Tuesday, August 19, 2008

AKU PEMERHATI MUKTAMAR


Muktamar Pas ke 54 baru sahaja berlalu. Mungkin sudah beberapa hari terlewat buat ulasan, tapi aku tak mahu terlepas arus perdana dalam memberi komen.

TERHANGAT DI PASARAN

Ramai yang jangkakan muktamar itu akan jadi yg TERHANGAT DI PASARAN disebabkan isu-isu sensasi dalam Pakatan Rakyat akhir-akhir ini. Memang tepat jangkaan aku bahawa rata-rata perwakilan pemuda yg bermuktamar pada 13 dan 14 Ogos menyentuh isu muzakarah muqabalah. Rentetan isu itu, dibangkitkan soal tarbiyyah kepada ahli termasuklah pimpinan tertinggi. Istilah-istilah yang asing pada wartawan selain harakah kedengaran di sepanjang ucapan perwakilan pelbagai negeri seperti wala', majlis syura ulama', amal jama'ie, dan beberapa istilah bahasa ARAB lain yg aku sendiri pun tak sempat 'tangkap'.

ISU PANAS

Antara negeri yang memanaskan suasana ialah Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu. Aku kira yang paling PANAS ialah wakil dari Terengganu yang menyentuh sikap sesetengah pimpinan yang mengalunkan nada berlainan dari Majlis Syura Ulama' dalam isu muzakarah muqabalah. Disebabkan cadangan perwakilan Trg yg mencadangkan beberapa nama pimpinan agar dirujukkan ke Jawatankuasa tatatertib parti kerana dianggap menyanggah keputusan majlis syura ulama', Pengerusi Tetap menegur keghairahan perwakilan menyebut beberapa nama tersebut kerana tidak mengikut peraturan muktamar agar tidak menyentuh mana-mana peribadi secara langsung (dengan menyebut nama).

TERPINGGIR

Manakala Pulau Pinang dan Selangor yang juga dianggap lantang menyuarakan pendapat dan meluahkan perasaan, mencuri perhatian pemerhati apabila mendedahkan layanan kerajaan pakatan rakyat terhadap PAS di negeri masing-masing. Pulau Pinang umpamanya terasa hati apabila surat memohon untuk bertemu dengan Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri tidak dilayan kerajaan. Lebih kurang juga dengan masalah di Selangor sehinggakan perwakilan yang berucapan membangkitkan siapa yang bekerja ketika PRU12 baru2 ini. Siapa yang angkat bendera, siapa yang tampal poster, siapa yang bantu berceramah setiap malam berkempen, kalau tidak anggota parti PAS. Aku pun boleh bersetuju dengan perwakilan tersebut kerana masalah yang sama timbul di Terengganu. Sepatutnya PKR Selangor dan Pulau Pinang jangan seperti "Kacang lupakan kulit." Hormatilah sesama rakan seperjuangan dalam Pakatan Rakyat.

JAWAPAN PIMPINAN

Jawapan dari Ustaz Nasaruddin Tantawi sebagai Timbalan Ketua Pemuda aku kira paling bernas dan bersifat haraki. Antara lain beliau menyentuh isu Ucapan Presiden PAS di Konvensyen PAS Pulau Pinang yang menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak untuk keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya kepentingan Islam tergugat dan terpinggir apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan pada September nanti. Beliau menegaskan bahawa ucapan itu merupakan TA'LIQ (kerjasama bersyarat)dari PAS sebagai penegasan pendirian PAS terhadap isu pelaksanaa Islam dalam pemerintahan. Contoh yang amat baik dibawa Ustaz Nasaruddin ialah dalam upacara akad nikah, lafaz ta'liq diucapkan untuk memelihara maslahat si isteri. Bukanlah tujuan lafaz itu untuk bercerai sebaik sahaja akad nikah. tetapi perlu dilihat dari sudut positifnya iaitu menjaga maslahat si isteri yang mungkin dianiaya dan dizalimi sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak diingini. Begitu juga dengan lafaz TA'LIQ yang diucapkan oleh Presiden PAS bertujuan menjaga maslahat perjuangan Islam yang didokong PAS. Bukan lah ucapan itu bertujuan untuk keluar Pakatan Rakyat. Ia lebih kepada persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini oleh PAS.


PULANG PAKU BUAH KERAS


Aku juga tertarik dengan jawapan Saudara Salahuddin Ayub selaku Ketua Pemuda yang menggulung di akhir muktamar pemuda. Beliau ada menyentuh antara ciri-ciri pendokong gerakan ialah menjaga kerahsiaan. Lalu beliau mempersoalkan bagaimana boleh terkeluar isu 'LAFAZ TA'LIQ' yang diucapkan Presiden dalam satu majlis tertutup KONVENSYEN PAS PULAU PINANG? Yang aku tahu, ia didedahkan oleh Ketua Pemuda PAS P.Pinang yang kemudiannya disiarkan oleh SinarHarian. Rupa2nya dalam keadaan ramai pimpinan pemuda negeri menegur pimpinan Pusat yang dikatakan tidak mematuhi syura, tidak mengikut syarak, ada juga yang sebenarnya tidak sedar mereka juga tidak mengikut syarak dengan meninggalkan ciri KERAHSIAAN dalam jamaah.


KaLau begitu keadaannya, maka aku simpulkan bahawa pimpinan di semua peringkat perlu dinilai tahap kefahaman ilmu haraki mereka. Kalau boleh buatlah ujian lisan ke, bertulis ke bagi memastikan ahli yang memegang jawatan dalam parti memahami selok belok siasah syar'iah dan ilmu gerakan Islam khususnya PAS di Malaysia ini.

p.s: Aku kira tulisan ini pun tidak dituduh bocor rahsia sebab semua wartawan dibenarkan buat liputan sepanjang muktamar berjalan baik ketika perasmian, laporan tahunan, perbahasan ucapan dasar dan perbahasan usul.

No comments:

Related Posts with Thumbnails