Saturday, December 27, 2008

EJEN PEMBANGKANG ATAU PROTES AJK BN?

Dalam blog baru PILIHANRAYA KECIL KT , bnkterengganu.blogspot.com disiarkan gambar2 wan farid di bawah tajuk "INILAH CALON KITA, CALON BN." Lalu dilampirkan gambar2 hensem Wan Farid dalam beberapa program rasmi dan tidak rasmi. Dalam banyak2 gambar yang ada, ada satu gambar yang sangat menarik perhatian penulis iaitu gambar Wan Farid sedang berkaraoke dengan seorang gadis. Tak tahulah siapa gadis itu, anaknya kah, atau isterinya kah....Tapi yang menariknya, gambar ini pernah digunakan oleh pihak tertentu bertujuan untuk menjatuhkan imej Wan Farid, bukan untuk menaikkan "seri mukanya." Jadi, apabila gambar itu digunakan utk kempen sokong BN, maka 'there must be something wrong with the blog.' Naluri penulis kuat mengatakan bahawa penulis blog ini merupakan anti wan farid ataupun anti BN tetapi berada di dalam jenteranya.

BACAAN SIKAP PENGUNDI KUALA TERENGGANU

Tulisan di bawah merupakan "copy &paste" daripada blog bnkterengganu.blogspot.com. Penulis pun tak pasti sama ada blog ini milik pro BN atau sebaliknya. Kertas panduan mengenali sikap pengundi KT pun dimasukkan untuk tontonan 'public'. Ada kengkawan yang kata ini merupakan 'psywar' Umno BN. Penulis tidak fikir begitu. Penulis rasa ini sebahagian daripada protes dalaman Umno BN sehinggakan perkara yang tidak patut didedahkan masuk dalam blog.

Sila teliti bacaan sikap pengundi di bawah:

(BACAAN SIKAP PENGUNDI P.036 KUALA TERENGGANU)


1. Pengenalan dan Matlamat

1.1 Gerakan ini adalah untuk mengenali sikap dan sokongan para pengundi di P.036 Parlimen Kuala Terengganu untuk disetiap Peti Undi.

1.2 Gerakan bacaan sikap ini akan dilakukan secara menyeluruh dan komprehensif

1.3 Bacaan sikap ini adalah untuk membantu jentera parti didalam menentukan hala-tuju dan gerakan kempen secara betul.

1.4 Bacan sikap ini adalah untuk mencari dan mengenali pengundi penyokong BN untuk seramai 38,500 orang daripada 80,229 orang pengundi

2. Keratiria Petugas

Petugas diperlukan di dalam gerakan ini adalah diantara sepuluh (10) atau tiga belas (13) orang bagi setiap sessi yang akan diadakan. Petugas untuk menjalankan gerakan ini juga mestilah terdiri dari penduduk tempatan disetiap cawangan UMNO di P.036 Parlimen Kuala Terengganu.

Petugas untuk mengenali para pengundi adalah dicadangkan mereka itu terdiri daripada;

2.1 Ketua Cawangan dan ahli jawatankuasa – 4 sayap;
2.2 Kumpulan K5;
2.3 Guru KEMAS;
2.4 Guru KAFA;
2.5 JKKK;
2.6 Ketua Kampung; dan
2.7 Pengerak masyarakat, contoh; Rukun Tetangga, wakil pertubuhan belia (dikenali penyokong BN).

3. Tanggungjawab Mengenali & Mengambil Petugas

Pengerusi K5 DUN & Peti Undi dan Ketua Cawangan mestilah mengenal pasti para petugas yang betul dan sesuai, boleh membantu gerakan BACAAN SIKAP yang akan dijalankan. Petugas yang akan membuat BACAAN SIKAP mestilah dari kalangan yang dicadangkan pada fasa (2), dan jika terdapat lain-lain yang boleh membantu gerakan BACAAN SIKAP adalah dialu-alukan.

4. Urusetia Bacaan Sikap

4.1 Pengerusi : Pengarah Bilik Gerakan
4.2 Timbalan Pengerusi : Pengerusi K5 Parlimen
4.3 Ahli Jawatankuasa : Pengerusi K5 DUN (4 DUN)
4.4 Ahli Jawatankuasa : 2 orang dari JASA
4.5 Ahli Jawatankuasa : 2 orang IT UMNO Negeri


5. Peralatan Sokongan.

Peralatan sokongan diperlukan;

5.1 38 unit PC atau Laptop
5.2 38 unit alat pencetak laser (laser printer) dan toner
5.3 100 rims kertas


6. Maklumat Sokongan

Maklumat sokongan akan disediakan oleh petugas IT daripada Bilik Gerakan Pilihanraya P.036 Parlimen Kuala Terengganu.

6.1 Sessi Pertama Bacaan Sikap (18/12/2008 hingga 25/12/2008)

Urusetia Bacaan Sikap akan menyediakan SENARAI NAMA PENGUNDI berasaskan LOKALITI yang lengkapi dengan alamat tetap (permanent address) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

6.2 Sessi Pertama Bacaan Sikap (28/12/2008 hingga 05/01/2009)

Urusetia Bacaan Sikap akan menyediakan SENARAI NAMA PENGUNDI berasaskan LOKALITI dilengkapi dengan alamat semasa dan tetap (current and permanent address) yang disediakan UMNO Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan & lain-lain agensi dan maklumat isi-rumah.

7. Lain-lain Hal

Bacaan sikap ini juga adalah perlu dilakukan keatas pengundi kaum Cina dan India, JASA atau Jabatan Penerangan memiliki kakitangan atau pegawai dari kaum Cina dan India. Dicadangkan disini, kakitangan atau pegawai dari Kaum Cina dan India itu diminta menyertai sama untuk menjayakan gerakan BACAAN SIKAP keatas pengundi kaum Cina dan India untuk pilihanraya kecil P.036 Parlimen Kuala Terengganu ini.


Disediakan oleh:
Koordinator SMART Analysis System
Kuala Lumpur
15hb Disember 2008

Tuesday, December 23, 2008

HANYA ALLAH DAN PRESIDEN SAHAJA YANG TAHU

Isu calon PRK036 masih lagi menjadi bualan. Calon BN sudah diumumkan sedangkan calon Pas belum lagi. Kata Tok Guru Haji Hadi, tunggu 1 januari baru diumumkan. Di sana sini masih menunggu siapa calon yang dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Seluruh negara sangkakan 21 Disember 2008 merupakan tarikh pengumuman calon Pas tetapi sebenarnya tidak. Sehari dua ini ada usaha untuk kumpulkan tandatangan (petisyen) untuk serahkan kepada Presiden bertujuan mendesak agar gugurkan nama orang tua-tua dalam parti yang naik nama dalam senarai bakal calon. Tak lain tak bukan, Cikgu Padan Ayoh Wan Talib la..Ini natijah daripada dakwaan individu tertentu yang mendakwa bahawa sudah tahu siapa calonnya. Setahu penulis, Jawatankuas Pas Pusat buat 'secret ballot'. Kertas-kertas undian diserahkan kepada Presiden dan beliau belum mengumumkan siapa yang mendapat undian terbanyak. Jadi, hanya Presiden dan Allah sahaja yang tahu siapa yang dipilih ahli jawatankuasa Pas Pusat.

Satu lagi yang dilupai orang awam dan sebahagian ahli parti bulan itu ialah Majlis Syura Ulama' . Presiden akan bawa senarai nama tersebut untuk dibahaskan dalam Majlis Syura Ulama' . Presiden akan memaklumkan undian yang dibuat ahli jawatankuasa pas pusat. Presiden akan memberikan pendapat peribadinya tentang siapakah paling layak. Majlis Syura akan buat keputusan, lalu tiada siapa lagi selepas itu yang berhak mempertikai dan menyanggah keputusan syura.

Itulah indahnya sistem politik dalam Islam. Semua orang boleh beri pandangan, dan ia boleh diambilkira, lalu dibincang, kemudian dibuat keputusan di peringkat syura ulama'.

Sunday, December 21, 2008

CALON PRK 036:ANTARA REALITI DAN IDEALISME PERJUANGAN

Tarikh 21 Disember 2008 merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu wartawan untuk mengetahui siapakah calon Pas bagi PRK 036 Parlimen Kuala Terengganu. Seluruh media baik media kerajaan mahupun pembangkang menyangkakan semalamlah tarikh Pas umumkan calonnya sebaik selepas Mesyuarat Pas Pusat. Rupa-rupanya Wartawan salah faham dan salah lapor. Yang sepatutnya mereka faham ialah semalam Mesyuarat Pas Pusat memutuskan siapa calon Pas, dan pengisytiharan pada 1 Januari 2009 di STADIUM NEGERI!! Bukan setakat wartawan sahaja hampa, bahkan seluruh negara umumnya sangkakan semalamlah tarikh umum calon. Nampaknya Mesyuarat semalam tidak dapat memutuskan siapa calon yang paling layak.

Bercakap tentang calon, ada empat nama yang terlintas dalam kepala penulis iaitu Mustafa Ali, Wan Muttalib Embong, Dr Khazani dan Ariffin Deraman. Mengikut cerita teman penulis, waktu mesyuarat membincangkan tentang calon, Mustafa Ali(Cikgu Pa) dan Wan Muttalib (Ayoh Wan) keluar daripada bilik mesyuarat.

Wan Farid ditanya berkenaan calon Pas semalam, beliau membuat andaian politik bahawa ada masalah dalaman dalam Pas sehingga menyebabkan Pas tidak berani mengumumkan calonnya lagi. Ada yang setuju dengan Cikgu Pa, ada juga yang sokong Ayoh Wan. Pemuda pula bertegas mahukan calon muda. Maka, akhirnya keputusan terserah kepada Dato' Seri Presiden. Dalam masa 10 hari ini, macam-macam boleh jadi. fikiran pun boleh berubah. Masing-masing mungkin akan berusaha untuk memastikan calon pilihan hatinya naik poster.

Secara peribadi, penulis mahu calonnya orang muda, sudah dikenali anggota parti, tiada 'track record' yang tidak baik, dan majoriti ahli parti serta orang awam bersetuju. Orang muda yang baru walaupun tinggi akademiknya, agak sukar diterima lebih-lebih lagi pilihanraya kecil begini. Parti akan melalui jalan sukar untuk memperkenalkan calon ini. Setiap kali ceramah, penceramah terpaksa memperkenalkan biodata calon baru yang tidak dikenali orang. Seperkara lagi, calon yang tidak berada dalam organisasi parti mempunyai risiko kemudian hari. Ini banyak berlaku dalam pilihanraya lepas-lepas. Ada calon-calon yang tidak faham selok belok gerakan Islam, mereka mudah sahaja menolak keputusan parti sekiranya mereka tidak bersetuju. Tiada konsep as sam;u wattaah(dengar dan patuh arahan). Jadi, risiko sami'na wa asoina (kami dengar tapi kami sanggah) sekiranya memilih calon yang tidak ditarbiyyah dengan tarbiyyah harakah islamiyyah adalah tinggi berbanding yang telah ditarbiyyah sekian lama.

Tujuan Tarbiyyah dalam Gerakan Islam ialah melahirkan pejuang-pejuang yang memberi ketaatan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Islam. Ia melahirkan individu yang tidak pertikaikan keputusan parti di semua peringkat selagimana tidak bercanggah dengan syariat. Sejak semalam, penulis dihujani dengan sms yang sangat-sangat marah kerana mereka dapat gambaran bahawa orang lama akan jadi calon. Penulis tidak menafikan semua anggota parti memikirkan calon yang akan memenangkan parti. Tapi cara mereka berfikir dan melontar idea melalui kata-kata seolah-olah mereka mahu gulingkan pimpinan. Mereka ugut mahu menutup markaz, tidak mahu berkempen dan sebagainya. Inilah ujian getir bagi pimpinan apabila berhadapan dengan pilihanraya. Tapi penulis yakin dan percaya bahawa apabila 1 januari tiba nanti, insyaALLAH mereka akan puashati dengan ucapan Dato' Seri Presiden untuk memberi komitmen 100% untuk memenangkan calon Pas.

Idealisme perjuangan menuntut agar kita memilih pemimpin yang faham agama, khususnya berkait harakah islamiyyah. Konsep syura, amal jama'ie, amal wala', wehdatul fikri, wehdatul amal dan lain-lain adalah sangat mustahak. Pemimpin dalam dunia politik tanahair terbahagi kepada dua iaitu pemimpin parti/jamaah dan pemimpin rakyat. Pemimpin parti politik dalam Pas harus mempunyai kefahaman yang jelas tentang konsep-konsep di atas. Manakala pemimpin rakyat ialah mereka yang dipilih dalam proses pilihanraya melalui sistem demokrasi berparlimen di negara kita, baik ahli dewan undangan negeri mahupun dwan rakyat(parlimen). Pemimpin rakyat sukar ditentukan berbanding pemimpin parti. Calon wakil rakyat bagi Pas lebih sukar ditentukan berbanding calon BN kerana calon harus diseimbangkan antara kehendak idelialism kepemimpinan dalam Islam dengan kehendak rakyat. BN pula, sebenarnya lebih suka memilih calon yang mampu bawa kemenangan kepada parti walaupun bukan di kalangan orang parti. Tapi dalam kes Kuala Terengganu, BN memilih Wan Farid, iaitu calon yang mempunyai kuasa lebih daripada calon-calon lain kerana beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Adakah ini calon popular? Wallahu a'lam. Itu kena tunggu waktu kempen dan hari mengundi. Ada ahli Umno yang bercakap, kalau Wan Farid bertanding, kita akan kalah. Ini disebabkan Wan Farid tidak tinggal di Kuala Terengganu. Banyak masa beliau berada di Kuala Lumpur. Beliau sendiri tidak dikenali sebagai orang yang ramah mesra dengan masyarakat melainkan melalui program-program rasmi kerajaan dan parti. Itupun dipaksa-paksa senyumnya.

Berbalik kepada calon Pas, maka antara empat nama di atas, penulis rasa Arifin Deraman lah yang patut jadi calon kerana beliau banyak memenuhi ciri-ciri yang disebutkan.

Anda bagaimana??

Saturday, December 20, 2008

WAN FARID PULAK!


"Itulah politik". Jawab seorang teman apabila ditanya tentang kenapa Wan Farid dipilih sebagai calon BN. Dari awal lagi penulis memang sudah menjangkakan bahawa Wan Farid akan jadi calon. Tetapi angin yang bertiup setiap hari selalu bertukar arah. Akhirnya ia kembali ke arah yang asal.

Penganalisis Amatur politik tanahair macam penulis dan ramai blogger-blogger lain meramal calon lain akan diumumkan apabila Wan Farid dilantik senator. Lebih-lebih lagi apabila ada pemberi maklumat memaklumkan bahawa Zubir Embong sudah letak jawatan sebagai kakitangan awam dan sudah siapkan gambar untuk borang pencalonan. Kalau benarlah begitu, bermakna memang berlaku 'pertarungan' dalaman yang sengit antara Mad Said dengan Wan Farid.

Wan Farid yang diputuskan sebagai calon dalam mesyuarat Umno Kawasan baru-baru ini, tiba-tiba keputusan itu mahu disembunyikan oleh Mad Said apabila ditanya oleh wartawan. Sehinggalah si Khazan Che Mat mencadangkan agar Wan Farid dilantik semula sebagai Senator dan dipersetujui oleh Dewan Undangan Negeri.

Usaha untuk menggugurkan Wan Farid daripada dicalonkan nampaknya gagal apabila Datuk Seri Najib mengumumkan bahawa calon BN adalah Wan Farid semalam.

Sunday, December 14, 2008

TEKA TEKI CALON BN BELUM SELESAI

Mana satu calon BN ni? Wan Farid sudah terkeluar dari senarai bakal calon apabila dilantik semula menjadi Senator. Nordiana Shafie pula tidak dilantik semula untuk menjadi senator, sebaliknya diganti oleh Hajah Fatimah Hamat, Naib Ketua Wanita Umno negeri. Mungkin juga Nordiana Shafie akan jadi calon kerana rekodnya dalam Umno baik. Tiada masalah disiplin, imej bersih. Barangkali sebab itulah beliau tidak lagi dilantik menjadi senator. Agar beliau dapat bertanding dengan baik.

Seorang lagi yang mungkin jadi calon ialah Zubir Embong(bukan Dato' Zubir Embong Ketua Penerangan), seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Malaysia. Beliau tidak disukai ramai guru di Terengganu kerana sikap politiknya yang terlalu menonjol. Kata seorang guru yang penulis kenali, "kalau dia naik jadi calon, orang pas goyang kaki tak apa. Orang tak suka dia." Penulis tak berapa setuju dengan kawan penulis tu sebab bukan semua yang tahu perangainya. Itu hanya di kalangan guru-guru dan kakitangan sekolah barangkali. Imejnya boleh di'project'kan. Cuma kalau nak banding antara dia dengan Datuk Razali, maka jawabnya jauh panggang dari api. Macam langit dan bumi. Yang sama hanya partinya. Selepas kematian Datuk Razali, orang ramai bercakap fasal kebaikannya. Disenangi oleh kakitangan awam di institusi pendidikan. Waktu tidak terlibat dalam politik dulu, beliau antara orang yang sangat berdisiplin dan berdedikasi dalam menjalankan tugas. Pernah diceritakan orang bahawa beliau selalu datang ke pejabat seawal 6.30 pagi!!! Lepas selesai solat subuh je, terus ke pejabat. Zubir Embong yg tidak Dato' ni, ntah macamana lah nanti...

Kita tunggu dan lihat apa jawapan teka teki ini...

WAN FARID BUKAN CALON BN


Semalam penulis dapat 'info' terbaru mengatakan Dato' Wan Farid tidak akan jadi calon BN untuk Pilihanraya Kecil kali ini. Penulis pada awalnya tidak percaya, tetapi hari ini, Terpampang di dada akhbar bahawa Wan Ahmad Farid Wan Salleh dilantik menjadi Senator Dewan Negara bagi mengisi kekosongan 2 kerusi itu. Soerang lagi ialah Fatimah Hamat, Ketua Wanita Umno Terengganu.

Barangkali ini strategi pihak tertentu dalam Umno untuk menyekat Wan Farid dari bertanding. Orang yang mencadangkan beliau dilantik jadi senator ialah Khazan Che Mat, ADUN Batu Rakit, yang juga Exco Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri(dulu Islam Hadhari).

Sekarang kebarangkalian nama-nama lain naik kembali meniti di bibir penganalisa amatur politik negeri. Siapa sebenarnya? Nordiana Shafie, Roslan Awang Chik, Dato'Zubir Embong, atau Che Mat Jusoh?

Kita tunggu dan lihat lagi dan lagi....

SATU LAGI BALON (BAKAL CALON)BEBAS-6 PENJURU?


Seorang pemborong getah sekerap umum tanding PRK Kuala Terengganu. Isma Airfath Hasanuddin , 38 tahun, dari Rantau Panjang Kelantan menyuarakan hasratnya itu ketika membuat kenyataan media di Bastu Buruk Beach Resort semalam. Beliau datang ke Kuala Terengganu untuk mengambil borang pencalonan di Pejabat SPR Negeri.

Beliau yang pernah bertanding calon bebas melawan calon BN dan PAS(Afandi Mohamad) pada PRU12 lalu, hanya mendapat 330 undi, dengan menggunakan lambang kepala harimau(Tak hairan lah dapat undi banyak tu...Orang tengok kepala harimau pun dah meremang bulu tengkuk).

Beliau yang ditemuramah wartawan, menyatakan keyakinannya untuk menang kerana mendapat sokongan padu dari ahli Persatuan Skuter yang beliau sertai. "Jangan terkejut jika saya menang pada pilihanraya kecil tersebut."Katanya kepada wartawan. (Ye la tu....berapa juta ahli persatuan Skuter mung?).

Sebelum ini, sudah dua individu yang berminat untuk bertanding pilihanraya kecil ini iaitu Hazlan Ismail dan Makcik Maimun. Bayangkan 3 calon bebas dan 3 calon berparti akan memeriahkan PRK P 036 Kuala Terengganu kali ini!!!

Kalau betul semua bertanding, maka 17 Januari 2009 akan jadi "HARI INI DALAM SEJARAH". Boleh masuk Malaysia Book of Record kot...

Saturday, December 13, 2008

PETUA MENANG PILIHANRAYA DARI NAJIB


Semalam Najib datang bawa 408juta untuk Mat Said. Punyalah lebar senyuman Mat Said, hingga mencecah telinga. Dijulangnya tinggi-tinggi replika cek. Maklumlah orang tak pernah terima royalti sebanyak tu. Tapi tidakkah dia sedar bahawa yang sepatutnya layak diterima berganda-ganda lebih dari itu? Sepatut dapat 5 bilion lebih, tapi dgula-gulakan dengan tambahan 408juta. Dekat pilihanraya pulak tu! Rakyat Terengganu macam tak faham pulak...Biasalah tu setiap kali pilihanraya dekat, macam-macam la bawa itu dan ini. Kekadang sekadar janji kosong sahaja.

Berbalik kepada tajuk, antara isi kandungan ucapan Najib semalam, beliau memberi petua untuk menang pilihanraya. Katanya, "Kalau nak menang pilihanraya, kena MESRA RAKYAT dan MERENDAH DIRI selalu. Tak payah teori dari Cambridge, tak payah teori dari Oxford. "

Penulis rasa kena setuju dengan Najib kali ini. Yang menariknya, sangat dalam maknanya apabila Najib sebut 'tak payah teori dari Cambridge dan Oxford'. Waktu Najib sebut, penulis terus teringatkan Idris yang memang kuat 'mengaji' kata orang Terengganu. Pernah pergi Oxford dan Cambridge. Belajar teori itu dan teori ini.Lalu apabila memerintah Terengganu, beliau memperkenalkan istilah itu dan ini. Terakhir sebelum beliau di'guling'kan, teori 'Blue Ocean Strategy' sempat dibawa masuk ke Wisma Darul Iman. Itulah strategi yang digunapakai oleh Umno waktu pilihanraya umum ke 12. Kalau terjemah, ia jadi'Strategi Lautan Biru'. Tentu pembaca ingat tentang lautan biru, kan? Ternyata Najib memang tidak sukakan Idris sebagaimana dalam diam beliau tak sukakan Pak Lah. Memang patut pun, sebab Idris kamcing dengan Pak Lah. Segala permintaan Idris, Pak Lah turuti. Sehinggalah permintaan terakhir dari Idris ialah memberi perhatian yang penuh terhadap Terengganu dalam PRU12, menyebabkan Pak Lah hilang 4 negeri lain. Ini kesilapan terbesar Pak Lah yang menyebabkan pimpinan lain menyalahkannya.

Mat Said pula memang patut menarik nafas lega kerana 2 perkara. Pertama kerana dapat 408 juta walaupun jauh nilainya berbanding 5 bilion lebih. Kedua kerana pemerintahan beliau sudah diberi pengiktirafan oleh Bakal Perdana Menteri (entah jadi ke tidak) untuk menguruskan sendiri wang royalti petroleum.

Friday, December 12, 2008

HAZLAN SUDAH MULAKAN GERAKERJA PRK

Nampaknya Pas akan lalui jalan sukar untuk menawan kembali P 036 Kuala Terengganu 17 Januari 2009 nanti. Maklumat yang diterima menyatakan bahawa Hazlan Ismail yang berhasrat untuk bertanding calon bebas telah mulakan gerakerja pilihanraya apabila beliau telah menempah 10 ribu baju t untuk anak-anak muda di Kuala Terengganu. Pada PRU 12, Pas terpaksa hadapi calon bebas Makcik Maimun yang bergantung dengan tajaan orang, kali ini Pas terpaksa berhadapan dengan Hazlan yang mempunyai kewangan peribadi yang kukuh. Bahkan ada yang beranggapan beliaulah yang paling kaya di K. Terengganu buat masa sekarang! Pernah orang bertanyakan sikap politik Hazlan suatu ketika dahulu. Beliau menjawab bahawa sama sahaja biru ataupun hijau, mahukan kuasa sahaja. Sekarang terbukti beliau pun sama mahu merebut kuasa politik juga. Tapi menurut satu sumber, beliau sebenarnya mahu membersihkan namanya yang sedikit tercalar kerana pernah ditahan polis atas kes syabu tetapi tidak disabitkan bersalah. Ramai juga anak beranaknya yang sudah mula 'bising', marah-marah kerana beliau masuk politik.

Walaupun Ketua Pemuda Pas telah beri gambaran bahawa calon Pas merupakan lulusan PhD, ia tetap masih samar. Lebih samar daripada Umno BN. Walaupun Sinar hari ini melaporkan bahawa ada 5 nama yang dicalonkan oleh Umno Kuala Terengganu, Umum seolah-olah telah sepakat bahawa calon 'favourite' ialah Wan Farid.

Apa-apa pun, 6 Januari masih jauh. Pelancaran gerakerja PRK untuk PAS telah bermula. Hari semakin hari, kehangatan PRK semakin terasa. Kuala Terengganu akan 'jammed' dengan petugas-petugas dan penyokong-penyokong kedua-dua belah parti.

Kita tunggu lagi dan lihat...

Thursday, December 11, 2008

RM400 JUTA TAMBAHAN UTK TERENGGANU

Hari ini SinarHarian melaporkan sejumlah RM400juta tambahan daripada royalti minyak akan diberikan kepada kerajaan Terengganu menjelang tahun baru nanti. Penulis pada mulanya merasakan bertuahnya kerajaan Terengganu kerana dapat duit sebanyak itu. Tetapi setelah difikirkan, kenapalah bengap sangat kerajaan negeri yang akur dengan helah mainan Pak Lah. Bukankah jumlah terkumpul royalti Terengganu mencecah lebih 5 bilion? 400 juta daripada 5 bilion tu berapa la sangat? macam bagi gula-gula kepada budak-budak , kemudian suruh pergi main jauh-jauh.

Nasib ngko la Mat Said Kerah keng....

Wednesday, December 10, 2008

MAT SAID BELUM TERIMA SENARAI CALON

Dalam SinarHarian hari ini(Khamis), Mat Said mendakwa beliau belum menerima senarai calon yang dicadangkan oleh Barisan Nasional Kuala Terengganu yang dipimpin oleh Dato' Wan Farid. Apabila ditanya berkenaan keputusan Mesyuarat BN Bahagian Kuala Terengganu, beliau berkata bahawa senarai calon belum diserahkan kepadanya.

Komen penulis, ini menunjukkan bahawa Mat Said memang tak berkenan dengan Wan Farid. Masakan Mat Said sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri tidak tahu keputusan bahagian dengan cepat. Apa dalam pemikiran Mat Said untuk selesaikan masalah ini. Penulis berpendapat Mat Said hanya 'pasrah' dengan keputusan yang dibuat kerana kalau beliau buat kerah keng lagi, sudah tentu akan mendapat tentangan dari BN Pusat. Ramai juga yang berpendapat bahawa calon mungkin orang lain.

Mungkinkah BN Negeri buat keputusan lain dari yang lain? Mungkinkah BN negeri akan cadangkan calon di luar kotak Jawatankuasa Umno yang ada? Ini pernah berlaku di peringkat pusat di mana rakyat tidak menyangka suatu ketika dahulu orang sebaik Ustaz Pirdaus Ismail dan Dr Masyitah Ibrahim boleh masuk politik dan bertanding atas tiket Umno. 'Figure' mana yang sesuai agaknya diletakkan di K.Terengganu kalau betul Umno mahu lain dari yang lain? Penulis terlintas seorang tokoh agama yang tajuk asing lagi. Memang sudah ter'SOHOR' seantero Malaysia iaitu Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Beliau memang anak jati Kuala Terengganu. Kalau yang ini lah jadi calon BN, boleh tahan sengit juga pertarungan kali ini. Mungkin ia mampu menarik undi Melayu atas pagar. Tapi itu cuma imaginasi penulis aja. Belum ada orang Umno yang bercakap. Orang Pas kata Ustaz Wan Sohor ni 'orang kita'. Penulis sudah di'inform' oleh sahabat penulis yang jadi pensyarah UIAM bahawa Ustaz Wan Sohor dah masuk Umno. Dah banyak juga program Umno yang beliau terima jemputan.

Apa-apa pun, kita tunggu dan lihat lagi...

SAH WAN FARID CALON BN


Pagi tadi mesyuarat Barisan Nasional Terengganu berjalan. Agenda utamanya nak pilih siapa yang akan bertanding di P 036 Parlimen Kuala Terengganu. Penulis tak sangka seorang kawan lama hantar sms berbunyi, " Sah Wan Farid bertanding. Mesy BN putus pg td" Penulis memang dah agak pun. Rasanya semua orang dari Pas dan Umno memang dah agak Dato' Farid akan bertanding. Kelebihannya banyak. Beliau lah Ketua Bahagian, beliau juga bekas Setiausaha Politik Pak Lah. Hubungan baik beliau dengan Pak Lah pun tak dinafikan. Tapi sudah tentu ada masalah dengan klik-klik lain. Dengar kata Mat Kerak memang pujuk si Hazlan tokey futsal supaya bertanding tiket bebas untuk jatuhkan Wan Farid. Itulah politik Umno. Bukan di sini sahaja. Di mana-mana pun, baik di peringkat tinggi mahu pun akar umbi, fenomena 'peteh keting' merupakan perkara biasa.

Bagi Pas pula, calonnya masih dirahsiakan walaupun Pas Terengganu telah beri gambaran bahawa calon yang di'endorse'kan kepada Pas Pusat merupakan seorang Prof. Punyalah susah nak dapat info ni, kecek punya kecek, calon yang dimaksudkan ialah Prof Dr "..tut..", anak tempatan berasal dari Kampung "..tut..". Ayahnya dikenali sebagai "..tut..". Dengar cerita beliau asalnya tak mahu bertanding sebab terikat dengan projek kerajaan. Projek apa pun penulis tak tahu tapi kata sumber penulis, juta-juta nilainya. Maaflah penulis belum bersedia untuk dedahkan siapa calon. Tunggu jelah masanya. Bukan apa, penulis hormati sahabat penulis yang jadi sumber maklumat tu. Katanya pimpinan belum benarkan isytihar lagi pilihan negeri. Mungkin ada yang sudah tahu. Tak pelah...

Mungkin Pas pilih calon kali ini kerana kelayakan akademik yang tinggi. Penulis rasa bertanding pilihanraya ni bukan soal akademik semata-mata. Soal penerimaan masyarakat setempat pun kena ambil kira. Orang Pas dan orang Umno memang sudah pasti memangkah calon mereka walau siapapun. Tinggal yang nak ditarik undinya ialah golongan atas pagar. Tidak ada parti mana-mana. Cina yang 10% itu umumnya terbahagi kepada 3 kelompok. Yang menganggotai MCA sudah pasti pangkah BN. Ahli DAP akan pangkah calon Pas kalau ada restu Lim Kit Siang dan pimpinan DAP Pusat(memang sudah diumumkan komitmen mereka). Yang atas pagar di kalangan mereka akan melihat apa untung rugi mereka pangkah calon Pas atau Umno. Begitu juga dengan pengundi atas pagar melayu dan lain-lain. Cuma sentimen bangsa sangat kuat di kalangan Melayu. Sudah tentu mereka tidak akan pangkah calon bukan melayu (tak timbul dalam pilihanraya kali ini).

Hubungan calon dengan masyarakat sangat penting agar mereka terpikat untuk mengundi calon tersebut. Dato' Wan Farid sudah dikenali oleh masyarakat. Yang tinggal ialah sama ada beliau turun ke padang atau tidak sahaja. Yang digambarkan dalam akhbar semenjak dua menjak, beliau memang giat turun bertemu dengan masyarakat. Ini merupakan suatu kelebihan bagi beliau.

Pas perlu bekerja keras untuk memperkenalkan calon baru mereka. Ini tidak mustahil dilakukan. Ambil contoh Dato' Tengku Hasan yang memenangi dun Ladang. Beliau sangat-sangat efektif dalam hal memenangi hati rakyat. Beliau sangat mesra rakyat dan banyak membantu rakyat, walaupun beliau baru menceburi bidang politik ini. Sebelum ini beliau dikenali sebagai Bekas Pegawai Kerajaan Negeri. Pegawai Tinggi Kerajaan merupakan golongan elit dalam masyarakat tetapi Tengku Hasan mampu memecah tembok ke'elit'an itu dengan mudah dan cepat. Sikapnya yang mudah tersenyum, bertegur sapa dan suka menolong itulah jadi 'senjata ampuh'nya untuk meraih undi. Soalnya, adakah ciri-ciri itu pada Prof Dr "..tut.."?

Kelebihan yang ada pada Pas sekarang ialah banyak isu berpihak kepada Pakatan Rakyat. 'Mood' rakyat tengah baik untuk berpihak kepada Pembangkang. Tetapi skala 'mood' itulah yang kita tidak tahu. Siapa yang mampu mengukurnya?

Penulis tinggalkan soalan di atas buat pembaca...

Wednesday, December 3, 2008

PRK P 36 KUALA TERENGGANU PERTARUNGAN 5 PENJURU?

Kuala Terengganu- Berita SinarHarian hari ini melaporkan ada seorang lagi calon bebas yang menyatakan minta untuk bertanding bagi Pilihanraya Kecil P 36 Parlimen Kuala Terengganu iaitu Encik Hazlan Ismail, seorang Usahawan muda yang baru berusia 25 tahun.

Setakat pengetahuan penulis, Hazlan ni dikenali di kalangan orang muda kerana beliau mengusahakan 4 buah gelanggang futsal di Kampung Gong Tok Nasek. Bukan setakat itu sahaja, bahkan beliau juga memiliki beberapa buah bas persiaran, 2 unit Kedai runcit dan jual beli kad prepaid. Beliau juga mempunyai kenderaan-kenderaan mewah seperti Mercedes Brabus, BMW 7 siri, dan yang terbaru, Ferrari. Ini sangat membanggakan kerana dalam usia yang begitu muda, beliau mampu mengumpulkan harta sebegitu banyak dan harta ini bukannya diwarisi bari ibubapanya kerana difahamkan ibubapanya meninggal sejak kecil. Yang lebih menarik, beliau pernah menerima anugerah Usahawan Muda peringkat Kebangsaan pada tahun lepas kalau penulis tidak silap.

Ada juga sumber mengatakan bahawa Mat Kerak(Sabri Alwi) lah orang yang bertanggungjawab memujuk Hazlan bertanding. Ada juga yang mengatakan bahawa Hazlan sendiri telah mengumumkan dirinya akan bertanding untuk Umno kepada kawan-kawannya. Kalau benarlah begitu, mana mahu letak Dato' Wan Farid? Mat Kerak pula tidak tahukah bahawa Hazlan itu cenderung kepada Pas? Ataupun mungkin juga ini perangkap untuk memecahkan undi atas alasan Hazlan baik dengan orang-orang Pas di peringkat akar umbi? Tetapi terang lagi bersuluh dalam SinarHarian bahawa beliau akan bertanding tiket bebas.

4 lagi calon yang bakal bertanding sudah dimaklumi umum iaitu Calon dari Pas, Umno, Akim dan seorang lagi calon bebas yang pernah bertanding PRU 12 lalu iaitu Makcik Maimun. Ini menjadikan kemungkinan pertembungan 5 penjuru!!! Kalau betullah jadi, maka ia akan jadi pilihanraya kecil rekod dalam sejarah. Makcik Maimun ketika ditemuramah menyatakan minat untuk masuk bertanding sekiranya ada orang sponsor. Ini satu petunjuk bahawa memang benarlah beliau ditaja sewaktu PRU12 yang lalu.

Akim pula yang muncul di PRK Permatang Pauh, menyatakan hasrat untuk bertanding lagi, walaupun hilang wang pertaruhan di Permatang Pauh. Kata wakil parti itu, mereka yakin akan dapat sokongan rakyat Kuala Terengganu, termasuklah ahli jamaah Tabligh. Penulis pun tak tahu pulak bila masa Maulana Tabligh buat fatwa boleh mengundi ni..Yang pasti, calon Akim pun ditaja Umno. Kalau sesiapa yang sempat memerhati poster dan bendera parti bertanding di Permatang Pauh baru-baru ini, pasti perasan bahawa poster dan bendera BN tak jauh dari poster dan bendera Akim. Ini seolah-olah menunjukkan orang yang sama memasang poster terbabit.

Bagi Pas pula, Yang Di Pertua Pas Kuala Terengganu membuat kenyataan kepada Malaysiakini bahawa partinya akan mencalonkan 'Rumi Tempatan'. Siapa dia Rumi Tempatan ni? Rumi merujuk kepada golongan bukan Ustaz atau ulama'. Manakala Tempatan pula bermakna Pas Terengganu ingin memilih calon tempatan, bukan calon luar seperti Mat Sabu sebagaimana PRU12 lalu. Tapi persoalannya, Mat Sabu beria-ia benar untuk bertanding di Kuala Terengganu. Nik Aziz menyatakan pendapatnya untuk memilih Mat Sabu sebagai calon terbaik. Tetapi Menteri Besar Kelantan itu menegaskan ia hanay pendapat peribadinya sahaja. Keputusan akan dibuat dalam mesyuarat pas pusat. Akhbar SinarHarian dan Utusan Melayu hari ini dengan jelas tajuknya " Mohamad Sabu calon Pas di Parlimen Kuala Terengganu." Tak habis-habis kerjanya nak melagakan ahli-ahli Pas.

Apa-apa pun, masa masih panjang, esok(jumaat) SPR akan bermesyuarat dan tarikh akan diumumkan menjelang malam esok mungkin. Sama-samalah kita tunggu dan lihat.........

Tuesday, December 2, 2008

MAT SABU NAK BERTANDING PILIHANRAYA KECIL P 36?

Ada kawan dari Penang 'call' kelmarin bagitau Ceramah Lim Kit Siang di sana yg dihadiri 10 ribu pendengar, ada sebut nama Mat Sabu sebagai BALON (Bakal Calon) P 36 Kuala Terengganu. Katanya Lim Kit Siang dan DAP memberi jaminan untuk beri komitmen sepenuhnya untuk turun berkempen di Kuala Terengganu bagi memberi sokongan kepada Abang Mat Sabu.

Berdesing telinga rasanya. Beberapa hari ni, di mana-mana sahaja penulis singgah, mesti ada yang bertanyakan siapakah calon Pas? Penulis ada juga acah nama Mat Sabu. Tapi diorang ni terus menunjukkan reaksi negatif. Baik di surau, tempat kenduri kawin, 'shopping complex', kedai kopi, pejabat, dan lain-lain tempat, semuanya bercakap tentang calon P 36, dan rata-rata yang menyokong pembangkang tolak nama Mat Sabu ke tepi.

"Tak boleh calon orang luar". Orang atas pagar tak suka",kata mereka.
"Tapi Cina suka,"Penulis cuba provok lagi.
"Cina berapa persen sangat. Pengaruh ke keputusan kalau Cina tak sokong? Kalau Cina 2000, pengundi pulok 80 ribu lebih, tu baru 2.5 %."Tambah kawan penulis lagi. Penulis hanya angguk kepala je sebab tak pasti betul ke perkiraannya tu.

Tiba-tiba penulis teringat dalam berita TV3 (suku)kelmarin juga, Timbalan Presiden Pas , Ustaz Nasharudin Mat Isa sebut bahawa keputusan siapa calon Pas akan diputuskan pada 21 Disember. Lambat lagi tu. Tiada nama atau gambaran calon bagaimana akan diputuskan. Mungkin berita itu melegakan sesetengah pihak dalam pembangkang yang tidak mahu perkara yang sama berulang di Kuala Terengganu iaitu kehadiran calon luar. Boleh dikatakan sentimen ini sangat kuat walaupun itu bukannya satu-satunya faktor kekalahan P36 pada PRU12 yang lalu. Cuma penulis bimbang akan ada lobi melobi di kalangan pimpinan tertinggi untuk mengangkat nama Abang Mat kembali. Tapi pimpinan Pas pusat takkan sebegitu 'tak cerdik' sehinggakan mahu mengulangi kesilapan yang sama walaupun sudah terang lagi bersuluh.

Apa-apa pun, kita tunggu perkembangannya sebagaimana kita tunggu juga perkembangan berita banjir saban hari. Kuala Terengganu bakal di'banjiri' orang luar datang berkempen di Kuala Terengganu. Penulis rasa Mat Said MB kerah keng patut bersyukur (bahkan patut sujud syukur) kerana Pilihanraya Kecil ini akan melonjakkan statistik kedatangan pelancong ke dalam negeri serta menambah makmurkan ekonomi negeri sesuai dengan tahun melawat Terengganu 2008.
Related Posts with Thumbnails