Sunday, December 21, 2008

CALON PRK 036:ANTARA REALITI DAN IDEALISME PERJUANGAN

Tarikh 21 Disember 2008 merupakan tarikh yang ditunggu-tunggu wartawan untuk mengetahui siapakah calon Pas bagi PRK 036 Parlimen Kuala Terengganu. Seluruh media baik media kerajaan mahupun pembangkang menyangkakan semalamlah tarikh Pas umumkan calonnya sebaik selepas Mesyuarat Pas Pusat. Rupa-rupanya Wartawan salah faham dan salah lapor. Yang sepatutnya mereka faham ialah semalam Mesyuarat Pas Pusat memutuskan siapa calon Pas, dan pengisytiharan pada 1 Januari 2009 di STADIUM NEGERI!! Bukan setakat wartawan sahaja hampa, bahkan seluruh negara umumnya sangkakan semalamlah tarikh umum calon. Nampaknya Mesyuarat semalam tidak dapat memutuskan siapa calon yang paling layak.

Bercakap tentang calon, ada empat nama yang terlintas dalam kepala penulis iaitu Mustafa Ali, Wan Muttalib Embong, Dr Khazani dan Ariffin Deraman. Mengikut cerita teman penulis, waktu mesyuarat membincangkan tentang calon, Mustafa Ali(Cikgu Pa) dan Wan Muttalib (Ayoh Wan) keluar daripada bilik mesyuarat.

Wan Farid ditanya berkenaan calon Pas semalam, beliau membuat andaian politik bahawa ada masalah dalaman dalam Pas sehingga menyebabkan Pas tidak berani mengumumkan calonnya lagi. Ada yang setuju dengan Cikgu Pa, ada juga yang sokong Ayoh Wan. Pemuda pula bertegas mahukan calon muda. Maka, akhirnya keputusan terserah kepada Dato' Seri Presiden. Dalam masa 10 hari ini, macam-macam boleh jadi. fikiran pun boleh berubah. Masing-masing mungkin akan berusaha untuk memastikan calon pilihan hatinya naik poster.

Secara peribadi, penulis mahu calonnya orang muda, sudah dikenali anggota parti, tiada 'track record' yang tidak baik, dan majoriti ahli parti serta orang awam bersetuju. Orang muda yang baru walaupun tinggi akademiknya, agak sukar diterima lebih-lebih lagi pilihanraya kecil begini. Parti akan melalui jalan sukar untuk memperkenalkan calon ini. Setiap kali ceramah, penceramah terpaksa memperkenalkan biodata calon baru yang tidak dikenali orang. Seperkara lagi, calon yang tidak berada dalam organisasi parti mempunyai risiko kemudian hari. Ini banyak berlaku dalam pilihanraya lepas-lepas. Ada calon-calon yang tidak faham selok belok gerakan Islam, mereka mudah sahaja menolak keputusan parti sekiranya mereka tidak bersetuju. Tiada konsep as sam;u wattaah(dengar dan patuh arahan). Jadi, risiko sami'na wa asoina (kami dengar tapi kami sanggah) sekiranya memilih calon yang tidak ditarbiyyah dengan tarbiyyah harakah islamiyyah adalah tinggi berbanding yang telah ditarbiyyah sekian lama.

Tujuan Tarbiyyah dalam Gerakan Islam ialah melahirkan pejuang-pejuang yang memberi ketaatan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Islam. Ia melahirkan individu yang tidak pertikaikan keputusan parti di semua peringkat selagimana tidak bercanggah dengan syariat. Sejak semalam, penulis dihujani dengan sms yang sangat-sangat marah kerana mereka dapat gambaran bahawa orang lama akan jadi calon. Penulis tidak menafikan semua anggota parti memikirkan calon yang akan memenangkan parti. Tapi cara mereka berfikir dan melontar idea melalui kata-kata seolah-olah mereka mahu gulingkan pimpinan. Mereka ugut mahu menutup markaz, tidak mahu berkempen dan sebagainya. Inilah ujian getir bagi pimpinan apabila berhadapan dengan pilihanraya. Tapi penulis yakin dan percaya bahawa apabila 1 januari tiba nanti, insyaALLAH mereka akan puashati dengan ucapan Dato' Seri Presiden untuk memberi komitmen 100% untuk memenangkan calon Pas.

Idealisme perjuangan menuntut agar kita memilih pemimpin yang faham agama, khususnya berkait harakah islamiyyah. Konsep syura, amal jama'ie, amal wala', wehdatul fikri, wehdatul amal dan lain-lain adalah sangat mustahak. Pemimpin dalam dunia politik tanahair terbahagi kepada dua iaitu pemimpin parti/jamaah dan pemimpin rakyat. Pemimpin parti politik dalam Pas harus mempunyai kefahaman yang jelas tentang konsep-konsep di atas. Manakala pemimpin rakyat ialah mereka yang dipilih dalam proses pilihanraya melalui sistem demokrasi berparlimen di negara kita, baik ahli dewan undangan negeri mahupun dwan rakyat(parlimen). Pemimpin rakyat sukar ditentukan berbanding pemimpin parti. Calon wakil rakyat bagi Pas lebih sukar ditentukan berbanding calon BN kerana calon harus diseimbangkan antara kehendak idelialism kepemimpinan dalam Islam dengan kehendak rakyat. BN pula, sebenarnya lebih suka memilih calon yang mampu bawa kemenangan kepada parti walaupun bukan di kalangan orang parti. Tapi dalam kes Kuala Terengganu, BN memilih Wan Farid, iaitu calon yang mempunyai kuasa lebih daripada calon-calon lain kerana beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri. Adakah ini calon popular? Wallahu a'lam. Itu kena tunggu waktu kempen dan hari mengundi. Ada ahli Umno yang bercakap, kalau Wan Farid bertanding, kita akan kalah. Ini disebabkan Wan Farid tidak tinggal di Kuala Terengganu. Banyak masa beliau berada di Kuala Lumpur. Beliau sendiri tidak dikenali sebagai orang yang ramah mesra dengan masyarakat melainkan melalui program-program rasmi kerajaan dan parti. Itupun dipaksa-paksa senyumnya.

Berbalik kepada calon Pas, maka antara empat nama di atas, penulis rasa Arifin Deraman lah yang patut jadi calon kerana beliau banyak memenuhi ciri-ciri yang disebutkan.

Anda bagaimana??

No comments:

Related Posts with Thumbnails