Petikan SinarHarian
.................................................
Terdesak hendak bersalin
DUNGUN - Tembelang seorang janda yang kini sedang sarat mengandung, dipercayai anak luar nikah terbongkar apabila dia dicekup bersama pasangannya di sebuah rumah dalam operasi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Dungun, awal pagi kelmarin.
Janda terbabit yang merupakan ibu kepada lima anak hasil perkongsian dengan dua suaminya sebelum ini dikatakan telah bersekedudukan dengan teman lelakinya sejak hampir dua tahun lalu.
Wanita berkenaan yang berasal dari Jerangau, Dungun ketika ditemui Sinar Harian selepas operasi itu berkata, desakan hidup memaksa dirinya tinggal sebumbung dengan teman lelakinya apatah lagi ketika ini dia sedang mengandung sembilan bulan dipercayai hasil hubungan tidak sah dengan kekasihnya itu.
“Saya kini tinggal menyewa di Paka dan makan minum, sewa rumah serta perbelanjaan lain semuanya ditanggung teman lelaki saya.
“Keadaan saya makin tersepit kerana ingin melahirkan anak dalam tempoh terdekat ini dan jika tidak bersama dengannya, siapa yang akan membiayai segala perbelanjaan itu nanti,” katanya yang turut mengaku tinggal sebumbung dengan teman lelakinya yang bekerja di kawasan petroleum dekat Paka, di sini, hampir dua tahun lalu.
Menurutnya, akibat kecelaruan hidup, empat daripada anaknya yang masih bersekolah terpaksa diserahkan kepada ibu bapanya yang kini menetap di Jerangau manakala seorang lagi dijaga oleh sepupunya..
“Saya tidak boleh membawa anak tinggal bersama kerana keadaan di sini tidak mengizinkan lagipun biarlah mereka tinggal bersama ibu bapa saya kerana keselamatan dan masa depan mereka lebih terjamin,” ujarnya yang pernah ditahan polis sebelum ini kerana terllibat dengan kes penyalahgunaan dadah.
Ibu tunggal yang ditahan bersama lelaki berusia 27 tahun berasal dari Larkin, Johor itu juga memberitahu bahawa dia kini bakal menghadapi masalah untuk mendaftarkan kelahiran anak kerana kes perceraian dengan suami terdahulu masih belum selesai.
Sementara itu, seorang lagi rakannya yang berusia 22 tahun ketika ditanya berkata, ketika serbuan dilakukan, dia sedang tidur bersama teman lelakinya di bilik bersebelahan.
“Kami tidak menyangka pada kali ini dicekup anggota Jabatan Agama, pada mulanya kami jangka semuanya selamat,” kata gadis berusia 22 tahun itu.
Difahamkan, suspek kedua yang berasal dari Kampung Cacar Baru, Paka ini juga pernah ditahan kerana kesalahan sama sebanyak dua kali sebelum ini dan kesnya masih dalam proses perbicaraan sebelum dia dicekup untuk kali ketiga.
Dia bersama pasangannya juga dikatakan pernah ditahan dalam satu serbuan oleh polis narkotik Dungun kerana disyaki memiliki dadah jenis pil kuda.
Dalam satu serbuan di sebuah rumah oleh anggota penguatkuasa Jabatan Agama Daerah Dungun, awal pagi kelmarin, dua pasangan ditahan kerana didapati berkhalwat di sebuah rumah berdekatan Taman Hadhari, Paka.
Keempat-empat mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
13 hours ago
No comments:
Post a Comment