PENGENALAN
PERBINCANGAN MENGENAI BEBERAPA ISTILAH SYARA’.
1. Liwat. 
Perbuatan liwat ke atas isteri juga adalah berdosa besar dan dilaknat oleh Allah tetapi dikenakan hukuman takzir dan tidak kenakan hukuman hudud. Takzir dalam mazhab Syafie tidak boleh menyamai atau melebihi daripada hukuman hudud yang paling ringan.
Berdasarkan pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie, jenayah liwat adalah sama seperti zina pada bentuk hukuman dan syarat pembuktian yang memerlukan empat orang saksi. Jadi menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti menuduhnya melakukan zina.    
Jika melanggar sumpah, seseorang yang bersumpah itu wajib menunaikan kaffarah sumpah iaitu diberi tiga pilihan sama ada untuk membebaskan hamba, memberikan secupak makanan kepada sepuluh orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin. Orang yang bersumpah palsu pun dikenakan kaffarah sumpah selain daripada laknat dan kutukan Allah. 
Hukum asal bersumpah ialah makruh kerana kita tidak digalakkan menyebut nama Allah bagi memperteguhkan hasrat atau perkhabaran yang kita bawa. Sepatutnya nama Allah disebut bagi tujuan membesarkan Allah dan memuliakannya. Hukum bersumpah berubah mengikut keadaan-keadaan tertentu kepada wajib, sunat, harus dan haram.
Perbincangan tentang dakwaan liwat ke atas DSAI
- Pertuduhan liwat ke atas DSAI ialah dakwaan dalam      kategori jenayah hudud. Iaitu jika sabit berlaku perbuatan liwat itu, maka      DSAI wajib dikenakan hukuman rejam sampai mati  kerana beliau pernah berkahwin secara      sah. Maka si penuduh wajib membawa bukti dengan menghadirkan 4 orang saksi      termasuk dirinya sendiri. Jika tidak, maka dia akan dihukum sebat sebanyak      80 rotan kerana melakukan jenayah qazaf.
- Oleh kerana Saiful Bukhari Azlan tidak dapat      menghadirkan 4 orang saksi untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat,      beliau pun melakukan sumpah laknat. Sumpah laknat yang dilakukan inilah      perlu dibahas.
- Daripada aspek sumpah, sumpah Saiful adalah sah dan       cukup syarat bagi sumpah biasa. Jika ia benar dalam dakwaannya, dia telah       menyempurnakan sumpah dan tidak dikenakan kaffarah sumpah ke atasnya.       Tetapi jika dia berdusta, itulah al-yamin al-ghamus yang dikenakan       laknat oleh Allah dan masih lagi dikehendaki melakukan kaffarah sumpah.
- Daripada aspek sumpah laknat, ada sedikit       kemusykilan. Adakah ia li’an (mula’anah), mubahalah atau sumpah       al-qasamah. Walaupun bentuk sumpah sedikit menyamai kaedah li’an daripada       aspek dia meminta laknat dan ke atas dirinya sendiri jika dia berdusta. Namun,       dalam li’an, bersumpah sebanyak 4 kali sumpah dan yang kelima dengan       sumpah laknat, walhal Saiful hanya bersumpah sekali sahaja. Dalam li’an,       kedua pihak berli’an di hadapan qadhi walhal Saiful berli’an seorang diri       dihadapan Imam masjid yang tidak dilantik menjadi qadhi untuk       menyelesaikan pertikaian. Dan paling penting dalam li’an ialah ia hanya       disyariatkan untuk suami isteri, walhal        Saiful dan DSAI bukan suami isteri. 
- Daripada aspek ia adalah mubahalah, juga ada       kemusykilan. Mubahalah adalah kedua-dua pihak yang bertelingkah sama-sama       berdoa di suatu tempat tertentu dengan penuh kerendahan diri kepada Allah       agar pihak yang berdusta dikenakan laknat. Perbincangan para mufassirin       menyebutkan lafaz mubahalah dalam bentuk ungkapan doa kepada Allah bukan       lafaz sumpah yang melaknati diri sendiri dan keturunan. Dalam mubahalah       tidak ada qadhi, benar atau salah akan ditunjukkan sendiri oleh       Allah.  Ini adalah pilihan yang       paling menggerunkan kerana ia meminta Allah menunjukkan kebenaran hakiki       di dunia, walhal Allah telah menangguhkan kebenaran hakiki untuk dibicarakan       di akhirat.
- Sumpah Saiful bukanlah sumpah al-Qasamah kerana       al-Qasamah berkaitan dengan pembunuhan semata-mata.
- Walaupun Saiful Bukhari bersumpah laknat, namun ia tidak       cukup untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat. Ini kerana perbuatan       liwat sama seperti zina, di mana ia disabitkan melalui pengakuan tuan       punya badan atau membawa empat orang saksi.
- Oleh kerana dakwaan Saiful itu tidak disertakan       dengan 4 orang saksi maka ia telah menjadi qazaf. Maka dia pula yang akan       dihukum dengan 80 kali sebat.
- Jika sumpah Saiful itu benar sekalipun dia tetap       dikenakan hukuman qazaf kerana tidak membawa bukti. Sebenarnya, tujuan       hukuman jenayah qazaf adalah untuk memelihara maruah manusia agar       terpelihara daripada tuduhan liar untuk memalukan dan menghina mereka. Jika       seseorang yang dituduh itu benar-benar berzina atau melakukan liwat, itu       adalah rahsia antara mereka dengan Allah. Manusia tidak berhak membukanya       melainkan dengan syarat-syaratnya yang cukup. Itulah rahmat Allah kepada       manusia, sehingga dibukakan pintu taubat yang luas, semoga dia bertaubat       dan berhenti melakukan maksiat sebelum perbuatannya didedahkan oleh Allah       melalui pendakwaan yang mencukupi syarat.
- Ada satu perkara yang ramai orang terlepas pandang       mengenai sumpah Saiful. Iaitu pengakuan bahawa dia telah melakukan liwat.       Pengakuan itu dikira sebagai iqrar. Jika dia tidak menarik balik       iqrarnya, maka dia boleh disabitkan dengan hukuman liwat ke atas dirinya       sendiri jika dilakukan dengan sukarela. Dakwaan bahawa dirinya dipaksa       perlulah disiasat dahulu. Jika dipaksa dengan paksaan yang dia tidak       berupaya menangkisnya, tidak dikenakan hudud ke atasnya. Jika dengan       paksaan yang dia mampu menangkisnya tetapi dia membiarkannya, dia tetap       dikenakan hukuman hudud.
- Jadi bersumpah dalam membuat pertuduhan liwat tidak      disyariatkan daripada aspek untuk menyabitkan orang yang kena tuduh dengan      sumpah itu. Orang yang kena tuduh pun tidak disyariatkan bersumpah      menafikan tuduhan. Ini kerana pembuktian jenayah liwat adalah berdasarkan      iqrar dan kesaksian 4 orang saksi yang adil. Jika yang menuduh tidak      membawa 4 orang saksi, maka yang kena tuduh tidak perlu bersumpah      menafikan apa-apa. 
- Tetapi  orang      yang kena tuduh boleh mengadukan kepada qadhi bahawa dia telah dituduh      tanpa bukti oleh seseorang tertentu jika kita menerima bahawa kaedah “Beban      pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang      yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan” boleh digunakan dalam perkara      hudud yang membabitkan hak hamba. Dalam hal ini, yang kena tuduh menjadi      pendakwa dan yang menuduh menjadi yang kena dakwa. Jika dia tidak ada      bukti atas dakwaannya, maka qadhi akan meminta si penuduh bersumpah      menafikan bahawa dia telah melakukan qazaf.
Kesimpulan.
- Jika dilihat perbicaraan ulama’ tentang jenayah liwat      dan qazaf, kita ummat Islam sepatutnya merasa sangat bimbang akan      kemurkaan Allah. Jika liwat berleluasa, kita seperti kaum Nabi Lut a.s.      Jika qazaf berleluasa, maruah orang yang tak bersalah akan menjadi      permainan di tangan golongan yang fasiq. Oleh itu, mahkamah syariah      hendaklah diperkasakan untuk membicarakan kes Hudud dan Qisas mengikut      ajaran Islam yang sebenar supaya orang yang tidak bersalah dapat      berlindung di bawah naungannya dan orang yang dibuktikan bersalah      dikenakan hukuman yang sewajarnya. Polemik isu liwat dan qazaf ini      sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh jabatan kehakiman syariah dan      mahkamah syariah iaitu sejak awal-awal ia bermula kerana prinsip syariah      berkenaan jenayah liwat dan qazaf adalah sangat jelas dan tegas.
- Dalam perkara bermubahalah, saya berpendapat ia      adalah pilihan yang paling menggerunkan jika perkara yang menjadi      pertikaian adalah berbentuk masalah furu’ yang terbuka kepada benar atau      salah tanpa wajib menentukan hakikat kebenaran di sisi Allah. Iaitu setiap      pihak berdoa dengan penuh ketundukan kepada Allah agar dikenakan laknat      kepada orang yang berdusta dalam masalah yang menjadi pertikaian. Jika      dilihat daripada peristiwa mubahalah antara Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum      kristian Najran, masalah yang menjadi pertikaian adalah masalah yang      bersifat terlalu pokok pada dasar falsafahnya dan terlalu abstrak untuk      ditentukan salah benarnya dengan mizan duniawi. Iaitu pertikaian tentang kedudukan      Nabi Isa a.s., adakah dia anak tuhan, tuhan atau hamba tuhan? Dalam pertikaian      ini, tidak ada mahkamah dunia yang mampu membicarakan persolan-persolan      itu dan memberikan satu bentuk hukuman kepada orang yang bersalah, kerana      persoalan itu adalah hakikat kenapa manusia ditaklifkan. Perbicaraan dan      hukuman hakiki tentangnya hanya akan berlaku di negeri akhirat. Tetapi      dalam kes ini, kedua-dua pihak memohon agar ditunjukkan kebenaran hakiki      di sisi Allah dengan melaknat orang yang berbohong daripada kalangan      mereka ketika mereka masih hidup di dunia sementara ini. Dalam masalah      Ibnu Abbas dengan para sahabat dan tabi’in yang lain selepas kewafatan      Saidina Umar r.a., perkara yang dipertikaikan berkaitan tentang adakah      sumber pendapat Ibnu Abbas daripada Nabi s.a.w. atau ia hanyalah pendapat      dalam agama yang tidak ada sandaran pada syara’. Ini juga tentang satu      hakikat penting dalam agama, iaitu berkaitan tentang sumber syara’      mengenai hukum faraid. Jika sumber syara’ itu diragui ataupun jika ia      disembunyikan maka rosaklah syariat. Ini berlainan dalam perkara      perundangan dan jenayah, di mana Allah telah memberikan panduan yang jelas      dalam menentukan kaedah pembuktian dan bentuk hukuman di dunia ini.
- Dalam perkara sumpah bohong, orang ramai cenderung      untuk mengaitkan sumpah bohong dengan keadaan orang yang bersumpah bohong      tadi akan dilaknat oleh Allah dengan dipanah petir. Hakikat laknat yang      sebenar ialah dia akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dia melakukan      dosa yang sangat besar di sisi Allah. Mengenai laknat di dunia,      kadang-kadang Allah tunjukkan tanda-tanda seseorang dilaknat, kadang-kadang      tidak. Kadang-kadang tanda-tanda laknat itu dapat dikesan oleh sebahagian      hamba Allah yang beriman dan tidak dapat dikesan oleh sebahagian yang      lain. Ketiadaan tanda yang nyata inilah yang menyebabkan timbulnya ramai      orang yang berani bersumpah palsu.       Jika setiap yang bersumpah palsu akan di panah petir, tentulah tidak      ada orang yang berani bersumpah bohong. Tetapi hakikatnya, orang fasiq      tidak berhenti-henti bersumpah bohong ketika berjual beli, ketika      mendampingi wanita dan ketika-ketika lain bagi mencapai hasrat duniawi. Bahkan      orang munafik di Madinah selalu sahaja bersumpah bohong di hadapan Nabi      Muhammad s.a.w.!
- Melihat kepada komentar para pemimpin masyarakat di      dalam dada-dada akhbar mengenai isu ini, jelas menampakkan kepada kita kejahilan      mereka tentang hukum syara’. Tetapi mereka tetap mengajak orang ramai      mempercayai kejahilan mereka. Lebih malang lagi, apabila kebanyakan  ulamak rasmi - kecuali sedikit yang      dirahmati oleh Allah, yang sepatutnya memimpin dan memandu para pemimpin tersebut      dalam perkara agama - hanya mengesahkan kenyataan para pemimpin      tersebut. Contohnya dalam isu ini, semua mereka mengesahkan tentang hukum      sah sumpah Saiful Bukhari Azlan. Apa yang mereka tidak jelaskan adakah      sumpah itu boleh mensabitkan dakwaan liwat ke atas DSAI? Dan adakah Saiful      secara tidak langsung  patut      disabitkan dengan jenayah qazaf berdasarkan kepada sumpahnya yang dibuat      secara umum kerana ia berikrar melakukannya?
- Ruang masih terbuka kepada Saiful Bukhari Azlan      untuk menarik balik pengakuannya (iqrar) bahawa dia diliwat bagi      mengelakkan dikenakan hukuman hudud berkaitan liwat ke atasnya. Kerana iqrar      masih boleh ditarik balik dalam mazhab Syaf’ie. Mengenai dakwaan bahawa      dia dipaksa oleh seorang yang sakit belakang seperti DSAI dalam usia emas      sehingga tidak mampu mempertahankan dirinya adalah amat meragukan. Mengenai      qazaf ke atas DSAI, beliau masih boleh meminta maaf daripada DSAI. Jika      dimaafkan, tidak ada lagi dosa qazaf dan tiada lagi hukuman hudud      berkaitan dikenakan  keatasnya.
- Dalam hal DSAI tidak mahu bersumpah, ia adalah      terpulang kepadanya. Hanya qadhi yang boleh meminta seseorang bersumpah      dalam pertikaian yang di bawa dihadapannya. Tapi dalam kes ini,qadhi pun      tidak ada sebab untuk memanggil DSAI bersumpah sebab jenayah yang dituduh      ialah liwat yang hanya disabitkan dengan iqrar atau 4 orang saksi. Tetapi      DSAI boleh mengadu kepada qadhi tentang orang melakukan qazaf ke atasnya.      Dan orang yang dituduh oleh DSAI boleh menafikan tuduhan bahawa dia pernah      melakukan jenayah qazaf jika DSAI tidak ada dua orang saksi yang      mengesahkan perbuatan qazaf.
- Saya berpendapat jika DSAI bersumpah, dia hanya      memuaskan hati orang ramai yang tidak faham tentang hakikat bersumpah. Tidak      salah DSAI bersumpah. Daripada hukum syara’, sumpah itu tidak mensabitkan      apa-apa dan tidak pula melepaskannya daripada apa-apa sabitan kerana pada      sudut syara’ dia belum disabitkan dengan apa-apa sabitan. Jika dia turut      bersumpah dan tidak ada pihak yang panah petir, tentulah orang ramai tidak      juga akan berhenti membuat spekulasi yang sensasi. Yang paling tepat ialah      kita mestilah kembali kepada sistem perundangan Islam yang sebenar dalam      membicarakan kes-kes jenayah hudud dan qisas.  
Penutup
Marilah kita merenung beberapa potong ayat al-Quran tentang dua perkara. Pertama, dalam surah al-Mujadalah, ayat 14 hingga 16, Allah menceritakan tentang  sifat kaum munafiqin yang selalu bersumpah palsu.
“Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.”
Kedua, dalam surah an-Nur, ayat 13 hingga 15 tentang beratnya dosa turut serta dalam perbuatan qazaf dengan sedar dan tanpa sedar.
“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”
 


 
 
 
 
 

No comments:
Post a Comment