Friday, July 11, 2008

Khutbah Jumaat 11 Julai Membela Siapa?

Hari ini, saya solat Jumaat di Masjid Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu. Ia sebuah masjid di bawah penyeliaan Jabatan Agama Negeri. Jadi khutbah yang dibaca adalah khutbah yang standard yang dibaca di semua masjid di seluruh Terengganu. Khutbah juga mengundang polemik apabila istilah ekstremis agama disebutkan sebagai berlaku di kalangan para sahabat ra bila membicarakan mengenai fitnah ke atas Sayidina Othman yang membawa kepada pembunuhan beliau.


Khatib membacakan khutbah berkaitan kegiatan fitnah yang berleluasa melalui sms, internet dan laman web. Khatib memetik ayat-ayat daripada surah an-Hujurat tentang berhati-hati menerima perkhabaran daripada orang yang fasik, menghuraikan ayat dalam surah an-Nur berkenaan hadith ifk (kisah fitnah orang munafiqin terhadap Aisyah ra) yang mendatangkan gundah gulana kepada baginda Rasullah SAW dan Aisyah akibat khabar angin yang disebarkan oleh golongan munafikin dan menghuraikan perbezaan antara perbuatan fitnah dan perbuatan mengumpat.

Agaknya kepada siapa khutbah ini dimaksudkan? Adakah ia berkaitan dakwaan liwat Saiful Bukhari kepada Datuk Seri Anwar? Atau apakah ia berkaitan dakwaan Raja Petra kepada Najib, Rosmah dan beberpa orang lagi berkenaan isu Altantuya, kapal selam dan bom C4.

Jika ia fasal Anwar, ini kali pertama khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan kerajaan berkaitan membela Anwar dan berusaha memulihkan kredibiliti beliau.

Agak pelik, kerana ramai penganalisis politik dan bloggers merasakan bahawa perancangan menuduh Anwar melakukan liwat didalangi oleh Najib dan UMNO/BN. Pakatan jahat mengenai isu liwat adalah untuk cubaan merentap kredibiliti dan maruah Anwar supaya Pakatan Rakyat turut menjadi lemah, malu dan terhina. Memang pelik, jika pihak yang menyediakan khutbah pada hari ini berusaha membela Anwar dan mahu khabar-khabar angin dan fitnah ke atas beliau ditamatkan serta-merta demi kesejahteraan rakyat dan negara berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunah.

Sebaliknya, jika ia berkaitan dengan Najib, saya fikir sukar untuk berdalil dengan ayat-ayat dalam surah an-Nur. Ayat-ayat dalam surah al-Hujurat lebih sesuai kerana konteksnya yang lebih luas. Ayat-ayat dalam surah an-Nur banyak secara khusus membicarakan mengenai hukuman kepada jenayah-jenayah hudud dalam konteks menjaga kemuliaan keturunan dan maruah, melalui instituisi keluarga dan masyarakat. Surah al-Hujurat lebih berkaitan sebagai nasihat dan panduan secara umum kepada ummat Islam dalam bermuamalah dengan pelbagai pihak, dengan orang fasik, orang melampaui batas, orang yang bangga diri terhadap kelompok masing-masing dan sebagainya.

Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 6, yang bermaksud “"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Ini adalah panduan orang beriman dalam menentukan sesuatu perkhabaran. Jika ia daripada orang fasik, kita kena betul-betul pastikan benar atau tidak benar sesuatu berita yang dibawa. Apalagi kalau berita yang dibawa boleh menghancurkan maruah seseorang yang beriman atau mengancam negara. Siapa pula orang yang fasik? Secara mudahnya ialah orang Islam tetapi tidak takut untuk melakukan larangan Allah secara terang-terangan dan berulang-ulang.

Dalam surah an-Nur, ada juga orang fasik yang ditetapkan oleh al-Quran secara putus, bukan hanya berdasarkan kepada sifat-sifat umum. Iaitu orang yang menuduh seseorang melakukan zina tanpa membawa bukti yang terdiri daripada 4 orang saksi. Dalam ayat 4 surah an-Nur Allah berfirman bermaksud “…Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik

Orang yang pernah menuduh Anwar pada tahun 1998 dan menuduhnya pula melakukannya lagi pada tahun 2008 dengan tidak membawa 4 saksi kejadian yang adil, dikira fasik. Jadi setiap perkhabaran daripada mereka wajar diterima secara penuh berhati-hati. Jika mereka tidak takut dengan perintah Allah yang termasuk dalam jenayah hudud, tentulah mereka tidak takut untuk terus melakukan penipuan dan pelbagai jenayah lain.

Khabar angin mengenai Najib dan Rosmah pula bersifat tuduhan jenayah Qisas dan jenayah bersubahat melakukan pembunuhan. Jenayah membunuh perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib, dengan mencari orang yang bertanggungjawab, tanpa dihadkan oleh penafian orang yang dituduh dan khabar-khabar angin tentang siapa yang melakukan pembunuhan itu. Semakin cepat kes itu diselesaikan secara adil dan saksama semakin baik untuk mengelakkan khabar angin yang tidak baik disebarkan oleh pelbagai pihak.

Tetapi dalam pertuduhan jenayah seperti zina dan menuduh orang lain berzina dihadkan kepada pengakuan orang yang melakukan sendiri dan bukti 4 orang saksi yang adil, jika tiada maka tidak ada kes. Liwat adalah seperti zina. Orang yang menyebarkan khabar angin, dikenakan hukuman sebat sebanyak 80 kali sebat.

Tentulah khatib tidak membacakan ayat 4 daripada surah an-Nur tersebut di dalam khutbah.

Namun khatib turut membacakan ayat 11 daripada surah an-Nur yang memberikan komentar tentang pertuduhan terhadap Sayyidatina Aisyah r.a. “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

Jika difikirkan semula, siapakah yang dibela oleh khutbah tersebut? Adakah ia dirancangkan sebegitu? Saya fikir panel penulis khutbah sudah mula meragui keberkesannya dalam mempengaruhi pendapat awam tentang kes Anwar dan Najib.

No comments:

Related Posts with Thumbnails