Monday, June 29, 2009

TASK FORCE 2010 SEBENAR

Sinar Harian semalam (29 Jun) memuatkan satu artikel yang sangat menarik iaitu Usaha Malaysia membantu Masyarakat Islam di Selatan Thailand melalui satu Misi yang dinamakan sebagai TASK FORCE 2010. D i bawah ini disertakan artikel tersebut.

Misi mendamaikan selatan Thailand


Luka lama berdarah kembali! Terbaru, 9 Jun lalu, umat Islam sekali lagi dihina, berikutan pembunuhan 11 jemaah ketika sedang solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan di daerah Cho-Ai-Rong, Narathiwat.

Parut berdarah di Selatan Thailand kembali membasahi hati mereka dengan beberapa kejadian serangan yang mengorbankan hampir 20 penduduk di tiga wilayah yang dihuni majoriti beragama Islam.

Ini bukan sesuatu yang baru, malah sejak 2004 lagi, hampir 4,000 nyawa terkorban, Kerajaan Thailand terus berusaha mencari penawar ke arah kedamaian terhadap wilayah autonomi itu.

Namun, sehingga hari ini masih belum menunjukkan tanda positif ke arah konflik itu melainkan pembunuhan demi pembunuhan terus berlaku.

Walaupun kerajaan tetap berusaha menyelesaikan masalah ini, termasuk menghantar dua menterinya dan pemerintah tertinggi angkatan tentera, Jeneral Arapong Paojinda bagi menyiasat kejadian, tetapi masyarakat masih belum mampu melupakan lekuk hitam itu.

Selagi mentaliti masyarakat tidak ‘disucikan’ dari pemikiran kiri iaitu terlalu menyalahkan kerajaan dalam tercetusnya sesuatu kejadian, nasib selatan Thailand entah bila akan berakhir.

Allah SWT berfirman Surah: Al-Ra’d, Ayat 11: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.

Ayat Allah berkenaan jelas menunjukkan mereka perlu berubah, bukan lagi berada di dalam pondok-pondok agama yang mencari Ilmu akhirat, sebaliknya perlu juga pengisian duniawi bagi menampung kehidupan sebelum mati.

Manakala bagi Malaysia, sebagai jiran terdekat dengan Selatan Thailand, tidak lengkap jika tidak membantu permasalahan yang melibatkan kembarnya.

Ini bukan bererti mencampuri urusan negara Gajah Putih itu, kerana Asean berpendirian tidak sama sekali masuk campur dalam urusan dalaman sesebuah anggotanya seperti dijanjikan.

Namun sebagai permintaan kembar, Malaysia sama sekali tidak melepas tangan berhubung isu ini, apabila menubuhkan satu jawatankuasa khas dikenali Task Force 2010 (Malaysia) selepas diminta Kerajaan Thailand melalui ketua junta rampasan kuasanya, Jeneral Sonthi Boonyaratglin kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi Thailand, mereka dikenali Task Force 960 (Thailand), walaupun perbezaan nama tapi misinya adalah sama iaitu berusaha mendamaikan selatan negara itu.

Menjadikan Malaysia sebagai contoh, daripada pemimpin junta tentera Jeneral Sonthi Boonyaratglin, yang dilantik junta sebagai Perdana Menteri sementara, Surayud Chulanont hingga hari ini, Abhisit Vejjajiva tetap mengharapkan kita menangani perkara ini.

Usaha membantu masyarakat selatan ini perlulah dilakukan dengan percambahan minda yang menunjukkan orang Islam tidak ditindas, sebaliknya mereka sendiri perlu mengeluarkan diri dari pondok agama.

Dengan amanah diplomatik yang dipikul Task Force 2010 (Malaysia) diketuai Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar, misi pertamanya dilakukan dengan membawa 70 remaja yang dulunya bergelar ustaz mempelajari kemahiran vokasional di Pusat GiatMara (PGM) berhampiran sempadan Thailand-Malaysia iaitu di Padang Besar, Perlis; Jitra, Kedah; Pasir Putih dan Tumpat, Kelantan.

Daripada jumlah itu, terdapat juga yang dihantar mempelajari kursus mekanik motor dua lejang dan kursus asas pengendalian komputer melalui program kemahiran selama tiga bulan di Institut Teknologi Perak (ITP).

Semua pelajar berkenaan adalah dari tiga daerah yang bergolak, Yala, Pathani dan Narathiwat yang sering dilabelkan sebagai lubuk militan Islam, sedangkan mereka tidak sepatutnya menerima gelaran tersebut.

Tamparan demi tamparan yang dihadapi kedua-dua agensi ini, tetapi sesekali berpatah semangat dengan amanah kerajaan yang diberikan yang belum menjanjikan sebarang hasil ke arah kedamaian.

Kumpulan ini diberikan pembelajaran sambil menghayati kehidupan dan keamanan yang di kecapi Malaysia, walaupun hidup berbilang kaum.

Jelas sekali hubungan baik kedua-dua agensi ini menunjukkan hasil yang menggalakkan dan permintaan melanjutkan pelajaran ke sini juga bertambah.

Sekembalinya mereka ke Selatan Thailand, peluang pekerjaan akan lebih terbuka di samping berpeluang melakukan perniagaan sendiri yang mana mampu meletakkan masyarakat Islam setaraf dengan masyarakat lain.

Bukan bererti masyarakat Islam ditindas, tetapi mereka sendiri yang tidak bersaing meletakkan diri sendiri seiring dengan kelompok lain hinggakan timbul salah faham antara masyarakat.

Rentetan itu, 40 beliawanis dari tiga kawasan sama dibawa ke negara ini bagi mengikuti kursus pembantu perubatan di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL-RCMP) di Ipoh, Perak selama setahun.

Dengan kerjasama erat bersama Ketua Pengarah Task Force 960 (Thailand), Jeneral Kasem Yuktavira pelbagai agenda dirancang lagi masa depan demi cahaya keamanan selatan Thailand.

Terbaru, usaha memastikan golongan belia di selatan Thailand mendapat pendidikan yang bukan tertumpu kepada bidang agama semata-mata, pada 24 Mei lalu, Task Force kedua-dua negara melaksanakan satu lagi program yang membabitkan sembilan belia.

Mereka dibawa mengikuti peringkat Diploma Hafalan Quran di Darul Quran, Kuala Kubu Baharu selama tiga tahun.

Kali ini, ia lebih menarik apabila dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan segala kos ditanggung Kerajaan Malaysia seperti sebelum ini.

Melalui pendekatan itu, mereka mempelajari bidang agama dan didedahkan mata pelajaran akademik lain yang mampu.

Sekali lagi amanah sama di berikan kepada Wan Abu Bakar Omar dengan mengatur pelbagai program bagi membantu penduduk Islam di wilayah itu.

Semua program yang dilakukan bertujuan mendedahkan penduduk dengan kehidupan Islam sebenar yang sentiasa menyeru umatnya berusaha mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Untuk tujuan itu, mereka tidak harus menumpukan perhatian kepada bidang agama semata-mata, juga bidang lain.

Sebelum ini, pelbagai sesi penerangan kepada penduduk Islam supaya mereka memahami betapa pentingnya keamanan dalam usaha mencapai kemakmuran.

Sesi berkenaan pernah disertai oleh bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Jamil Khir Baharom yang ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
....................................

Ini pula tulisan dalam penarikbeca.blogspot.com sebelum muktamar.

Email itu ialah mengenai Task Force 2010 ditubuhkan atas dasar mengembalikan kestabilan di Selatan Thai. Ia diketuai oleh seorang berpangkat Jeneral daripada Kor Risik yang dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Beliau adalah Dato’ Wan Abu Bakar yang berasal dari Terengganu.

Email itu menuduh Ustaz Nasharudin Mat Isa telah terlibat dengan Task Force ini dan telah dua kali menguruskan pertemuan diantara Dato’ Wan Abu Bakar dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bagaimanapun, menurut email itu, Tuan Guru dengan jelas tidak mahu terlibat dengan agenda Task Force 2010 tersebut.

Nasib baik, menurut email itu lagi, Tuan Guru Nik Aziz tidak mahu membabitkan diri.

Ini kerana tidak lama kemudian, menurut email itu, agenda Task Force ini kemudiannya berubah kepada agenda perpaduan Melayu. Ianya mengalih isu Selatan Thai kepada isu menyelamatkan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi 'beyond 2010', menurut email itu. Tahun 2010 ialah tahun asal transisi kuasa antara Abdullah kepada Najib.

Email itu mendakwa, Task Force ini digembeling oleh Dato’ Wan Abu Bakar dan Nasharuddin Mat Isa untuk menganjurkan beberapa pertemuan di antara pemimpin tertinggi UMNO dengan beberapa pemimpin PAS. Akhirnya, Abdullah Badawi membuat pengakuan bahawa sedang ada rundingan antara kedua-dua parti tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Muhyidin Yassin bagaimanapun berjaya membangkitkan keberanian terbuka ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO dan pemberontakan dalaman berlaku mengakibatkan Abdullah terpaksa berundur sebelum 2010.

Email itu menuduh "Task Force ini juga terlibat dengan mendedahkan maklumat-maklumat Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia yang bertujuan menjatuhkan Najib Razak. Antaranya ialah mendedahkan maklumat pembunuhan Altantunya kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan kemudian kepada Raja Petra Kamaruddin".

Setelah ketiadaan Abdullah, dakwa email itu, ada usaha untuk mengekalkan semula Task Force ini. Pertemuan di antara wakil Task Force bersama Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi diadakan, dakwa email itu.

Bagaimanapun, dakwa email itu lagi, Najib Razak tidak berminat kerana dia tahu dan sedar apa yang telah dilakukan oleh Task Force ini ke atasnya. Namun akhirnya, dakwa email itu lagi, Najib lembut hati apabila nama Nasharudin Mat Isa dibangkitkan.

Email itu selanjutnya mendakwa, antara yang akan menjadi usaha terkininya ialah mengembalikan kegemilangan BN dengan membawa semula PAS ke dalamnya. Email itu seterusnya yakin Najib Razak akan menerimanya kerana ia akan meneruskan legasi ayahandanya.

Seterusnya email itu mengemukakan dua persoalan:

Apakah peranan Utusan Malaysia di dalam keprihatinan tiba-tiba terhadap PAS adalah sebahagian daripada agenda Task Force 2010?

Email itu mendakwa "Ya"

Siapakah Nasharuddin Mat Isa?

Email itu menjawab, tanya Dato Wan Abu Bakar.

Di bawah sekali tertulis seperti berikut:
Ikhlas,
Hassan
..........................................

Dalam artikel kickdefella.wordpress.com pula, satu pakatan konspirasi yang lebih teruk didedahkan.

Bukankah saya sudah dedahkan di blog ini bahawa PAS akan dibawa menyertai Barisan Nasional pada bulan Jun 2009? Bukankah ramai yang terkejut dan ramai juga yang memaki hamun saya dengan pelbagai bahasa yang indah-indah. Dan bukankah ramai sudah terlupa apa yang saya tuliskan itu.

Saya bukan Nujum Pak Belalang, saya bukan kaki temberang. Tetapi apa yang jelas ialah, pada penghujung April 2009 yang lalu, pemimpin-pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional (bukan UMNO) telah di dalam beberapa sessi bertemu akar umbi memberitahu bahawa PAS akan dibawa menyertai BN pada bulan Jun 2009.

Khabarnya pada hari ini, 3 dari setiap 4 ahli parti itu mahu parti komponen tersebut segera tinggalkan BN. Parti tersebut lebih rela bersama musuh tradisinya sebagai pembangkang daripada melihat air liur mereka yang diludah ke langit sekian lama jatuh ke muka sendiri.

Bagaimana parti tersebut mendapat tahu bahawa PAS akan menyertai BN pada bulan Jun? Apakah parti itu telah diberi taklimat terlebih dahulu tentang perkara tersebut. Apakah parti-parti komponen BN yang lain juga tahu akan perkara ini?

Selepas UMNO gagal mengundang PAS menubuhkan kerajaan bersama di Selangor dan Perak pada 9 Mac 2008 dan beberapa hari kemudiannya, kedudukan Abdullah Ahmad Badawi menjadi begitu tidak stabil. Sebuah badan bernama TASK FORCE 2010 ditubuhkan dengan diketuai oleh Bekas Atache Tentera Malaysia ke Pakistan dan Pegawai Tinggi dalam Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia. Pegawai tersebut kini dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri. Beliau anak kelahiran Terengganu dan bernama Wan Abu Bakar.

Leftenan Jeneral Dato’ Wan Abu Bakar Omar, Ketua kepada Nasharuddin Mat Isa di dalam “Agenda Melayu”

Tujuannya ialah mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi. Cara untuk mempertahankan Abdullah ialah dengan menggunakan agenda Melayu. Agenda Perpaduan Melayu ini telah menarik Nasharuddin Mat Isa untuk bersama dengan Dato’ Wan Abu Bakar. Hanya Nasharuddin yang dapat memberi penjelasan sejauh mana penglibatannya dan samada penglibatannya itu dibayar dengan wang ringgit.

Bagaimanapun TF2010 ini gagal untuk membuahkan hasil bila Majlis Tertinggi UMNO bangkit memberontak dan menggulingkan Pak Lah akibat tekanan perang saraf 16 September oleh Anwar Ibrahim.

Berkemungkinan besar, 16 September hanyalah satu ilusi dan serangan saraf. Apa yang Anwar Ibrahim mahukan ialah berlaku peralihan kuasa segera di dalam UMNO. Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin yang bersamanya tahu bahawa mereka perlukan satu peralihan kuasa di dalam UMNO untuk memberi ruang kepada yang Di Pertuan Agung melantik Perdana Menteri baru selepas Perdana Menteri yang dilantik sebelumnya meletakkan jawatan.

Diluar ruang lingkup pengetahuan media dan golongan massa, satu usaha membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan sebenar telah dibincangkan. Ustaz Hadi, Presiden PAS tidak berbohong bila dia berkata idea Kerajaan Perpaduan telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Tetapi ini tidak bermakna Haji Hadi bercakap benar. Ini kerana Kerajaan Perpaduan yang dirancang pada ketika itu bukanlah Kerajaan Perpaduan cap ayam yang menggabungkan Kerajaan yang ada pada ketika itu dengan pembangkang. Sebaliknya ia adalah sebuah kerajaan alternatif yang bakal menggantikan Kerajaan sedia ada.

Nasharuddin bersama rakan dalam Pakatan yang cuba ditikam belakang dalam gelap olehnya

Kerajaan Perpaduan yang cuba diusahakan pada ketika itu ialah di antara PKR, DAP dan PAS dengan beberapa parti politik kecil yang lain beserta beberapa pemimpin yang juga ahli Dewan Rakyat Melayu dari UMNO.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan surat perletakkan jawatannya kepada YDP Agong, pembangkang akan mencadangkan pula kepada istana untuk mengambil kira penubuhan Kerajaan Alternatif yang dicadangkan oleh mereka.

Awal April itu, pembangkang sudah begitu hampir untuk menubuhkan sebuah Kerajaan baru. Sukar di buat spekulasi apa yang menggagalkan mereka. Namun kalau ditelitikan, beberapa minggu sebelum perletakkan jawatan Abdullah, Ustaz Hadi telah mengumumkan cadangan sebuah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perpaduan itu adalah di antara BN dan pembangkang.

Apakah ini bermakna Haji Hadi tidak menyetujui Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat sendiri lantaran beliau mengambil inisiatif sendiri dan mencadangkan yang sebaliknya?

Ramai yang melihat Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan oleh Haji Hadi adalah satu usaha terakhir oleh segelintir pemimpin didalam PAS untuk menyelamatkan Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun, sudah tentu pada waktu itu, Wan Abu Bakar sendiri sudah tahu bahawa kedudukan Abdullah mustahil untuk diselematkan lagi.

Oleh yang demikian, cadangan Kerajaan Perpaduan oleh Hadi sebenarnya adalah bukti penentangan Hadi terhadap kerajaan alternatif yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat sendiri.

Isu agenda Melayu hanyalah satu perang saraf anjuran TF2010 dan usaha di antara Wan Abu Bakar dan Nasharuddin Mat Isa. Apakah Melayu lebih lemah hari ini berbanding dengan 1988 dan 1999? Apabila UMNO diharamkan, Barisan Nasional telah pada satu ketika dipengerusikan oleh Presiden MCA. Ahli-ahli Dewan Rakyat dari UMNO telah menjadi anggota bebas buat seketika. Pada saat dan ketika itu, kewujudan dan penerimaan semula UMNO (BARU) kedalam BN berada di tangan bukan Melayu.

Pada tahun 1999, pengundi-pengundi Melayu telah secara beramai-ramai mengenepikan UMNO. UMNO dan BN terselamat dan masih berjaya mempertahankan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dengan bersandarkan sokongan padu bukan Melayu. UMNO kehilangan Terengganu iaitu negeri yang paling tinggi penduduk Melayu. Pemimpin-pemimpin besar UMNO ramai yang menang tipis termasuklah Najib Razak sendiri. Sekali lagi penguasaan politik Melayu berada dalam genggaman Bukan Melayu.

Tetapi dalam tahun 2008, majoriti orang Melayu mengundi UMNO dan Barisan Nasional, tetapi kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 nya dan prestasi buruknya di Semenanjung Malaysia ialah kerana pengundi Bukan Melayu telah menolak BN.

UMNO sebenarnya semakin kukuh kerana peratusan perwakilannya semakin meningkat berbanding dengan rakan kongsi dalam BN.

Kehadiran ahli-ahli Parlimen Melayu dan Islam di Dewan Rakyat juga masih majoriti. Di dalam BN, UMNO semakin besar pengaruhnya kerana parti-parti komponen yang lainnya semakin lemah. Jadi mengapa mahu di laung-laungkan agenda Melayu?

Bukankah usaha sebenar yang patut UMNO lakukan ialah mengembalikan kepercayaan Bukan Melayu kepadanya. Agenda Melayu itu sebenarnya adalah satu perang saraf dan UMNO telah menang di dalam perang saraf tersebut.

PAS adalah biawak hidup yang sudah tentu UMNO tidak mahu memikulnya ke dalam BN. Pemimpin UMNO sedar kemasukan PAS ke dalam BN hanya akan mempercepatkan kehancuran BN dengan menimbulkan kemarahan parti-parti komponennya.

Kemasukkan PAS ke dalam BN juga akan menyebabkan pengundi Bukan Melayu merasa mereka dikhianati oleh PAS, lantaran mereka sudah tentu semakin benci kepada BN.

Agenda Melayu sebenarnya adalah satu racun, sama seperti sejenis racun lipas. Apabila racun itu dimakan lipas, lipas tersebut akan kembali ke sarangnya dan mati. Seluruh tubuh lipas itu menjadi racun. Lipas-lipas lain yang memakan lipas beracun itu akan mati dan seterusnya ini akan memusnahkan koloni lipas tersebut.

PAS sudah termakan racun tersebut. Apakah kelak ini akan menular ke seluruh koloni pembangkang?

Haji Hadi sendiri merangkak di dalam kesamaran yang penuh dengan kontradiksi bila bercakap tentang Kerajaan Perpaduan yang ditajanya. Keadaan semasa semakin bertimpa-timpa kekeliruan yang mencelarukan. PAS mahu terus bersama Pakatan Rakyat tetapi PAS mahu terus berunding dengan UMNO. Bukankah ini sebenarnya adalah agenda UMNO.

Sudah tentu UMNO mahu PAS terus berunding dengannya supaya UMNO boleh dilihat ikhlas mempertahankan penguasaan Melayu dalam arena politik dan menerusi rundingan ini, kredibiliti PAS di kalangan pengundi-pengundinya akan semakin luntur.

Pada waktu yang sama UMNO sudah tentu mahu PAS terus bersama Pakatan Rakyat kerana kemasukan PAS ke dalam BN hanya akan mempercepatkan kehancuran BN dan bukan membantu membaik pulih BN untuk berdepan dengan pilihanraya akan datang. Dengan PAS terus berada di dalam Pakatan juga, UMNO boleh terus menggunakan ketidak tentuan dalam PAS untuk menghancurkan Pakatan.

Oleh yang demikian, bila anda mendengar ada di antara pemimpin-pemimpin PAS berkata, “kita akan terus berunding dengan UMNO dan akan terus bersama Pakatan”, fikirlah masak-masak dan ingatlah kalimah ‘Boneka UMNO’ yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz yang amat-amat kita sayangi itu.

............................................................
Rasa2nya boleh percaya ke pendedahan ini? Atau ia hanya usaha2 untuk 'membunuh ' karakter Ustaz Nasha?. Secara tidak langsung, ia turut 'membunuh' karakter Tuan Guru Presiden Pas!!! Anwar Ibrahim jumpa Umno BN bukan isu, Lim Kit Siang jumpan Umno BN demi Pulau Pinang pun bukan isu. Tapi kalau Tuan Guru Presiden yang mereka panggil Ustaz Hadi, itu isu besar!!! Pembaca fikirkan masak2.

KENAPA HARUN AJAK HARUSSANI MUZAKARAH?

Memang Pemimpin Gerakan Islam sangat sinonim dengan kerja dakwah. Sinar Harian hari ini melaporkan bahawa Ustaz Harun Taib, Pesuruhjaya Pas Terengganu ajak Harussani bermuzakarah isu kenegaraan. Elok sangat lah tu. Mursyidul Am ajak Perdana Menteri debat, Ketua Dewan Ulama' pula ajak Mufti muzakarah. Yang jadi peliknya, kenapa diajak mufti? Kan kalau ajak Perdana Menteri juga kan bagus. Bagus pada hasratnya sahaja. Apabila penyokong Pakatan Rakyat, sudah tentu jadi 'havoc' 1Malaysia semula. Baru aja nak lupa isu Kerajaan Perpaduan, timbul pula muzakarah baru, sudah barang tentulah jadi kecoh kembali dunia politik kepartian tanahair.

Yang sebenarnya, bacaan penulis terhadap ajakan itu nak memberitahu kepada kita bahawa Harusssani Zakaria tak usah campur lah politik kalau sekadar nak beri untung Umno BN. Esok kita akan disoal olejh Allah s.w.t. Dalam temubual wartawan akhbar utama tanahair baru2 ni, Harussani mengaku beliau tak pandai politik. Kalau pandai, dah lama dia masuk. Jadi beliau mempertahankan tindakannya menyentuh isu perpaduan dan beberapa isu lain bertujuan membetulkan apa yang salah. Penulis mahu bertanya , dari kacamata manakah Harussani lihat betul dan salah itu? bukankah Qur'an dan Sunnah nabi s.a.w. yang menentukan apa yang betul dan apa yang salah? Beliau menekankan betapa ruginya Melayu dan Islam apabila bangsa Melayu berbalah sesama sendiri dalam hal politik. Inilah jadinya kalau seorang mufti tidak pandai menterjemahkan kisah sirah nabi dalam konteks hari ini. Bukankah Nabi s.a.w. ditentang hebat oleh kaumnya sendiri? Bukan setakat bangsa sahaja, bahkan suku Quraiysh yang mulia di tanah Mekah, dan menjadi darah dagingnya sendiri.

Penulis teringat waktu belajar dulu, ada satu subjek yang mengkaji idea pembaharuan dan gerakan Islam di seluruh dunia. Di Turki, seorang tokoh pembaharuan yang sangat berpengaruh di kalangan masyarakat iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Beliau dikenali dengan seorang yang dididik dengan jalan sufi. Tetapi kelemahannya ialah tidak pandai sepak terajang politik Turki. Jadi, tak kurang cendekiawan Islam yang memanggilnya "Badiuzzaman yang naif." Naif di sini nak merujuk kepada orang yang tidak pandai selok belok politik semasa. Jadi, penulis rasa Harussani pun lebih kurang Badiuzzaman juga dari sudut pandangan politiknya. Mereka berdua ada niat untuk menyelamatkan anak bangsa dari lembah kehancuran tetapi dari sudut pandangan yang salah. Harussani terlalu husnuzzon (bersangka baik) terhadap Umno BN yang sudah berapa kali menipu, memperdaya, membohongi, memungkiri, mengasari pembangkang dan rakyat!!! Inilah kelemahannya.

Sepatutnya Harussani mendampingi ulama'-ulama' Pas untuk memahami sepak terajang politik. Mendengar sirah Nabi dan pengajarannya dari ulama' haraki. Juga dengar cerita pembohongan-pembohongan, pengkhianatan-pengkhianatan Umno BN terhadap agama bagi membuka mata dan minda mufti tersebut. Penulis nak cadang agar Ustaz Harun Taib jemput Harussani 'join' usrah Ustaz untuk beri kefahaman yang betul tentang perjuangan Islam. Atau kalau ada yang salah dengan perjuangan Pas, maka dipersilakan Harussani menegurnya dari dalam kerana itu lebih memberi impak maksima!!!

Sekian.

Sunday, June 28, 2009

MU: MUJADALAH NIK AZIZ VS NAJIB



DEBAT NIK AZIZ VS NAJIB

Penulis dikejutkan dengan tajuk akhbar Sinar pada hari ini di muka hadapan," NIK AZIZ AJAK NAJIB BERDEBAT." Baru sahaja Pimpinan Pakatan Rakyat bermesyuarat dan mencapai kata sepakat bahawa Kerajaan Perpaduan dengan Umno BN adalah ditolak. Hujah Tok Guru, Musa a.s. dihantar Tuhan berdebat dengan Firaun, Nabi Ibrahim a.s. dengan Namrud, Nabi Muhammad s.a.w. dengan Abu Jahal. Ringkasnya, Tok Guru sebut ada tiga cara dalam berdakwah iaitu dengan Hikmah, dengan nasihat yang baik, dan berdebat(mujadalah).

MUZAKARAH, MUQABALAH ATAU MUJADALAH

Sebelum Muktamar Pas di Ipoh tahun lepas, Pas dilanda isu muzakarah yang kemudiannya jadi muqabalah. Ini ekoran dari pertemuan sulit pemimpin Pas dengan Umno BN, yang kemudiannya didedahkan oleh Pak Lah dan pimpinan Pas juga(Khalid Samad). Istilah muzakarah atau muqabalah sebenarnya sama sahaja niatnya. Kedua2nya demi dakwah Islam. Cuma ditukar nama untuk memberi kesan yang lebih lunak. Hari ini, ia menjadi mujadalah. Muzakarah dan muqabalah sebenarnya berdiri atas landasan dakwah Islamiah sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat dari surah an Nahl itu. Cuma mujadalah nampak lebih 'konfrontasi' sebab sebut berdebat, ia membawa konotasi yang berlainan. Mungkin kebanyakan orang awam akan fikir debat ini bertujuan untuk membuktikan bahawa tukang ajak debat adalah lebih benar daripada yang diajak debat. Dalam kes hari ini, Tok Guru nak buktikan bahawa apa yang dimainkan oleh media arus perdana berkenaan isi kandungan ceramah Manek Urainya adalah salah dari sudut konteks pemahaman yang dikehendaki oleh Tok Guru. Jawapan dari pihak yang dijemput memang sudah dijangka. Najib menolaknya mentah2. Cari nahaslah Najib kalau sambut jemputan debat dengan Mursyidul Am Pas tersebut. Kata Tok Guru lagi, Masalah tak selesai selagi tidak bertemu muka. Samalah dengan pendirian Tok Guru Haji Hadi tu. Maknanya Islam tidak tutup pintu perbincangan dengan sesiapa termasuk Umno BN demi dakwah Islam. Cumanya ada peringkat dan kaedah yang berbeza berdasarkan fathonah politik masing-masing.

UMNO KOMUNIS, AYAH PIN

Punca Pemuda Umno Kelantan mendesak agar Tok Guru diambil tindakan dibawah akta Hasutan adalah kerana Tok Guru menyamakan Umno BN dengan Komunis dan Ayah Pin di sini. Memang 'panas' tuduhan itu. Sudah tentu menggelepar pemimpin Umno mendengarnya. Tapi bukan sekali dua Tok Guru sebut dalam ceramah. 'Sokmo' doh disebut Tok Guru di mana-mana. Pointnya, Umno tolak Islam. Tolak Islam, samalah dengan mana-mana ajaran sesat yang lain. Maknanya Tuhan murka. Samalah dengan kemurkaan Tuhan terhadap ajaran sesat lain. Tapi kalau orang-orang Umno, sudah tentulah tidak boleh hukum secara borong semua orang Umno kafir macam komunis. Tapi menulis rasa, kalau lah Tok Guru Haji Hadi yang sebut, sudah tentulah ia akan menjadi lebih hangat, dan dikritik hebat oleh pimpinan Pas sendiri. Begitu hebatnya Tok Guru Nik Aziz, ia disegani oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat termasuklah Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, melebihi Tok Guru Haji Hadi.

SENJATA UMNO

Isu ini Umno BN akan gunakan sungguh2. Kita akan lihat beberapa orang ahli agama termasuk mufti sebagaimana wawancara Tan Sri Harussani Zakaria Mufti Perak dalam Utusan Malaysia hari ini memberi fatwa haram menuduh orang-orang Islam dengan perkataan komunis dan Ayah Pin. Itulah Umno BN yang sentiasa menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka. Mereka guna ahli agama apabila mereka mahu. Dan mereka kesampingkan agama apabila bercanggah dengan kehendak nafsu serakah mereka.

Monday, June 22, 2009

BENARKAH USTAZ NASHA EJEN UMNO?

KERAJAAN PERPADUAN AGENDA UMNO?

Politik Malaysia di'havoc'kan dengan isu Kerajaan Perpaduan. Yang jadi mangsanya ialah Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS yang baru sahaja pegang jawatan. Kalau kita ikut rentetan peristiwa politik dalam Pas, maka kita akan nampak kenapa Ustaz Nasha di'serang' bertubi-tubi oleh media dan rakan-rakan pimpinan dalam Pas sendiri. Ia bermula apabila ura-ura ada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PAS. Orang yang disebut-sebut ketika itu ialah Datuk Paduka Husam Musa, yang juga Naib Presiden PAS ketika itu. Blogger-blogger mula mainkan jarum mereka. Kalau kita teliti dengan baik, maka kita juga akan faham serangan-serangan 'maut' yang dilancarkan oleh blogger memang dirancang secara gerakan. 'Istiqamah'nya mereka menyerang dari hari demi hari demi untuk menjatuhkan seorang pimpinan tertinggi Pas, sudah tentu ada Pengarah Operasinya. Anda semua boleh jawab sendiri siapa pengarahnya. Paling teruk, Ustaz Nasha dicop Ejen ntah 007 ke, 009 ke, kepada Umno BN dalam usaha untuk menarik Pas ke dalam Umno BN. Diceriterakan bahawa Pengarah misi ini ialah Leftenan Jeneral Dato' Wan Abu Bakar Omar(orang Terengganu), yang sentiasa berhubung dengan Ustaz Nasha untuk memastikan misi 'accomplished'. Bukti keterlibatan Ustaz Nasha, dakwa blogger-blogger ini ialah antaranya pertemuan antara Ustaz Nasha bersama pimpinan-pimpinan Pas yang lain dengan Pak Lah sendiri, bertujuan untuk bincangkan pembentukan kerajaan Selangor yang ketika itu dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Betapa dangkalnya hujjah mereka. Dengan bertemunya Ustaz Nasha dengan pimpinan Umno BN, sudah dikira ejen Umno. Kalau begitu, Dato' Mustafa Ali dan Khalid Samad juga ejen Umno sebab mereka pun hadir sama! Lainlah kalau memang ada bukti 'explicit' lain yang membuktikan memang Ustaz Nasha ejen Umno BN.

Harus diingat, Istilah Kerajaan Perpaduan disebut oleh Presiden Pas ketika Pak Lah masih Perdana Menteri. Sekarang Pak Lah bukan lagi seorang Perdana Menteri. Presiden Pas menarik balik idea Kerajaan Perpaduannya selepas Najib Razak jadi PM. Orang yang faham politik akan tahu ini merupakan strategi Presiden Pas sahaja ketika Pak Lah masih berkuasa. Ini diakui oleh Presiden ketika ditemuramah di sini.

DESAKAN LETAK JAWATAN

Selepas Muktamar baru2 ni, dalam keadaan Ustaz Nasha terus mempertahankan jawatannya, beliau terus diasak oleh media, sehinggakan di'cop' sebagai boneka umno oleh Tok Guru Nik Aziz, lalu disuruh letak jawatan. Bahkan dikeji dengan kalimah "buat sampah". Semua ini hanya layak dilemparkan kepada golongan munafik politik!!! Ini sangat-sangat mengejutkan semua pendokong Pas kerana Tok Guru yang dikenali sebagai seorang yang sangat lembut dalam diplomasinya dengan Umno, tiba-tiba menuduh Ustaz Nasha dengan sebegitu rupa. Sudah tentu ada maklumat yang sangat kuat sehinggakan Tok Guru mendesak agar beliau letak jawatan sebagai ahl parlimen Bachok. Ini dikuatkan lagi dengan desas desus yang sudah lama bermain di bibir orang-orang pas bahawa Ustaz Nasha tidak diterima di Bachok akibat sikapnya yang elit, tidak pedulikan rakyat Bachok. Bahkan orang Kedah pun tak nak terima. Sebab itulah Ustaz Nasha bertanding di Bachok Kelantan. Jadi, Apa sebenarnya yang Tok Guru tahu, yang orang lain seperti Presiden tidak tahu menyebabkan Tok Guru Nik Aziz menganggap kerajaan perpaduan ialah bergabung dengan Umno, sedangkan Ustaz Nasha dan seluruh pimpinan Pas pusat yang ditemuramah media menafikan bahawa Pas tidak akan bergabung sama sekali dengan Umno? Yang ada ialah kata Ustaz Nasha , perbincangan, ataupun dengan bahasa Muktamar tahun lepas ialah Muqabalah. Jika kita lihat, tahun lepas dan tahun ini sama sahaja dalam isu berbincang dengan Umno BN iaitu Tok Guru Nik Aziz tolak sekeras-kerasnya walaupun telah diterangkan oleh Dato Seri Presiden di pejabat Tok Guru MB Kelantan sendiri. Dan lebih-lebih lagi ianya telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama'.

Kesimpulannya, pertandingan merebut jawatan akan menyebabkan kebarangkalian rasa tidak puashati, timbul rasa dendam dan sebagainya. Takut2 desakan letak jawatan itu sebenarnya hasil manifestasi dari orang yang 'frust' kalah bertanding...Kalau tidak, lebih baik suruh saja Presiden Pas letak jawatan kerana idea UG datangnya dari beliau. Tak gitu?

10 BUDAK HITAM

Yang banyak terima bahang kemarahan Tok Guru Nik Aziz dan penyokong-penyokongnya ialah Ustaz Nasha, bukannya Presiden sendiri. Ini yang peliknya. Sedangkan yang banyak menyebut Kerajaan Perpaduan ialah Presiden. Jadi, ada perkara lain sebenarnya yang menyebabkan Ustaz Nasha diserang. Kesilapan Ustaz Nasha yang menyambut baik ucapan Najib yang menyokong idea Kerajaan Perpaduan disalahertikan sebahagian ahli parlimen Pas sehinggakan 10 daripada mereka mengadakan 'PC' dengan membawa memorandum menolak Kerajaan Perpaduan. Bagi setengah blogger atau penganalisis politik, mereka menganggap tindakan 10 mp ini tidak cerdik dan merugikan Pas di mata umum. Sebenarnya ini tindakan cerdik untuk menekan dan terus menekan Ustaz Nasha supaya letak jawatan. Lihatlah di sini wajah-wajah yang bertindak sendiri dalam soal ini. Semuanya mempunyai latar belakang yang agak sama kecuali 2,3 orang sahaja. Mereka sebenarnya asalnya dari jamaah JIM, IRC, dan Alami yang pada asalnya mempunyai pemikiran yang berbeza dengan jamaah PAS. Mereka masuk ke dalam Pas dengan membawa agenda jamaah mereka. Walaupun sebahagian Pimpinan Pas menyedari masalah ini, tetapi Pas tetap terima mereka kerana sifat Pas itu sendiri sebagai sebuah parti yang menerima sesiapa sahaja untuk berjuang menegakkan kalimah Allah di mukabumi ini. Inilah keterbukaan Pas. Yang paling hairan, kenapa Ustaz Taib Azamuddin pun tersenarai sama dlm 10 budak hitam tu? Pelik Betul...

TINDAKAN DISIPLIN

Ada blogger yang cadangkan agar 10 budak hitam diambil tindakan disiplin. Pas harus tegas kali ini agar polemik perpecahan yang tak dapat ditutup lagi ini akan berpanjangan. Mereka harus diberi kata dua. Al Marhum Syeikh Fathi Yakan pun pernah sebut antara punca kegagalan gerakan Islam untuk menang ialah timbulnya pelbagai pemikiran dalam sebuah jamaah. Ini bermakna tiada penyatuan pemikiran. Ini tidak harus berlaku khususnya di kalangan Pimpinan Pusat. 10 budak hitam wajib beri wala' kepada Presiden sekiranya mereka orang yang sayangkan Parti. Memberi wala' kepada orang di luar parti adalah haram. Kalau tidak, bagaimana mahu menumpaskan musuh kalau tidak taatkan 'Jeneral'.

BUKAN DUA, TAPI TIGA

Sebenarnya ada tiga kelompok dalam Pas. Satu yang memberi wala' kepada kepimpinan. Mereka ini sabar menunggu penjelasan dan penyelesaian di peringkat atasan. Kedua, yang mempunyai agenda asing yang dibawa ke dalam Pas(10 budak hitam). Ini paling BAHAYA. Yang ketiga, golongan pimpinan dan ahli serta penyokong yang jahil mainan politik golongan kedua. Mereka buat perkiraan atas dasar lojik yang singkat, dan atas dasar sentimen(seperti Kelantan), ataupun kerana tidak mendapat maklumat yang tepat. Hanya bergantung kepada orang sekeliling. Ini pun bahaya. Surah al hujurat yang sudah dikhatam dalam usrah, entah di mana mereka letak agaknya.


Monday, June 8, 2009

KEPUTUSAN PEMILIHAN PAS PUSAT

Berikut merupakan keputusan pemilihan Jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sempena Muktamar kali ke 55.

Timbalan Presiden

1.Nasharudin Mat Isa – 481(menang)

2.Husam Musa – 281

3.Muhamad Sabu – 261

3 Naib Presiden

1.Tuan Ibrahim Tuan Man – 871

2.Salahuddin Ayub – 824

3.Mahfuz Omar – 663

Ahli Jawatankuasa Kerja

1. Mohamad Nizar Jamaluddin – 854 undi.
2. Idris Ahmad – 799 undi.
3. Kamaruddin Jaafar – 769.
4. Azizan Razak – 653.
5. Hassan Ali – 642.
6. Dr Mohd Hatta Ramli – 638.
7. Abdul Ghani Shamsuddin – 637.
8. Abu Bakar Chik – 622.
9. Hanifa Maidin – 619.
10. Amiruddin Hamzah – 606.
11. Dr Lo Lo Ghazali – 598.
12. Ghani Abdul Rahman – 584.
13. Zulkefli Mohamad – 576.
14. Syed Azman Syed Mohamad – 530.
15. Hashim Jasin – 522.
16. Mazlan Aliman – 513.
17. Taib Azmuddin Mohamad Taib – 504.
18. Mujahid Yusuf Rawa – 448.

Related Posts with Thumbnails