenapa engkau tidak berkata begitu semasa Umar masih hidup?”. Ibnu Abbas menyatakan bahawa Umar adalah seorang yang mempunyai kehebatan yang tinggi dan menyebabkan beliau turut merasa gerun untuk berhadapan dengannya.

‘Atha’ bin Abi Rabah menyanggah dengan mengatakan kegerunan beliau tidak boleh jadi sandaran dalam perkara hukum. Oleh itu, pusaka dalam masalah itu hendaklah dibahagikan sebagaimana amalan orang ramai yang mengikut pembahagian yang dibuat oleh Umar.

Lalu Ibnu Abbas mengatakan “Jika orang ramai setuju, marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh (bermubahalah), serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

Lalu masalah faraid yang diperselisihkan itu dikenali sebagai masalah mubahalah kerana tawaran Ibnu Abbas untuk bermubahalah bagi mengesahkan kebenaran kata-katanya.

Jika dilihat daripada kedua-dua peristiwa ini, tidak ada satu pun mubahalah yang benar-benar diteruskan.

7. Sumpah dalam al-Qasamah.

Al-Qasamah ialah sumpah oleh wali darah sebanyak 50 kali sumpah dalam kes pembunuhan yang berlaku antara dua kampung yang saling bermusuhan bagi membolehkan mereka mendapat hak diat. Sumpah dalam al-Qasamah dikenakan kepada yang mendakwa, bukan yang kena dakwa, iaitu pengecualian khusus bagi kaedah Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan”

Perbicaraan mengenai al-qasamah tidak akan dipanjangkan di sini kerana ia idak berkaitan dengan isu kita. Sekadar menunjukkan bahawa di sana ada peruntukan sumpah kepada yang mendakwa dan bukan yang kena dakwa, dan ia adalah khusus dalam bab al-qasamah yakni berkaitan pembunuhan.


Perbincangan tentang dakwaan liwat ke atas DSAI

  1. Pertuduhan liwat ke atas DSAI ialah dakwaan dalam kategori jenayah hudud. Iaitu jika sabit berlaku perbuatan liwat itu, maka DSAI wajib dikenakan hukuman rejam sampai mati kerana beliau pernah berkahwin secara sah. Maka si penuduh wajib membawa bukti dengan menghadirkan 4 orang saksi termasuk dirinya sendiri. Jika tidak, maka dia akan dihukum sebat sebanyak 80 rotan kerana melakukan jenayah qazaf.
  1. Oleh kerana Saiful Bukhari Azlan tidak dapat menghadirkan 4 orang saksi untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat, beliau pun melakukan sumpah laknat. Sumpah laknat yang dilakukan inilah perlu dibahas.
    1. Daripada aspek sumpah, sumpah Saiful adalah sah dan cukup syarat bagi sumpah biasa. Jika ia benar dalam dakwaannya, dia telah menyempurnakan sumpah dan tidak dikenakan kaffarah sumpah ke atasnya. Tetapi jika dia berdusta, itulah al-yamin al-ghamus yang dikenakan laknat oleh Allah dan masih lagi dikehendaki melakukan kaffarah sumpah.
    1. Daripada aspek sumpah laknat, ada sedikit kemusykilan. Adakah ia li’an (mula’anah), mubahalah atau sumpah al-qasamah. Walaupun bentuk sumpah sedikit menyamai kaedah li’an daripada aspek dia meminta laknat dan ke atas dirinya sendiri jika dia berdusta. Namun, dalam li’an, bersumpah sebanyak 4 kali sumpah dan yang kelima dengan sumpah laknat, walhal Saiful hanya bersumpah sekali sahaja. Dalam li’an, kedua pihak berli’an di hadapan qadhi walhal Saiful berli’an seorang diri dihadapan Imam masjid yang tidak dilantik menjadi qadhi untuk menyelesaikan pertikaian. Dan paling penting dalam li’an ialah ia hanya disyariatkan untuk suami isteri, walhal Saiful dan DSAI bukan suami isteri.
    1. Daripada aspek ia adalah mubahalah, juga ada kemusykilan. Mubahalah adalah kedua-dua pihak yang bertelingkah sama-sama berdoa di suatu tempat tertentu dengan penuh kerendahan diri kepada Allah agar pihak yang berdusta dikenakan laknat. Perbincangan para mufassirin menyebutkan lafaz mubahalah dalam bentuk ungkapan doa kepada Allah bukan lafaz sumpah yang melaknati diri sendiri dan keturunan. Dalam mubahalah tidak ada qadhi, benar atau salah akan ditunjukkan sendiri oleh Allah. Ini adalah pilihan yang paling menggerunkan kerana ia meminta Allah menunjukkan kebenaran hakiki di dunia, walhal Allah telah menangguhkan kebenaran hakiki untuk dibicarakan di akhirat.
    1. Sumpah Saiful bukanlah sumpah al-Qasamah kerana al-Qasamah berkaitan dengan pembunuhan semata-mata.
    1. Walaupun Saiful Bukhari bersumpah laknat, namun ia tidak cukup untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat. Ini kerana perbuatan liwat sama seperti zina, di mana ia disabitkan melalui pengakuan tuan punya badan atau membawa empat orang saksi.
    1. Oleh kerana dakwaan Saiful itu tidak disertakan dengan 4 orang saksi maka ia telah menjadi qazaf. Maka dia pula yang akan dihukum dengan 80 kali sebat.
    1. Jika sumpah Saiful itu benar sekalipun dia tetap dikenakan hukuman qazaf kerana tidak membawa bukti. Sebenarnya, tujuan hukuman jenayah qazaf adalah untuk memelihara maruah manusia agar terpelihara daripada tuduhan liar untuk memalukan dan menghina mereka. Jika seseorang yang dituduh itu benar-benar berzina atau melakukan liwat, itu adalah rahsia antara mereka dengan Allah. Manusia tidak berhak membukanya melainkan dengan syarat-syaratnya yang cukup. Itulah rahmat Allah kepada manusia, sehingga dibukakan pintu taubat yang luas, semoga dia bertaubat dan berhenti melakukan maksiat sebelum perbuatannya didedahkan oleh Allah melalui pendakwaan yang mencukupi syarat.
    1. Ada satu perkara yang ramai orang terlepas pandang mengenai sumpah Saiful. Iaitu pengakuan bahawa dia telah melakukan liwat. Pengakuan itu dikira sebagai iqrar. Jika dia tidak menarik balik iqrarnya, maka dia boleh disabitkan dengan hukuman liwat ke atas dirinya sendiri jika dilakukan dengan sukarela. Dakwaan bahawa dirinya dipaksa perlulah disiasat dahulu. Jika dipaksa dengan paksaan yang dia tidak berupaya menangkisnya, tidak dikenakan hudud ke atasnya. Jika dengan paksaan yang dia mampu menangkisnya tetapi dia membiarkannya, dia tetap dikenakan hukuman hudud.
  1. Jadi bersumpah dalam membuat pertuduhan liwat tidak disyariatkan daripada aspek untuk menyabitkan orang yang kena tuduh dengan sumpah itu. Orang yang kena tuduh pun tidak disyariatkan bersumpah menafikan tuduhan. Ini kerana pembuktian jenayah liwat adalah berdasarkan iqrar dan kesaksian 4 orang saksi yang adil. Jika yang menuduh tidak membawa 4 orang saksi, maka yang kena tuduh tidak perlu bersumpah menafikan apa-apa.
  1. Tetapi orang yang kena tuduh boleh mengadukan kepada qadhi bahawa dia telah dituduh tanpa bukti oleh seseorang tertentu jika kita menerima bahawa kaedah “Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan” boleh digunakan dalam perkara hudud yang membabitkan hak hamba. Dalam hal ini, yang kena tuduh menjadi pendakwa dan yang menuduh menjadi yang kena dakwa. Jika dia tidak ada bukti atas dakwaannya, maka qadhi akan meminta si penuduh bersumpah menafikan bahawa dia telah melakukan qazaf.

Kesimpulan.

  1. Jika dilihat perbicaraan ulama’ tentang jenayah liwat dan qazaf, kita ummat Islam sepatutnya merasa sangat bimbang akan kemurkaan Allah. Jika liwat berleluasa, kita seperti kaum Nabi Lut a.s. Jika qazaf berleluasa, maruah orang yang tak bersalah akan menjadi permainan di tangan golongan yang fasiq. Oleh itu, mahkamah syariah hendaklah diperkasakan untuk membicarakan kes Hudud dan Qisas mengikut ajaran Islam yang sebenar supaya orang yang tidak bersalah dapat berlindung di bawah naungannya dan orang yang dibuktikan bersalah dikenakan hukuman yang sewajarnya. Polemik isu liwat dan qazaf ini sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh jabatan kehakiman syariah dan mahkamah syariah iaitu sejak awal-awal ia bermula kerana prinsip syariah berkenaan jenayah liwat dan qazaf adalah sangat jelas dan tegas.
  1. Dalam perkara bermubahalah, saya berpendapat ia adalah pilihan yang paling menggerunkan jika perkara yang menjadi pertikaian adalah berbentuk masalah furu’ yang terbuka kepada benar atau salah tanpa wajib menentukan hakikat kebenaran di sisi Allah. Iaitu setiap pihak berdoa dengan penuh ketundukan kepada Allah agar dikenakan laknat kepada orang yang berdusta dalam masalah yang menjadi pertikaian. Jika dilihat daripada peristiwa mubahalah antara Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kristian Najran, masalah yang menjadi pertikaian adalah masalah yang bersifat terlalu pokok pada dasar falsafahnya dan terlalu abstrak untuk ditentukan salah benarnya dengan mizan duniawi. Iaitu pertikaian tentang kedudukan Nabi Isa a.s., adakah dia anak tuhan, tuhan atau hamba tuhan? Dalam pertikaian ini, tidak ada mahkamah dunia yang mampu membicarakan persolan-persolan itu dan memberikan satu bentuk hukuman kepada orang yang bersalah, kerana persoalan itu adalah hakikat kenapa manusia ditaklifkan. Perbicaraan dan hukuman hakiki tentangnya hanya akan berlaku di negeri akhirat. Tetapi dalam kes ini, kedua-dua pihak memohon agar ditunjukkan kebenaran hakiki di sisi Allah dengan melaknat orang yang berbohong daripada kalangan mereka ketika mereka masih hidup di dunia sementara ini. Dalam masalah Ibnu Abbas dengan para sahabat dan tabi’in yang lain selepas kewafatan Saidina Umar r.a., perkara yang dipertikaikan berkaitan tentang adakah sumber pendapat Ibnu Abbas daripada Nabi s.a.w. atau ia hanyalah pendapat dalam agama yang tidak ada sandaran pada syara’. Ini juga tentang satu hakikat penting dalam agama, iaitu berkaitan tentang sumber syara’ mengenai hukum faraid. Jika sumber syara’ itu diragui ataupun jika ia disembunyikan maka rosaklah syariat. Ini berlainan dalam perkara perundangan dan jenayah, di mana Allah telah memberikan panduan yang jelas dalam menentukan kaedah pembuktian dan bentuk hukuman di dunia ini.
  1. Dalam perkara sumpah bohong, orang ramai cenderung untuk mengaitkan sumpah bohong dengan keadaan orang yang bersumpah bohong tadi akan dilaknat oleh Allah dengan dipanah petir. Hakikat laknat yang sebenar ialah dia akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dia melakukan dosa yang sangat besar di sisi Allah. Mengenai laknat di dunia, kadang-kadang Allah tunjukkan tanda-tanda seseorang dilaknat, kadang-kadang tidak. Kadang-kadang tanda-tanda laknat itu dapat dikesan oleh sebahagian hamba Allah yang beriman dan tidak dapat dikesan oleh sebahagian yang lain. Ketiadaan tanda yang nyata inilah yang menyebabkan timbulnya ramai orang yang berani bersumpah palsu. Jika setiap yang bersumpah palsu akan di panah petir, tentulah tidak ada orang yang berani bersumpah bohong. Tetapi hakikatnya, orang fasiq tidak berhenti-henti bersumpah bohong ketika berjual beli, ketika mendampingi wanita dan ketika-ketika lain bagi mencapai hasrat duniawi. Bahkan orang munafik di Madinah selalu sahaja bersumpah bohong di hadapan Nabi Muhammad s.a.w.!
  1. Melihat kepada komentar para pemimpin masyarakat di dalam dada-dada akhbar mengenai isu ini, jelas menampakkan kepada kita kejahilan mereka tentang hukum syara’. Tetapi mereka tetap mengajak orang ramai mempercayai kejahilan mereka. Lebih malang lagi, apabila kebanyakan ulamak rasmi - kecuali sedikit yang dirahmati oleh Allah, yang sepatutnya memimpin dan memandu para pemimpin tersebut dalam perkara agama - hanya mengesahkan kenyataan para pemimpin tersebut. Contohnya dalam isu ini, semua mereka mengesahkan tentang hukum sah sumpah Saiful Bukhari Azlan. Apa yang mereka tidak jelaskan adakah sumpah itu boleh mensabitkan dakwaan liwat ke atas DSAI? Dan adakah Saiful secara tidak langsung patut disabitkan dengan jenayah qazaf berdasarkan kepada sumpahnya yang dibuat secara umum kerana ia berikrar melakukannya?
  1. Ruang masih terbuka kepada Saiful Bukhari Azlan untuk menarik balik pengakuannya (iqrar) bahawa dia diliwat bagi mengelakkan dikenakan hukuman hudud berkaitan liwat ke atasnya. Kerana iqrar masih boleh ditarik balik dalam mazhab Syaf’ie. Mengenai dakwaan bahawa dia dipaksa oleh seorang yang sakit belakang seperti DSAI dalam usia emas sehingga tidak mampu mempertahankan dirinya adalah amat meragukan. Mengenai qazaf ke atas DSAI, beliau masih boleh meminta maaf daripada DSAI. Jika dimaafkan, tidak ada lagi dosa qazaf dan tiada lagi hukuman hudud berkaitan dikenakan keatasnya.

  1. Dalam hal DSAI tidak mahu bersumpah, ia adalah terpulang kepadanya. Hanya qadhi yang boleh meminta seseorang bersumpah dalam pertikaian yang di bawa dihadapannya. Tapi dalam kes ini,qadhi pun tidak ada sebab untuk memanggil DSAI bersumpah sebab jenayah yang dituduh ialah liwat yang hanya disabitkan dengan iqrar atau 4 orang saksi. Tetapi DSAI boleh mengadu kepada qadhi tentang orang melakukan qazaf ke atasnya. Dan orang yang dituduh oleh DSAI boleh menafikan tuduhan bahawa dia pernah melakukan jenayah qazaf jika DSAI tidak ada dua orang saksi yang mengesahkan perbuatan qazaf.
  1. Saya berpendapat jika DSAI bersumpah, dia hanya memuaskan hati orang ramai yang tidak faham tentang hakikat bersumpah. Tidak salah DSAI bersumpah. Daripada hukum syara’, sumpah itu tidak mensabitkan apa-apa dan tidak pula melepaskannya daripada apa-apa sabitan kerana pada sudut syara’ dia belum disabitkan dengan apa-apa sabitan. Jika dia turut bersumpah dan tidak ada pihak yang panah petir, tentulah orang ramai tidak juga akan berhenti membuat spekulasi yang sensasi. Yang paling tepat ialah kita mestilah kembali kepada sistem perundangan Islam yang sebenar dalam membicarakan kes-kes jenayah hudud dan qisas.

Penutup

Marilah kita merenung beberapa potong ayat al-Quran tentang dua perkara. Pertama, dalam surah al-Mujadalah, ayat 14 hingga 16, Allah menceritakan tentang sifat kaum munafiqin yang selalu bersumpah palsu.

“Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.”

Kedua, dalam surah an-Nur, ayat 13 hingga 15 tentang beratnya dosa turut serta dalam perbuatan qazaf dengan sedar dan tanpa sedar.

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

Tuesday, August 19, 2008

AKU PEMERHATI MUKTAMAR


Muktamar Pas ke 54 baru sahaja berlalu. Mungkin sudah beberapa hari terlewat buat ulasan, tapi aku tak mahu terlepas arus perdana dalam memberi komen.

TERHANGAT DI PASARAN

Ramai yang jangkakan muktamar itu akan jadi yg TERHANGAT DI PASARAN disebabkan isu-isu sensasi dalam Pakatan Rakyat akhir-akhir ini. Memang tepat jangkaan aku bahawa rata-rata perwakilan pemuda yg bermuktamar pada 13 dan 14 Ogos menyentuh isu muzakarah muqabalah. Rentetan isu itu, dibangkitkan soal tarbiyyah kepada ahli termasuklah pimpinan tertinggi. Istilah-istilah yang asing pada wartawan selain harakah kedengaran di sepanjang ucapan perwakilan pelbagai negeri seperti wala', majlis syura ulama', amal jama'ie, dan beberapa istilah bahasa ARAB lain yg aku sendiri pun tak sempat 'tangkap'.

ISU PANAS

Antara negeri yang memanaskan suasana ialah Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. Aku kira yang paling PANAS ialah wakil dari Terengganu yang menyentuh sikap sesetengah pimpinan yang mengalunkan nada berlainan dari Majlis Syura Ulama' dalam isu muzakarah muqabalah. Disebabkan cadangan perwakilan Trg yg mencadangkan beberapa nama pimpinan agar dirujukkan ke Jawatankuasa tatatertib parti kerana dianggap menyanggah keputusan majlis syura ulama', Pengerusi Tetap menegur keghairahan perwakilan menyebut beberapa nama tersebut kerana tidak mengikut peraturan muktamar agar tidak menyentuh mana-mana peribadi secara langsung (dengan menyebut nama).

TERPINGGIR

Manakala Pulau Pinang dan Selangor yang juga dianggap lantang menyuarakan pendapat dan meluahkan perasaan, mencuri perhatian pemerhati apabila mendedahkan layanan kerajaan pakatan rakyat terhadap PAS di negeri masing-masing. Pulau Pinang umpamanya terasa hati apabila surat memohon untuk bertemu dengan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri tidak dilayan kerajaan. Lebih kurang juga dengan masalah di Selangor sehinggakan perwakilan yang berucapan membangkitkan siapa yang bekerja ketika PRU12 baru2 ini. Siapa yang angkat bendera, siapa yang tampal poster, siapa yang bantu berceramah setiap malam berkempen, kalau tidak anggota parti PAS. Aku pun boleh bersetuju dengan perwakilan tersebut kerana masalah yang sama timbul di Terengganu. Sepatutnya PKR Selangor dan Pulau Pinang jangan seperti "Kacang lupakan kulit." Hormatilah sesama rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat.

JAWAPAN PIMPINAN

Jawapan dari Ustaz Nasaruddin Tantawi sebagai Timbalan Ketua Pemuda aku kira paling bernas dan bersifat haraki. Antara lain beliau menyentuh isu Ucapan Presiden PAS di Konvensyen PAS Pulau Pinang yang menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak untuk keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya kepentingan Islam tergugat dan terpinggir apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan pada September nanti. Beliau menegaskan bahawa ucapan itu merupakan TA'LIQ (kerjasama bersyarat)dari PAS sebagai penegasan pendirian PAS terhadap isu pelaksanaa Islam dalam pemerintahan. Contoh yang amat baik dibawa Ustaz Nasaruddin ialah dalam upacara akad nikah, lafaz ta'liq diucapkan untuk memelihara maslahat si isteri. Bukanlah tujuan lafaz itu untuk bercerai sebaik sahaja akad nikah. tetapi perlu dilihat dari sudut positifnya iaitu menjaga maslahat si isteri yang mungkin dianiaya dan dizalimi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak diingini. Begitu juga dengan lafaz TA'LIQ yang diucapkan oleh Presiden PAS bertujuan menjaga maslahat perjuangan Islam yang didokong PAS. Bukan lah ucapan itu bertujuan untuk keluar Pakatan Rakyat. Ia lebih kepada persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini oleh PAS.


PULANG PAKU BUAH KERAS


Aku juga tertarik dengan jawapan Saudara Salahuddin Ayub selaku Ketua Pemuda yang menggulung di akhir muktamar pemuda. Beliau ada menyentuh antara ciri-ciri pendokong gerakan ialah menjaga kerahsiaan. Lalu beliau mempersoalkan bagaimana boleh terkeluar isu 'LAFAZ TA'LIQ' yang diucapkan Presiden dalam satu majlis tertutup KONVENSYEN PAS PULAU PINANG? Yang aku tahu, ia didedahkan oleh Ketua Pemuda PAS P.Pinang yang kemudiannya disiarkan oleh SinarHarian. Rupa2nya dalam keadaan ramai pimpinan pemuda negeri menegur pimpinan Pusat yang dikatakan tidak mematuhi syura, tidak mengikut syarak, ada juga yang sebenarnya tidak sedar mereka juga tidak mengikut syarak dengan meninggalkan ciri KERAHSIAAN dalam jamaah.


KaLau begitu keadaannya, maka aku simpulkan bahawa pimpinan di semua peringkat perlu dinilai tahap kefahaman ilmu haraki mereka. Kalau boleh buatlah ujian lisan ke, bertulis ke bagi memastikan ahli yang memegang jawatan dalam parti memahami selok belok siasah syar'iah dan ilmu gerakan Islam khususnya PAS di Malaysia ini.

p.s: Aku kira tulisan ini pun tidak dituduh bocor rahsia sebab semua wartawan dibenarkan buat liputan sepanjang muktamar berjalan baik ketika perasmian, laporan tahunan, perbahasan ucapan dasar dan perbahasan usul.

Monday, August 18, 2008

ANWAR ENGGAN SUMPAH

SAIFUL SUDAH BERSUMPAH

Aku agak terkejut apabila si saiful bukhari azlan sanggup bersumpah pegang al Qur'an untuk membenarkan apa yang didakwanya.

Apa yang penting ialah pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan peguam-peguam yang dilantik jalankan tugas masing-masing dan kemukakan hujjah untuk 'client'. Hakim pula timbanglah hujjah dan bukti yang dikemukakan dengan seadil-adilnya. Tak payahlah si Saiful tu bersumpah pula. Ini dah macam tak percaya mahkamah. Aku malas lah nak campur tuduhan pihak pembangkang bahawa ia dirancang kerana Anwar nak bertanding di Permatang Pauh. Tapi satu hal lagi, kenapa pula Anwar tak sanggup bersumpah untuk menafikannya? Asalnya aku pun tak setuju Anwar bersumpah. Biarkan aja mahkamah tentukan. Tapi apabila Saiful sudah bersumpah, maka tidak cerdik kalau Anwar biarkan begitu sahaja kerana ada segelintir masyarakat yang rasa memang Anwar bersalah. Masyarakat Melayu pantang bersumpah sebegitu kalau ianya tidak benar. Ini bukan bermakna aku percaya Anwar bersalah dalam hal liwat meliwat ni. Tapi itulah minda sesetengah masyarakat kita. Lebih-lebih lagi sumpah itu membabitkan keturunan dan keluarga si saiful pula. Berani sungguh dia....



ANWAR ENGGAN SUMPAH

Apabila wartawan tanya Anwar kenapa tidak bersumpah, Anwar jawab bahawa beliau tidak akan bersumpah dengan cara yang tidak Islamik. Beliau juga mendakwa Saiful bersumpah dengan cara yang tidak betul, tidak Islamik. Jadi apa yang Islamik pada Anwar? Maka bersumpahlah dengan cara yang Islamik. Kalau aku, aku sumpah aja sebagaimana yang diajar oleh tok-tok guru, ustaz-ustaz. Bukankah Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda, "....Bukti dibebankan atas yang mendakwa, dan SUMPAH dibebankan atas yang DIDAKWA." Jadi, sekarang ini sudah jadi terbalik. Yang mendakwa bersumpah, manakala yang didakwa tidak mahu bersumpah.

Sepatutnya Anwar yang merasakan dirinya Islamik, buatlah cara Islamik segera. Nafikan tuduhan itu dengan cara Islamik. Tunjukkan kepada masyarakat bahawa inilah cara Islamik. Bukannya seperti Saiful buat di dalam Masjid, pegang al Qur'an, baca teks depan beberapa pegawai JAKIM dan kakitangan Masjid.

MUBAHALAH IDEA MUFTI PERLIS

Aku rasa dalam hal mubahalah(sumpah) ini, Mufti Perlis ada saham dalam memberi idea agar bersumpah. Sebelum ini, tidak timbul isu sumpah mubahalah(sumpah laknat atas diri yang mendakwa dan didakwa). Sebagaimana yang dijawab oleh Anwar, Haji Hadi dan Nik Aziz, ianya tidak syar'ie dan menyerupai Kristian bersumpah dengan Injil, maka aku rasa Mufti Perlis patut bertaubat kerana menunjuk jalan bagi Saiful bermubahalah(walaupun tidak dengan kalimah yang diajar Mufti Perlis iaitu Wallahi, Tallahi, dan Wabillahi) untuk membuat satu BID'AH baru dalam isu ini yang sepatutnya diselesaikan di bawah jenayah QAZAF. Bukankah Mufti Perlis lah orang yang berautoriti yang paling kuat menentang bid'ah-bid'ah dalam masyarakat Islam di Malaysia? Tepuk kepala, jawab sendiri.........

Saturday, August 16, 2008

PELIK TAPI BENAR!!!



Aku terkejut apabila tertonton berita pagi 2 hari lalu, yang memaparkan bahawa JAKIM telah mengharamkan buku bertajuk 'Pelik tapi Benar' karangan Ustaz Abdul Rahman Mohamed, terbitan Telaga Biru Sdn Bhd. Buku tersebut memaparkan cara2 solat yang asing bagi penduduk Malaysia yang dianggap bermazhab Syafie. Ada gambar lelaki bersolat sambil mendokong anak. Ada kanak2 perempuan yg bersolat sambil mengundur ke belakang untuk buka pintu. Ada solat sambil menangis dan pelbagai kepelikan lagi. Aku pernah membelek buku tersebut yang memaparkan pelbagai isu dalam solat dengan disokong oleh dalil hadis.

Aku tahu buku ini diHARAMkan kerana ia dilabel sebagai mirip pegangan Salafi Wahabi. Walaupun aku sendiri tidak beramal dengan kaedah yang dipaparkan dalam buku tersebut, tetapi aku tidak bersetuju ianya diharamkan sebegitu rupa seolah2 ia setaraf dengan ajaran sesat Ayah Pin!

Aku teringat tulisan aku pada 28 Jun lalu yg menyentuh isi kandungan buku Kasim Ahmad yg baru iaitu MENCARI JALAN PULANG: DARI SOSIALIS KEPADA ISLAM. Aku rasa tiada khilaf di kalangan ahli ilmu bahawa buku ini lebih berhak diHARAMkan dan diHARAMJADAHkan kerana mengandungi pendapat2 yang sesat, berbanding buku PELIK TAPI BENAR yang pada hemat aku ia mungkin mengelirukan tetapi masih berada dalam lingkungan pendapat ahli sunnah wal jamaah kerana berdalilkan hadis2 yg sahih pada pendapat penulis buku tersebut.

Maka dengan ini aku isytiharkan bahawa tindakan JAKIM merupakan satu tindakan PELIK TAPI BENAR kerana buku ajaran sesat Kasim Ahmad yang boleh merosakkan AQIDAH tidak diharamkan, manakala buku fiqh karangan Ustaz Abdul Rahman Mohamed diHARAMkan.

Monday, August 11, 2008

TERENGGANU MINTA RM1B BINA BANDAR

Ihsan SinarHarian

Terengganu minta RM1b bina bandar


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memohon peruntukan sebanyak RM1 billion dalam usaha membangunkan bandar-bandar di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, pertemuan itu sangat penting untuk memastikan pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan mampu memberi manfaat kepada rakyat termasuk usaha merancakkan ekonomi di sesebuah daerah melalui projek meningkatkan sosio ekonomi masyarakat keseluruhannya.

“Kita boleh merancang pembangunan bandar dengan konsep perkedaian dan membolehkan lebih ramai bumiputera dapat berniaga, bandar kita juga selain cantik, dapat menjana sumber pendapatan dengan berkesan.

“Untuk membangunkan bandar dengan konsep perkedaian, sebagai contoh kita boleh beri daerah Kuala Terengganu RM300 juta, Kemaman RM100 juta, Dungun RM100 juta tetapi jumlah yang akan diterima setiap daerah hanya diketahui apabila kita mendapat duit itu nanti. Kita juga akan buat serentak mengikut peruntukan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMT) kali Ke-32 di Hotel Grand Continental, di sini, semalam.

Menurut Ahmad, 50 peratus bangunan perkedaian yang dirancang itu boleh disewakan kepada peniaga bumiputera mengikut perkongsian, tetapi dengan kadar yang lebih rendah berdasarkan taraf perbandaran masing-masing.

Katanya, jika kedai biasa yang disewakan sebelum ini adalah RM2,000, tetapi menerusi konsep perkedaian mengikut perkongsian ini, ia mungkin boleh dikenakan harga lebih rendah iaitu sekitar RM1,500.

“Selain itu, 50 peratus lagi bangunan perkedaian itu kita boleh jual. Setiap keuntungan daripada projek itu kita buat projek lain. Apa yang pasti, sekurang-kurangnya 30 peratus bangunan yang dijual itu adalah kepada bumiputera, kalau kita dapat 40 peratus atau lebih, itu lebih baik,” katanya.

“Dalam hal ini, kita akan pastikan 80 peratus pemilikan bangunan perkedaian berdasarkan perkongsian ini adalah milik bumiputera. Kita akan bangunkan bandar-bandar dengan duit yang kita ada. Saya ingin melihat semua daerah di negeriini maju dan tiada yang ketinggalan,” ujar beliau.

Tuesday, August 5, 2008

KENAPA DATUK JALIL?

Pilihanraya Kecil Permatang Pauh P 44 sudah diumumkan akan diadakan pada 26 Ogos 2008. Manakala tarikh penamaan calon pula pada 16 Ogos ini. Calon Pakatan Rakyat kita sudah sedia maklum, tapi agak mengejutkan calon Barisan Nasional, Pak Lah restui Datuk Jalil untuk bertanding. PRU 12 yang lalu, Datuk Jalil kalah kepada Fairuz Timbalan Ketua Menteri 1 .

Kenapa Datuk Jalil yang dipilih? Tidak Ezam? Atau Dr Asri? Atau 'figure' lain dalam Umno ? Yang paling tepat aku rasa sebab BN memang yakin 99.9% bahawa mereka akan kalah teruk kali ini. Tinjauan rambang dibuat mengatakan 80% yakin BN kalah pilihanraya kecil kali ini. Merdeka Centre pula mengeluarkan hasil kajian yang mendakwa bahawa 50% rakyat tidak yakin dengan pemerintahan BN sekarang. Kalau buat PRU13, maka 50% sekurang-kurangnya akan menyokong Pakatan Rakyat. Berbalik kepada Datuk Jalil tadi. 'Point'nya ialah , kalau kalah pun, tak lah teruk sangat reputasi BN kerana mereka akan buat alasan. Anwar lawan calon biasa aje. Lagipun mereka tahu bahawa Permatang Pauh tidak pernah jatuh ke tangan orang lain selain Anwar dan Wan Azizah.

MAD SAID DAN PEMILIHAN UMNO

UMRAH MAD SAID

Pagi ni aku sempat minum dengan bos lama. Katanya dah lama tak belanja aku minum. Sesampai di kedai, terserempak dengan seorang kenalan lagi yang merupakan seorang kontraktor. Bila bertanyakan khabar, beliau kata nak pergi jumpa MaD Said. Rupa-rupanya Mad Said baru sahaja balik Umrah bersama-sama rombongannya beberapa orang exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Katanya ada 6 orang. Pergi 28 Julai lalu dan kembali semalam (5 Ogos). Alhamdulillah selamat MB aku pergi balik umrah. Kebetulan pula ya, Mad Said pergi umrah dalam keadaan Malaysia tengah duk kalut dengan isu Permatang Pauh.

Baguslah kalau pegi umrah tu. Ingat-ingatlah Tuhan...Mudah-mudahan kerajaan negeri dan rakyat jelata selamat. Jangan jadi macam orang dulu, umrah pergi , Masjid roboh juga...
Tapi sebenarnya ada cerita di sebalik ke Mekah. Kata kotraktor tu, Sultan Mizan pun ada di Mekah. Cuma bezanya, Tuanku Mizan pergi lebih awal dan bukan bersama rombongan Mad Said. Katanya jga, memang Mad Said nak jumpa Sultan Mizan di sana. Apa yang penting sangat sampai mengadap tuanku as Sultan di tanah suci? Mudah-mudahan bincang kemaslahatan rakyat Terengganu. Mungkin juga serampang 2,3 mata. Mungkin juga memohon petunjuk Allah macamana nak selesai masalah politik Terengganu yang meruncing sekarang. Orang politik tahu lah betapa pertembungan antara pasukan Deris dengan Mad Said sangata sengit sekarang.

Di Dungun, Dato' Za'bar Mohd Adib kalah bertanding di Cawangannya sendiri dalam dun Sura. Agaknya apalah yang bermain di fikiran Dato' Rosli. Barangkali terlintas agaknya, " Komang spanar Exco kalah di cawangan sendiri." Faktor kalah biasanya kerana orang tak suka. tak ambil berat orang kampung/ cawangan itu. Kalau pasal duit, tak munasabah Dato' Za'abar tak boleh 'tabur' di cawangannya. Aku agak terkejut apabila ada sumber mengatakan bahawa seorang Timbalan Ketua Umno Bahagian dibekalkan dengan sejumlah RM6 juta!!! Itu bukan Ketua Bahagian lagi tu...Khabarnya Deris memang sudah agihkan sejumlah 'duit kopi' untuk proksi-proksinya di seluruh negeri. Walaupun beliau di Perancis (kononnya sambung belajar sebulan), kerja politik dalamannya berjalan lancar.

IDRIS TAK AKAN JADI PENGERUSI MARA

Dalam rancak berbual hal projek, timbul nama Deris. Katanya Deris tak akan jadi Pengerusi MARA. Aku tanyalah kenapa? Katanya ada orang cucuk Pak Lah agar tarik balik perlantikan. Katanya lagi, surat sudah keluar. Bila pula ditarik balik? Katanya Deris sudah tahu sebelum beliau bertolak ke Perancis lagi. Patutlah membawa diri ke Perancis. Nak rehat la pulak... Jawatan pun 'confirm' tak dapat.. Melepas la pulak......

POLITIK WANG DI AKAR UMBI

Beberapa hari lalu, ada berita Umno Cawangan Mengabang Tengah dalam SinarHarian. Ketua Cawangan dan beberapa pengikut dikatakan membantah Mesyuarat Agung Pemuda Umno Cawangan yang diadakan dengan tidak memaklumkan kepada Ketua Cawangan dan dibuat tanpa memanggil semua ahli jawatankuasa dan ahli pemuda cawangan. Kata ketua cawangan itu, mesyuarat dibuat di luar cawangan dengan dihadiri oleh pengikut-pengikut setia ketua pemuda itu sahaja. Ketua cawangan mendakwa bahawa ada unsur-unsur penyelewengan berlaku daam organisasi pemuda itu. 'Cerdik' sungguh Ketua Cawangan yang panggil wartawan sinarharian untuk buat liputan. Macam buka pekung dada sendiri la beb.........

Ada juga yang lebih menarik, Ada 'informer' hantar sms bahawa Din Adam ajak pengikut-pengikutnya bermesyuarat di Surabaya. Amboi dekatnya ngkorang mesyuarat. Punyalah berhati-hati taknak orang tahu hasil perbincangan hingga sampai ke Surabaya ya PAK! Atau sebenarnya sambil menyelam minum air. Jangan silap langkah sudahlah, takut lemas...
Related Posts with Thumbnails