Sunday, June 29, 2008

Kenapa Mengikut Kassim Ahmad?

Kassim Ahmad boleh dijumpai di, www.kassimahmad.blogspot.com/ Buku Hadith re evaluation boleh didapati di http://www.quran.org/library/articles/ahmad0.htm. Ada beberapa web yang menyebarkan pandangan Kassim, menyokong, dan membincangkan pendapat beliau. Banyak dalam bahasa Inggeris. Antaranya www.bakrimusa.com/

Buku baru Kassim Ahmad "MENCARI JALAN PULANG: DARI SOSIALIS KEPADA ISLAM" diwarwarkan sebagai masterpiece seorang genius, tokoh akademik dan ahli falsafah tersohor.

Kassim memang sudah terkenal sebagai tokoh yang menolak hadith. Fatwa demi fatwa telah dikeluarkan berkenaan bukunya Hadith: Satu Penilaian Semula. Ada juga buku dan laman web yang menjawab kecelaruan fikiran beliau. Tapi beliau tidak berhenti. Tidak bertaubat. Bahkan terus dihanyutkan dalam kesesatan dengan merasa beliaulah yang berada pada jalan yang lurus. Ramai sekali penyokong beliau, jika kita tidak menyebutkannya sebagai murid beliau. Antara buah tangan beliau ialah penubuhan Jemaah Al-Quran Malaysia dan Sisters in Islam.

Persoalannya ialah kenapa ramai golongan profesional cenderung untuk mengikut fahaman beliau. Antara sebabnya;

Pertama, kerana beliau adalah seorang ahli falsafah yang diwarwarkan sebagai golongan yang mencari kebenaran. Golongan pencari kebenaran mutlak tidak mahu terikat dengan sebarang halangan-halangan tradisi. Dalam kes ini tidak mahu terikat dengan kaedah usul feqh, usul tafsir, usul hadith, bahasa Arab dan pelbagai cabang ilmu persediaan (ilmu alat) untuk membolehkan seseorang itu menceduk permata-permata indah daripada al-Quran secara langsung (Direct). Fahamannya membolehkan golongan ini membuat hukum dan kesimpulan daripada al-Quran daripada aqal dan logik mereka semata-mata tanpa sebarang penelitian halus secara 'tradisi'. Tapisan mereka dibuat berdasarkan logik, matematik, sejarah, pandangan tokoh-tokoh falsafah pilihan mereka dan pengalaman hidup mereka sendiri. Jadi ia adalah jalan pintas untuk memberikan pandangan dalam semua isu sejagat berasaskan al-Quran menurut pandangan mereka.

Kedua, fahaman ini hanya mementingkan aspek logik, pemikiran dan kesediaan untuk berbahas. Ia adalah makanan aqal semata-mata. Al-Quran itu sama ada mengenai sejarah ataupun prinsip universal. Adat dan hukum di dalamnya ditakwilkan kepada prinsip sejarah dan prinsip kaedah universal. Sejarah ialah sejarah bangsa Arab dan universal itu bermaksud bersesuaian dengan suasana semasa yang sentiasa berubah-ubah. Jadi daripada aspek amalan dan praktikal, fahaman ini tidak ada mementingkan tradisi tertentu seperti solat, zakat, haji, pakaian dan hukum-hukum fiqh berasaskan hukum wajib, haram, sunat, makruh dan harus. Ia hanya mementingkan benar atau salah mengikut prinsip fahaman mereka. Jadi tidak ada sebarang tanggungjawab untuk mendekatkan diri dengan Allah dengan hati dan perasaan. Amalan-amalan wajib dan sunat tidak menambahkan iman, bahkan ia hanya adat dan tradisi. Jadi tak perlu beramal.

Ketiga, fahaman ini merasakan bahawa para ulama' Islam dalam semua bidang tafsir, hadith, fiqh dan lain-lain tidak menggunakan aqal dan logik dalam kaedah ilmiyyah mereka. Ini tidak boleh diterima sama sekali oleh fahaman ini. Ia langsung tidak boleh diterima oleh manusia zaman moden. Mereka juga malu mereka dikaitkan dengan agama yang tidak menggunakan logik dalam memberikan pandangan tentang kehidupan dan prinsip universal.

Keempat, mereka telah menyuarakan banyak pandangan dalam bidang mereka seperti sejarah, falsafah, bahasa, budaya, psikologi dan lain-lain, tetapi tidak boleh memberi pandangan muktamad tentang al-Quran dan agama Islam secara terperinci, kecuali telah menguasai ilmu-ilmu alat dan perbahasan ulama' silam dan kontemporari. Ini tidak adil. Pandangan mereka diterima secara muktamad dalam pelbagai bidang tapi pandangan mereka mengenai agama Islam, agama mereka sendiri perlu ditapis dan diperhalusi oleh pelbagai kaedah yang akhirnya mereka sifatkan sebagai 'tradisi'.

Kelima, mereka sangat hairan dengan kedudukan ulama' hadith yang sangat tinggi kedudukan mereka dalam keilmuan Islam 'tradisi'. Pada pandangan mereka, ulama' hadith hanya sebagai pencerita seperti pencerita kisah sejarah. Pandangan dan cerita mereka kadang-kadang ada tokok tambah, kadang-kadang diselang selikan dengan pandangan peribadai ulama' tersebut dan persekitaran hidupnya. Walaupun kebanyakan mereka mementingkan aspek sejarah dan falsafah sejarah, mereka gagal menghayati bahawa usaha-usaha ulama' hadith adalah untuk menjamin kesahihan sumber berita, agar susur galur berita dibawa adalah tidak dapat diragui (mutawatir) atau mempunyai keesahan yang tinggi (aahad). Seringkali hadith yang diklasifikasikan sebagai Aahad dianggap sebagai palsu pada fahaman mereka. Kehalusan dan keteletian ulama' hadith dalam menerima dan merekodkan hadith juga dianggap sebagai 'tradisi' yang lapuk dan tidak perlu. Mereka menolak hadith kerana sumbernya (ulama' hadith) mereka ragui. Jika mereka terima hadith pun ia hanyalah sebagai rekod sejarah dan diterima jika ia sesuai dengan prinsip 'universal'. Walaupun begitu, kata-kata dan pandangan ahli falsafah daripada zaman kuno sehinggalah zaman kontemporari, Islam dan bukan Islam adalah hujjah yang kuat dalam membentuk pandangan mereka.

Dengan itu, kita dapati golongan ini merasakan bahawa mereka berada pada kelas tersendiri yang lebih tinggi daripada ummat Islam dan ulama' Islam yang lain kerana mereka menggunakan kurniaan aqal yang diberi oleh Allah secara lebih efektif, intensif dan boleh diterima ramai golongan intelektual bukan Islam. Mereka menganggap mereka berada dikemuncak keilmuan kerana boleh menganalisis prinsip al-Quran dengan pelbagai pandangan ahli alsafah barat dan timur.

Begitulah tahap kesesatan mereka. Sesat tetapi merasakan mereka berada di kemuncak keilmuan dan anugerah.

Persoalan adakah mereka mempunyai perasaan harap dan takut kepada Allah, tidak ada disebutkan dalam tulisan mereka. Apa pandangan mereka tentang perkara-perkara ghaib seperti azab kubur, akhirat, syafaat, titian sirat tidak disebut juga dalam tulisan mereka. Bagaimanakah agaknya mereka hendak memahami perkara-perkara tersebut tanpa penjelasan ulama' hadith. Adakah mereka mempunyai perasaan kasih kepada Allah, sukar ditafsirkan. Adakah mereka kasihkan kepada Rasulullah? Ya, tetapi hanya sebagai manusia genius pada zamannya. Bukan sebagai nabi akhir zaman yang membawa syariat yang sesuai untuk setiap tempat dan masa. Persoalan yang mereka bincangkan sebenarnya kehidupan manusia di dunia mengikut prinsip universal yang kononnya diambil daripada al-Quran mengikut tafsiran mereka.

Hakikatnya mereka hanyalah golongan yang arif tentang 'prinsip universal' mengikut kacamata mereka semata-mata yang dinisbahkan kepada al-Quran. Walhal pandangan mereka sama sahaja dengan manusia yang lain, boleh dibincangkan, diterima dan ditolak. Apa yang nampak sesuai pada hari ini, mungkin tidak sesuai untuk hari esok. Mereka adalah begitu naif tentang mengenal dan beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kiamat dan kepada qada' dan qadar.

Walaupun mereka menolak hadith secara besar-besaran dan menganggap ulama'-ulama' hadith sebagai tidak adil dan tidak wajar dipercayai perkhabaran mereka bahkan sehingga menolak sebahagian besar hukum-hukum Islam, mereka tetap mahu dipanggil dan diiktiraf sebagai orang Islam, bernikah kahwin dan dikebumikan sebagai orang Islam. Bila ditanya bagaimana kamu hendak solat jika tidak berpegang kepada hadith? Mereka menjawab solat sudah ada dalam syariat nabi-nabi yang lain, tidak perlu kepada hadith untuk menerangkan al-Quran. Soalan kita pula, siapa pula yang menaqalkan bentuk solat ummat nabi sebelum nabi Muhammad SAW sehingga kamu percayai perkhabaran mereka itu?

Mereka tidak faham banyak berzikir seperti subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar akan mendekatkan seseorang dengan keredhaan Allah. Membaca al-Quran dalam bahasa arab sekalipun tidak faham atau tergagap-gagap akan menerima pahala daripada Allah. Mereka tidak memahami hikmat disyariatkan sekalian ibadat untuk manusia. Mereka hanya mahu mengenyangkan akal pemikiran mereka sehingga melupakan keperluan roh, jasad dan batas pemikiran mereka.

Lebih daripada itu, mereka tidak dapat memahami bahawa syariat Nabi Muhammad SAW adalah syariat yang terbaik untuk manusia akhir zaman. Syariat ini ada perkara-perkara tetap tidak boleh diubah dan ada perkara yang boleh berubah. Peranan aqal dalam menentukan perlaksanaan syariat adalah begitu besar dan luas, ia boleh dilihat daripada perkembangan dan perbahasan fiqh yang sangat luas. Walaupun aqal itu adalah kurniaan Allah yang sangat besar kepada manusia, aqal manusia antara satu sama lain adalah sangat relatif. Lalu Allah mengutuskan rasul dan diberikan kepadanya al-Quran, agar manusia dapat melaksanakan syariat dengan aqal yang diberikan kepada mereka menurut panduan al-Quran dan as-Sunnah dalam setiap cabang kehidupan.


Akhirnya, tidak ada guna kita diiktiraf diseluruh dunia sebagai genius, ahli falsafah tersohor, budayawan dan cendikiawan tetapi menolak dan terus menolak untuk menerima panduan daripada Allah dan RasulNya SAW. Jika begitu, hakikatnya kita tidak menerima hidayah, dan orang yang tidak menerima hidayah adalah orang-orang yang disesatkan oleh syaithan yang direjam.







No comments:

Related Posts with Thumbnails