Isu ini menyebabkan masyarakat lupa kepada Al tantuya, Musa Hasan dan Abdul Gani Patail, Petrol, dan segala macam kebobrokan dalam BN dan kerajaan. Itulah peranan media kepada kerajaan memerintah. Ia membantu menyelamatkan keadaan yang sudah parah. Umno yang bagaikan orang lemas paras hidung, tiba-tiba dihulurkan boya oleh media untuk selamatkannya.
Dalam keadaan 'mood' rakyat tengah baik untuk perubahan angin politik tanahair, tiba-tiba diselamatkan akibat sedikit kesilapan di pihak pembangkang. PKR dan DAP salahkan PAS kerana membuat keputusan sendiri tanpa memaklumkan kepada mereka tentang pertemuan dengan Umno selepas kemenangan PRU 12 baru-baru ini. Peristiwa itu berlaku dalam keadaan Selangor masih lagi belum membentuk kerajaan, dan Pas mengambil langkah proaktif untuk menghalang Umno mengganggu gugat penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat. Sebenarnya Pakatan Rakyat tertubuh hasil dari kemenangan PRU yang tidak dijangka. Tiada PR sebelum keputusan PRU12. Banyak perkara penting berkait dengan dasar belum dibincangkan ketika itu. PKR pula mengambil langkah bertemu dengan MP-MP BN dari Sabah dan Sarawak untuk lompat parti. Usaha ini pun sebenarnya tidak merujuk kepada Pas! Jadi apa bezanya pertemuan dengan Umno bertujuan untuk bincang 'survival' Islam berbanding pertemuan PKR(Anwar Ibrahim) dengan Pemimpin Parti Komponen BN di Sabah Sarawak untuk lompat Parti?
Ahli dan penyokong Pas mula menyalahkan pimpinan Pas yang terlibat pertemuan itu. Pertemuan yang asalnya memang mahu dirahsiakan dari umum sudah jadi isu besar politik tanahair, dan Presiden terpaksa memberi penjelasan untuk memahamkan orangramai keadaan sebenar. Ini berlaku tidak lain tidak bukan kerana sakit hatinya individu dalam PKR yang tak setuju dengan tindakan itu hanya kerana sentimen Anwar Ibrahim dianiaya oleh Pemimpin Umno.
Ucapan Pimpinan tertinggi Pas yang membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama' yang membenarkan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha bertemu dengan Umno adalah sangat tidak wajar dalam keadaan genting sekarang ini. Pihak media yang tidak bertanggungjawab yang sentiasa menunggu peluang untuk melaga-lagakan pemimpin Pas Pusat terus bertindak menyiarkan pandangan yang bercanggah dari Husam Musa.
Rakyat perlu diberi kesedaran tentang mainan 'polical diversion' yang dipergunakan Umno BN sekarang ini untuk mempertahankan status quo mereka dalam kerajaan. Karpal Singh dan individu lain dalam PR seharusnya lebih cerdik dalam menjaga keharmonian rumahtangga yang baru sahaja dibina beberapa bulan yang lalu. Takkan nak jadi macam artis juga yang bercerai selepas baru sahaja beberapa bulan kahwin.
tranungdaily: muqobalah ke, mu koho baloh....
No comments:
Post a Comment