Monday, August 11, 2008

TERENGGANU MINTA RM1B BINA BANDAR

Ihsan SinarHarian

Terengganu minta RM1b bina bandar


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengakui telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi memohon peruntukan sebanyak RM1 billion dalam usaha membangunkan bandar-bandar di seluruh negeri ini.

Menurut beliau, pertemuan itu sangat penting untuk memastikan pelbagai perancangan yang akan dilaksanakan mampu memberi manfaat kepada rakyat termasuk usaha merancakkan ekonomi di sesebuah daerah melalui projek meningkatkan sosio ekonomi masyarakat keseluruhannya.

“Kita boleh merancang pembangunan bandar dengan konsep perkedaian dan membolehkan lebih ramai bumiputera dapat berniaga, bandar kita juga selain cantik, dapat menjana sumber pendapatan dengan berkesan.

“Untuk membangunkan bandar dengan konsep perkedaian, sebagai contoh kita boleh beri daerah Kuala Terengganu RM300 juta, Kemaman RM100 juta, Dungun RM100 juta tetapi jumlah yang akan diterima setiap daerah hanya diketahui apabila kita mendapat duit itu nanti. Kita juga akan buat serentak mengikut peruntukan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMT) kali Ke-32 di Hotel Grand Continental, di sini, semalam.

Menurut Ahmad, 50 peratus bangunan perkedaian yang dirancang itu boleh disewakan kepada peniaga bumiputera mengikut perkongsian, tetapi dengan kadar yang lebih rendah berdasarkan taraf perbandaran masing-masing.

Katanya, jika kedai biasa yang disewakan sebelum ini adalah RM2,000, tetapi menerusi konsep perkedaian mengikut perkongsian ini, ia mungkin boleh dikenakan harga lebih rendah iaitu sekitar RM1,500.

“Selain itu, 50 peratus lagi bangunan perkedaian itu kita boleh jual. Setiap keuntungan daripada projek itu kita buat projek lain. Apa yang pasti, sekurang-kurangnya 30 peratus bangunan yang dijual itu adalah kepada bumiputera, kalau kita dapat 40 peratus atau lebih, itu lebih baik,” katanya.

“Dalam hal ini, kita akan pastikan 80 peratus pemilikan bangunan perkedaian berdasarkan perkongsian ini adalah milik bumiputera. Kita akan bangunkan bandar-bandar dengan duit yang kita ada. Saya ingin melihat semua daerah di negeriini maju dan tiada yang ketinggalan,” ujar beliau.

No comments:

Related Posts with Thumbnails