Thursday, December 31, 2009

NAZRI AZIZ KATA WANITA UMNO BODOH


Sinar Harian, Edisi Terengganu, mukasurat N7 hari ini(1 Januari 2010), bertajuk "BUKAN SALAH SAYA:NAZRI".

Pergerakan Wanita UMNO mendesak Nazri Aziz letak jawatan kerana ketidakhadiran wakil rakyat2 UMNO dalam sidang parlimen 14 Disember lalu ketika pengundian meluluskan Bajet 2010.

Jawapan beliau mudah sahaja, "Bukan saya yang patut lepaskan jawatan, tetapi wakil rakyat yang tidak hadir perlu letak jawatan dan memohon maaf." Beliau juga menuduh wanita UMNO tidak faham bidang tugas.

WANITA UMNO BODOH

"Tindakan mereka kurang bijak. Mereka tidak faham tugas saya sebagai individu bertanggungjawab terhadap kerajaan bukannya parti. Sekiranya tidak faham, jangan bercakap dan bertindak seperti orang bodoh."

AHLI PARLIMEN UMNO PERLU LETAK JAWATAN

"Saya tidak bersalah dalam hal ini dan yang patut disarankan letak jawatan bukannya saya, sebaliknya wakil rakyat yang tidak hadir di parlimen, itu adalah tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen." katanya.

XPDC DAKWAH PEMUDA PAS

Semalam, aku jalan2 di Taman Shahbandar, tengok suasana malam tahun baru. Tak pernah lagi hayat aku sambut malam tahun baru. Hasrat cuma nak lihat sejauh mana sambutan rakyat Terengganu terhadap tahun baru masihi ni. Kurang lebih jam 10.30 malam aku sampai. Jalan sudah agak 'jammed'. Bunyi macam ceramah politik sayup kedengaran di tempat parking. aku yang mencari2 tempa parking, terpaksa berlabuh dekat Pasar Kedai Payang. Sesampai di Tmn Shahbandar, aku terperasan ada beberapa pemuda yang sedang mengedarkan risalah.

Tiba2 aku disapa salah seorang daripada mereka. "Assalamu'alaikum, bang. Selamat Tahun Baru. Orang Muda Geng Kita." katanya sambil mengukir senyuman yang telah di'program'kan. Aku buat2 tanya walaupun sudah mengagak mereka dari Pemuda Pas; "Ni apa ni?" Jawap salah seorang pemuda berambut pendek berpakaian baju t hijau, " Kami dari Pemuda Pas Terengganu buat XPDC DAKWAH." Ringkas jawapan beliau tetapi ia sudah cukup bagiku untuk memahami apa yang mereka sedang lakukan.

Aku kagum dengan pemuda2 Pas yang sanggup tahan malu untuk bertemu dengan orang ramai semata2 utk berdakwah. Aku baca risalah tersebut, ada logo, "Orang Muda Geng Kita", ada kata2 nasihat yang diselangi dengan hadis dan ayat al Qur'an.

Itulah pemuda harapan agama...

Wednesday, December 30, 2009

GILIRAN 'BUNUH WATAK' NIK AZIZ


Di saat kisah Erdogan dan Pro Ulama' sudah agak dingin, timbul kisah Politik anak beranak Tok Guru. Tok Guru Presiden Pas sudah tidak diserang lagi. Sekarang 'senapang' diacu kepada Tok Guru Nik Aziz dan keluarga. Apalah nasib Dua Tok Guru Pas ini. Lepas satu, satu isu melanda.

Sesiapa yang mengikuti rentetan isu sejak setahun dua ini, akan mudah sampai kepada kesimpulan bahawa ianya dirancang rapi oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan dua tonggak kepimpinan Ulama' dalam Pas. Bermula dengan Pertandingan jawatan Timbalan Presiden Pas pada Muktamar Tahunan di Ipoh Perak 2008 yang dihidangkan dengan isu Kerajaan Perpaduan, ia tidak berhenti setakat itu sahaja. Perancangan itu terus berjalan dan berjalan hinggalah sampai ke tahap hari ini, di mana senapang tidak lagi diacukan kepada Presiden, Timbalan Presiden, dan Setiausaha Agong, tetapi ia tepat menghala ke batang tubuh Pemimpin Kerohanian Tertinggi dalam Parti Islam SeMalaysia PAS iaitu Mursyidul Am sendiri.

'Character Assassination'

Apa yang berlaku kepada kedua-dua tokoh ini adalah hasil dari pelaksanaan kaedah 'character assassination' dalam dunia politik. Memang benar dalam dunia politik, 'There is no permanent friend and there is no permanent enemy in politics.' Semalam boleh jadi anak murid, hari ini mungkin musuh. Hari ini mungkin lawan, esok mungkin kawan. Watak Ustaz Nasarudin Mat Isa yang cuba dimatikan pada tahun 2009 dalam kisah 'blockbuster' ini tetapi gagal. Padahal Muktamar tahun 2007 dahulu, puak-puak Husam lah yang beria-ia benar mengangkat Ustaz Nasaruddin jadi Timbalan. Walau bagaimanapun, Muktamar akan datang, di mana pemilihan baru akan berlangsung, watak itu bakal disingkirkan. Manakala Tok Guru Presiden yang melepasi ujian getir 'character assassination' itu nampaknya tidak mudah goyah kedudukan beliau yang masih kuat pengaruh di akar umbi dan di kalangan sebahagian pimpinan tertinggi.

Oleh itu, 'Plan B' mesti dilaksanakan seberapa segera. Dalam pujian, ada sindiran. Dalam sanjungan, ada kecaman. Begitulah nampaknya tindakan Husam untuk menjatuhkan Nik Aziz, yang dianggap Gurunya itu. Teguran yang tidak 'direct' menyebut nama Tok Guru itu seolah-olah semacam suatu kaedah yang baik dalam menegur seorang pimpinan tertinggi. Bak kata Nabi s.a.w., "Sebaik-baik teguran adalah sindiran". Tetapi kita harus ingat Husam menggunakan media alternatif yang dikatakan sangat berkesan dalam dunia politik hari ini. Bukannya tegur dalam mesyuarat atau majlis dalaman parti!

Sewaktu sebahagian pimpinan Pas pusat seronok dan konsisten menyerang Tok Guru Presiden, mereka benar-benar bergantung pada jubah Tok Guru Mursyidul Am. Sekarang tidak lagi. Apabila Tok Guru Mursyidul Am sudah nampak lemah dan semacam mahu 'rebah', mereka cuba usahakan agar Tok Guru cepat-cepat rebah. Dengan harapan, apabila Tok Guru Mursyidul Am 'rebah', lebih mudah untuk singkirkan Tok Guru Presiden dari jawatannya dengan alasan pro Umno(Kerajaan Perpaduan), dengan 'projek'kan agar memegang jawatan Mursyidul Am yang baru. Kemudian, apabila kerusi Presiden kosong, mudahlah untuk Husam yang bijak itu bertanding jawatan Presiden. Blog-blog pro Husam yang sentiasa setia berkhidmat untuk tuannya akan mengukuhkan persepsi dunia politik tanahair bahawa Pas perlukan pemimpin baru yang berkarisma, bersemangat, bijaksana dan bijaksini macam dia.

Kalau kita benar-benar celik mainan politik ini, mudah sahaja buat kesimpulan bahawa memang tujuan Husam ingin menjatuhkan Tok Guru Nik Aziz. Kalau tidak masakan baru sekarang ditegur? Kenapa selama ini tidak? Bukankah Ariff Fahmi itu sudah bertahun-tahun pegang jawatan itu? Kemudian kenapa pula diheboh-hebohkan dalam blog beliau? Bukankah lebih baik ditegur secara berdepan? Ataupun Husam tidak sanggup bertentang mata dengan Tok Gurunya?

Sebenarnya Husam 'serang' Tok Guru kesayangannya di saat dia sudah tahu bahawa Tok Guru tahu apa yang dia rancang. Lihat bagaimana tindakan Tok Guru 'menggugurkan' dua Setiausahanya, Anuar Bakri Haron(SU Politik) dan Mohd Saiba Yaakob(SU Akhbar). Demi menjaga nama baik parti dan kerajaan negeri, kedua-dua setiausaha beliau meletakkan jawatan masing-masing dengan alasan tersendiri. Mohd Saiba dikatakan letak jawatan kerana tamat kontrak sebulan lagi. Maknanya kontrak tidak akan disambung lagi. Manakala Anuar Bakri pula, menurut Tok Guru sendiri, letak jawatan kerana anaknya di hospital. Alasan ini tidak masuk akal. Jarang orang letak jawatan kerana anak masuk hospital.

Pembaca nilailah sendiri.

Tuesday, December 29, 2009

PAS BOHONGI UMAT ISLAM, KETEPI HUDUD?


Saya merujuk kepada berita Sinar di mukasurat T2 hari ini (30 Disember 2009), yang bertajuk 'Pas bohongi umat Islam, ketepi Hudud". Kenyataan yang dkeluarkan oleh Ketua Penerangan Umno Terengganu, Razali Idris itu seolah-olah menggambarkan merekalah yang paling cakna terhadap hukum Islam. Ini samalah dengan kaedah Umno di negeri-negeri Pakatan Rakyat memerintah, mereka seolah-olah berjuang untuk menegakkan Islam di negeri terbabit.

Nampaknya kaedah menyerang tindak tanduk Pas dan melagakan dengan dasar parti sudah disepakati di seluruh negara. Tujuannya satu sahaja iaitu cuba mendatangkan syak dalam hati penyokong dan ahli Pas tentang keikhlasan Pimpinan Pas memperjuangkan Islam. Kerja buat orang rasa syak wasangka ini asalnya kerja syaitan dan iblis. Nampaknya Umno mewarisi kerja-kerja syaitan ni. Kalau benar mereka yang mahu membela Islam, sudah lama mereka laksanakan hudud dan qisas. Sepanjang 52 tahun merdeka, pernahkah nampak Umno bersungguh nak laksanakan Islam? Daripada undang-undang tertinggi dalam negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, hinggalah kepada pelaksanaannya, amalan kehakimannya, pentadbirannya, sistem pendidikannya, sistem ekonominya, adakah ia melambangkan jiwa yang cintakan Islam? Inilah tandanya Umno sangat tebal dengan sikap HIPOKRITnya.

Tajuk di bawah pula, "Pemuda UMNO cabar DAP terima negara Islam" merupakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Saudara Apli Yusof, Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu. Nampak sangat kebimbangan mereka terhadap Pakatan Rakyat yang semakin utuh dan mendapat tempat di hati rakyat.

Soal DAP menerima negara Islam atau tidak sudah tidak timbul lagi apabila masing-masing sudah boleh duduk sebaris untuk membentuk sebuah Pakatan Rakyat yang utuh dengan resolusi yang disepakati bersama. Cuba selidiki resolusi yang dibuat, adakah mana-mana bahagian yang bercanggah dengan Islam?

4 Resolusi tersebut ialah:
1)Demokrasi yang telus dan tulen,
2)Memacu ekonomi berprestasi tinggi,
3)Keadilan sosial dan pembangunan insan dan
4)Hubungan persekutuan - negeri dan dasar luar negara.

Tidak ada sama sekali yang bercanggah dengan tuntutan Islam. Bahkan pernyataan resolusi itulah yang menjadi tuntutan Islam sebagaimana yang difirman oleh Allah dalam ayat ان الله يأمر بالعدل و الاحسانyang bermaksud,"Sesungguhnya Allah menyuruh supaya berlaku adil dan berbuat baik.." Titik persamaan antara parti dalam Pakatan Rakyat ialah mahukan keadilan, dengan menolak kezaliman yang diamalkan dalam kerajaan yang dipimpin oleh Umno BN.

Soal slogan "Membangun Bersama Islam" yang ditukar dengan "Pas for All," ini merupakan soal pendekatan melalui istilah. Ia sekali-kali tidak merubah dasar Pas.

Soal hudud yang ditimbulkan Razali adalah isu lapuk. Umum sudah tahu bahawa Pas adalah 'PARTI ISLAM SEMALAYSIA'. Satu Malaysia sudah tahu perkataan Islam ada dalam nama PAS. Ia tidak mungkin dibuang. Ia bukan Parti Melayu, bukan juga parti mana-mana bangsa lain. Ia parti Islam yang menerima semua bangsa. Ini yang tidak ada pada Umno. Umno tidak syaratkan ahlinya mesti Islam tapi wajib Melayu! Dalam Islam pula, hukum Hudud adalah sebahagian daripada elemen perundangan Islam. Banyak lagi elemen lain seperti Qisas dan Ta'zir. Penggunaan ta'zir sangat luas skopnya apabila gugur syarat penggunaan hudud dan qisas dek kerana sukarnya memenuhi syarat itu. Kalau tidak menyebut perkataan hudud sekalipun dalam mana-mana ceramah dan himpunan Pakatan Rakyat, PAS tetap bawa Islam. Kalau DAP dan penyokong PAS yang bukan Islam sudah boleh menerima Islam yang dibawa oleh PAS, kenapa perlu bimbang lagi sebab Islam itu sendiri lebih luas daripada Hudud.

Inilah pendekatan yang baik dalam dakwah Islam yang dibawa PAS. Menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding dahulu bukan bermakna menggadai prinsip. Bahkan ia lebih menunjukkan kematangan dalam berpolitik. Itu adalah perkara biasa. Ini menandakan Pimpinan PAS berjiwa besar dan boleh bertolak ansur dengan rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat. Semangat inilah yang diperlukan untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional yang tidak mahu berhijrah meninggalkan kezaliman, penyelewengan dan segala yang busuk dalam Umno.

Monday, December 21, 2009

YB ALIAS BAKAL MB TERENGGANU


Semalam kecoh Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan pertikaman lidah antara Adun Umno dengan MB Mad Said. YB Alias Abdullah, Adun Alor Limbat dan YB Din Adam, Adun Bukit Besi mengasak Ahmad Said dengan soalan2 dan tuduhan sengaja menganaktirikan kawasan dun yang diwakili oleh Adun Umno yang menjadi musuh politiknya (walaupun sesama Umno). Sehingga YB Alias berpesan, "Kalau marah kepada wakil rakyat, jangan dendam kepada rakyat."

Manakala YB Din Adam pula mempertikaikan beliau tidak mengetahui mengenai sebuah syarikat pengendali dan keluasan lombong bijih besi di Bukit Besi yang Kerajaan Negeri luluskan, sedangkan beliau berupakan wakil rakyat di situ.

Episod baru pendedahan penyelewengan demi penyelewengan akan berlaku di arena politik Terengganu. Dun Terengganu yang sebelum ini hanya mendengar suara pembangkang sahaja, akan berubah suasana. Kali ini kita dapat menyaksikan Adun2 Umno akan menyerang Menteri Besarnya. 'Serangan' kali ini agak agresif dan penulis merasakan ia adalah suatu perancangan teliti untuk menjatuhkan Ahmad Said pada sidang dun kali ini. Penulis berharap biarlah Ahmad Said jatuh dan biar Allah buka hatinya untuk masuk Pas. Mungkin ramai pengikut dan kaum kerabatnya akan menyusul kemudian.

Krisis Kepimpinan Umno Terengganu tak dapat dibendung lagi. Ahmad Said terpaksa terima hakikat bahawa hayat politiknya sebagai Menteri Besar tidak lama. Ia bakal berkubur sedikit masa lagi. Sudah tentu Ahmad Said mempunyai perancangannya sendiri. Lebih2 lagi setelah kembalinya bermunajat kepada Allah di hadapan ka'abah. Barangkali beliau memohon ilham bagaimana ingin menyelesaikan masalah politiknya sekembalinya dari tanah suci itu. Kekadang Allah tidak beri sebagaimana yang kita minta. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kita sesuai dengan keperluan kita, bukan sesuai dengan kehendak nafsu kita. Barangkali letak jawatan lebih baik untuk Ahmad Said, dan barangkali mengisytiharkan diri keluar Umno juga lebih baik untuk Ahmad Said. Tapi ia keputusan yang sangat sukar dan getir buat seorang ahli politik seperti beliau. Ia perlukan 'strong will'. Di sinilah perlunya peranan orang seperti Ustaz Harun Taib, Abdul Wahid Endut, Dr Syed Azman dan kawan2 pembangkang mendekati al mala' seperti Ahmad Said yang sedang tersepit untuk bersama-sama dengan perjuangan Islam.

ALIAS BAKAL MB?
YB Alias pula mengambil kesempatan untuk menonjolkan dirinya sebagai hero kumpulan 10 budak hitam agar 'melayakkan' dirinya untuk mewarisi takhta Menteri Besar yang bakal ditinggalkan Ahmad Said nanti. Orangnya yang dikatakan 'bersih' oleh pengikut2nya, adalah insan paling layak dalam kepimpinan Umno Terengganu untuk menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Idris Jusoh dan Rosol Wahid terpaksa menerima hakikat bahawa Sultan sesekali tidak akan menerima mereka sebagai Menteri Besar. Antara insan lain yang merasakan diri mereka layak ialah Dato' Rahin yang suaranya halus bak buluh perindu. Inipun tidak akan dapat sokongan padu daripada seluruh kepimpinan Umno negeri. Begitu juga Razif yang dikatakan berpotensi untuk menjawat jawatan MB itu, masih mentah lagi dalam dunia politik sepak terajang Umno Barisan Nasional. Maka selepas tolak campur, tolak campur, balik semula kepada Alias Abdullah. Sumber risikan dari kawasan beliau sendiri mengatakan anginnya sangat kuat bertiup bahawa Alias dapat sokongan hampir padu daripada ahli-ahli Umno.

Kita tunggu dan lihat lagi seterusnya. Penulis akan terus mencari2 info terkini dari sumber2 dalaman. Sekian.

Monday, December 14, 2009

Rosol Wahid Mengaku Umno Lemah

Penulis terpanggil untuk ulas Berita mukadepan SinarHarian versi Terengganu yang bertajuk, "MELAYU LEMAH". Wartawan Sinar melaporkan bahawa Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri, Datuk Rosol Wahid yang memberi komen terhadap isu pimpinan DAP mempersoalkan peruntukan yang besar untuk pembinaan masjid.

Katanya "Isu ini tidak sepatutnya berlaku kerana turut menyentuh Perlembagaan tetapi saya percaya ini disebabkan PARTI MELAYU CUKUP LEMAH sehingga timbul keberanian mereka berbuat demikian."

Jelas Rosol merujuk kepada Umno. Umum mengetahui bahawa memang Umno semakin lemah. Tapi Rosol bertindak tidak cerdik apabila mengakui betapa lemahnya Umno @ parti melayu kepada media. Sebenarnya Rosol dan geng2nya lah yang melemahkan Umno di Terengganu. Penulis rasa Ahmad Said boleh bersetuju dengan pendapat ini. Kalau kita imbas kembali, maka kita akan jumpa muka Rosol dalam media arus perdana, membuat kenyataan menolak kepimpinan Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar. Kelemahan kesatuan Umno terserlah hinggalah kini. Beliau tidak sedar Umno Terengganu menuju kehancuran apabila beliau bersama Idris Jusoh membina team sendiri untuk menghancurkan masa depan Ahmad Said. Usaha mereka gagal setakat ini menyebabkan mereka pasif di dewan undangan negeri.

Penulis terfikir macamana orang macam Rosol and the gang boleh menyatupadukan masyarakat melayu Terengganu sedangkan dalam Umno sendiri pun 'kucalana', tak bersatupadu, wujud perpecahan. Macamana nak bersatuhati kalau sengaja mewujudkan kebencian terhadap Sultan apabila mengangkat kain rentang menyokong Dato Seri Idris Jusoh, dan kain rentang kurang ajar "Kami nak Idris, natang!".

Jadi, pemimpin Umno tak payahlah nak tunjuk lagak jadi hero bela Melayu sedangkan tindakan mereka sebenarnya memecahbelahkan melayu. Lihatlah apa yang mereka buat kepada negeri Terengganu. Projek2 di Besut dikongsi bersama dengan Cina Ah Fook(kroni Idris ), manakala di Kemaman dikongsi dengan syarikat Cina kroni Ahmad Said. Melayu ditindas. Tanah-tanah yang telah dilulus zaman Pas memerintah, ditarikbalik. Ada rumah yang dirobohkan. Bahkan rumah Allah pun dirobohkan!!

Kalau nak kuat, bukan bersatu dengan Umno yang semakin hapak, busuk, meluat, meloyakan, tapi masuklah PAS. Bersatulah atas nama Islam, nescaya kebajikan dan keadilan semua kaum dijamin.

Sunday, December 13, 2009

JANGAN BIAR KEMUNCUP BERTAMBAH BANYAK


Aku baru sahaja tengok sebahagian petikan ucapan pesuruhjaya Pas Terengganu di pertemuan dengan blogger Pas baru2 ni. Tajuk video klip tu "Jangan Hirau Kemuncup di Jalanan."

Sebenarnya aku punya pandangan yang berbeza tentang isu ini. Kemuncup di jalanan boleh ditafsirkan apa sahaja oleh pendokong perjuangan Pas. Tapi aku pasti, yang dimaksudkan oleh Ustaz Harun antaranya ialah isu-isu dalaman yang berlaku dalam Pas seperti Erdogan vs ulama', EGM @ Seminar, Tok Guru & Arifffahmi vs kickdefella, dll. Semua ini mungkin dianggap 'kemuncup di jalanan'. Kemuncup yang melekat walaupun tidak besar bahayanya, tapi ia melambatkan perjalanan. Yang patut pemimpin Pas buat ialah bertindak segera 'cabut kemuncup' itu, bukannya tunggu ia penuh diseluar @ kain peikat @ jubah. Sakit mata dilihat!!! Kalau dah banyak kemuncup melekat dekat pakaian, apa pula kata orang ramai yang melihat. Bukankah ia akan mencacatkan pemancangan, mencacatkan imej pemimpin? Nak tunggu menang dulu baru nak cabut? Kita tahu ke bila kita menang?

Inilah barangkali yang menyebabkan persepsi masyarakat terhadap Pas menjadi negatif. Akibat sikap pemimpinnya yang lambat bertindak, menyebabkan sesuatu isu menjadi lebih besar.

Aku percaya kalau kita mahu menang besar (perintah Malaysia), kita mesti berjiwa besar, sanggup ditegur dan sanggup berubah ke arah lebih baik. Jangan hanya sanggup ditegur tetapi tidak sanggup berubah. Ini yang ramai ni.....

Percayalah, sebenarnya faktor terbesar yang menyebabkan masyarakat tidak mahu berubah ialah SIKAP. Aku ulangi ...SIKAP. Bercakap secara umum, kajian mendapati faktor ilmu dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan seseorang hanyalah 7 %. Selebihnya sebanyak 93% merupakan sumbangan SIKAP kita.

Patutlah Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah menyebutkan bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan Akhlak yang mulia. Sikap sangat berkait rapat dengan akhlak seseorang. Dan aku percaya Islam tidak mengajar umatnya meremehkan perkara-perkara kecil(dengan ertikata tidak mempedulikannya). Yang ada dalam Islam ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Meletakkan sesuatu kena pada martabatnya, kedudukannya. Semua perkara yang diajar Nabi sallallahu alaihi wasallam adalah penting. Tetapi semua yang penting itu suda tentu ada tingkatannya. Antara yang sunat dan wajib, sudah tentu yang wajib lebih penting. Itulah dia Islam.

Kembali kepada topik, maka pemimpin Pas sepatutnya jaga semua perkara kerana yang dinamakan ajaran Islam itu semuanya penting. Jaga tuturkata agar tidak disalaherti oleh media dan masyarakat adalah penting. Bertindak cepat terhadap masalah supaya ia tidak menjadi barah adalah penting. Bersangka baik dengan semua pendokong perjuangan adalah penting. Berhati-hati terhadap musuh politik adalah penting. Pendek kata, semua penting lah....
Related Posts with Thumbnails