Monday, June 29, 2009

TASK FORCE 2010 SEBENAR

Sinar Harian semalam (29 Jun) memuatkan satu artikel yang sangat menarik iaitu Usaha Malaysia membantu Masyarakat Islam di Selatan Thailand melalui satu Misi yang dinamakan sebagai TASK FORCE 2010. D i bawah ini disertakan artikel tersebut.

Misi mendamaikan selatan Thailand


Luka lama berdarah kembali! Terbaru, 9 Jun lalu, umat Islam sekali lagi dihina, berikutan pembunuhan 11 jemaah ketika sedang solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan di daerah Cho-Ai-Rong, Narathiwat.

Parut berdarah di Selatan Thailand kembali membasahi hati mereka dengan beberapa kejadian serangan yang mengorbankan hampir 20 penduduk di tiga wilayah yang dihuni majoriti beragama Islam.

Ini bukan sesuatu yang baru, malah sejak 2004 lagi, hampir 4,000 nyawa terkorban, Kerajaan Thailand terus berusaha mencari penawar ke arah kedamaian terhadap wilayah autonomi itu.

Namun, sehingga hari ini masih belum menunjukkan tanda positif ke arah konflik itu melainkan pembunuhan demi pembunuhan terus berlaku.

Walaupun kerajaan tetap berusaha menyelesaikan masalah ini, termasuk menghantar dua menterinya dan pemerintah tertinggi angkatan tentera, Jeneral Arapong Paojinda bagi menyiasat kejadian, tetapi masyarakat masih belum mampu melupakan lekuk hitam itu.

Selagi mentaliti masyarakat tidak ‘disucikan’ dari pemikiran kiri iaitu terlalu menyalahkan kerajaan dalam tercetusnya sesuatu kejadian, nasib selatan Thailand entah bila akan berakhir.

Allah SWT berfirman Surah: Al-Ra’d, Ayat 11: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.

Ayat Allah berkenaan jelas menunjukkan mereka perlu berubah, bukan lagi berada di dalam pondok-pondok agama yang mencari Ilmu akhirat, sebaliknya perlu juga pengisian duniawi bagi menampung kehidupan sebelum mati.

Manakala bagi Malaysia, sebagai jiran terdekat dengan Selatan Thailand, tidak lengkap jika tidak membantu permasalahan yang melibatkan kembarnya.

Ini bukan bererti mencampuri urusan negara Gajah Putih itu, kerana Asean berpendirian tidak sama sekali masuk campur dalam urusan dalaman sesebuah anggotanya seperti dijanjikan.

Namun sebagai permintaan kembar, Malaysia sama sekali tidak melepas tangan berhubung isu ini, apabila menubuhkan satu jawatankuasa khas dikenali Task Force 2010 (Malaysia) selepas diminta Kerajaan Thailand melalui ketua junta rampasan kuasanya, Jeneral Sonthi Boonyaratglin kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi Thailand, mereka dikenali Task Force 960 (Thailand), walaupun perbezaan nama tapi misinya adalah sama iaitu berusaha mendamaikan selatan negara itu.

Menjadikan Malaysia sebagai contoh, daripada pemimpin junta tentera Jeneral Sonthi Boonyaratglin, yang dilantik junta sebagai Perdana Menteri sementara, Surayud Chulanont hingga hari ini, Abhisit Vejjajiva tetap mengharapkan kita menangani perkara ini.

Usaha membantu masyarakat selatan ini perlulah dilakukan dengan percambahan minda yang menunjukkan orang Islam tidak ditindas, sebaliknya mereka sendiri perlu mengeluarkan diri dari pondok agama.

Dengan amanah diplomatik yang dipikul Task Force 2010 (Malaysia) diketuai Ketua Pengarahnya, Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar, misi pertamanya dilakukan dengan membawa 70 remaja yang dulunya bergelar ustaz mempelajari kemahiran vokasional di Pusat GiatMara (PGM) berhampiran sempadan Thailand-Malaysia iaitu di Padang Besar, Perlis; Jitra, Kedah; Pasir Putih dan Tumpat, Kelantan.

Daripada jumlah itu, terdapat juga yang dihantar mempelajari kursus mekanik motor dua lejang dan kursus asas pengendalian komputer melalui program kemahiran selama tiga bulan di Institut Teknologi Perak (ITP).

Semua pelajar berkenaan adalah dari tiga daerah yang bergolak, Yala, Pathani dan Narathiwat yang sering dilabelkan sebagai lubuk militan Islam, sedangkan mereka tidak sepatutnya menerima gelaran tersebut.

Tamparan demi tamparan yang dihadapi kedua-dua agensi ini, tetapi sesekali berpatah semangat dengan amanah kerajaan yang diberikan yang belum menjanjikan sebarang hasil ke arah kedamaian.

Kumpulan ini diberikan pembelajaran sambil menghayati kehidupan dan keamanan yang di kecapi Malaysia, walaupun hidup berbilang kaum.

Jelas sekali hubungan baik kedua-dua agensi ini menunjukkan hasil yang menggalakkan dan permintaan melanjutkan pelajaran ke sini juga bertambah.

Sekembalinya mereka ke Selatan Thailand, peluang pekerjaan akan lebih terbuka di samping berpeluang melakukan perniagaan sendiri yang mana mampu meletakkan masyarakat Islam setaraf dengan masyarakat lain.

Bukan bererti masyarakat Islam ditindas, tetapi mereka sendiri yang tidak bersaing meletakkan diri sendiri seiring dengan kelompok lain hinggakan timbul salah faham antara masyarakat.

Rentetan itu, 40 beliawanis dari tiga kawasan sama dibawa ke negara ini bagi mengikuti kursus pembantu perubatan di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine (UniKL-RCMP) di Ipoh, Perak selama setahun.

Dengan kerjasama erat bersama Ketua Pengarah Task Force 960 (Thailand), Jeneral Kasem Yuktavira pelbagai agenda dirancang lagi masa depan demi cahaya keamanan selatan Thailand.

Terbaru, usaha memastikan golongan belia di selatan Thailand mendapat pendidikan yang bukan tertumpu kepada bidang agama semata-mata, pada 24 Mei lalu, Task Force kedua-dua negara melaksanakan satu lagi program yang membabitkan sembilan belia.

Mereka dibawa mengikuti peringkat Diploma Hafalan Quran di Darul Quran, Kuala Kubu Baharu selama tiga tahun.

Kali ini, ia lebih menarik apabila dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan segala kos ditanggung Kerajaan Malaysia seperti sebelum ini.

Melalui pendekatan itu, mereka mempelajari bidang agama dan didedahkan mata pelajaran akademik lain yang mampu.

Sekali lagi amanah sama di berikan kepada Wan Abu Bakar Omar dengan mengatur pelbagai program bagi membantu penduduk Islam di wilayah itu.

Semua program yang dilakukan bertujuan mendedahkan penduduk dengan kehidupan Islam sebenar yang sentiasa menyeru umatnya berusaha mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Untuk tujuan itu, mereka tidak harus menumpukan perhatian kepada bidang agama semata-mata, juga bidang lain.

Sebelum ini, pelbagai sesi penerangan kepada penduduk Islam supaya mereka memahami betapa pentingnya keamanan dalam usaha mencapai kemakmuran.

Sesi berkenaan pernah disertai oleh bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Jamil Khir Baharom yang ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
....................................

Ini pula tulisan dalam penarikbeca.blogspot.com sebelum muktamar.

Email itu ialah mengenai Task Force 2010 ditubuhkan atas dasar mengembalikan kestabilan di Selatan Thai. Ia diketuai oleh seorang berpangkat Jeneral daripada Kor Risik yang dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri.

Beliau adalah Dato’ Wan Abu Bakar yang berasal dari Terengganu.

Email itu menuduh Ustaz Nasharudin Mat Isa telah terlibat dengan Task Force ini dan telah dua kali menguruskan pertemuan diantara Dato’ Wan Abu Bakar dengan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bagaimanapun, menurut email itu, Tuan Guru dengan jelas tidak mahu terlibat dengan agenda Task Force 2010 tersebut.

Nasib baik, menurut email itu lagi, Tuan Guru Nik Aziz tidak mahu membabitkan diri.

Ini kerana tidak lama kemudian, menurut email itu, agenda Task Force ini kemudiannya berubah kepada agenda perpaduan Melayu. Ianya mengalih isu Selatan Thai kepada isu menyelamatkan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi 'beyond 2010', menurut email itu. Tahun 2010 ialah tahun asal transisi kuasa antara Abdullah kepada Najib.

Email itu mendakwa, Task Force ini digembeling oleh Dato’ Wan Abu Bakar dan Nasharuddin Mat Isa untuk menganjurkan beberapa pertemuan di antara pemimpin tertinggi UMNO dengan beberapa pemimpin PAS. Akhirnya, Abdullah Badawi membuat pengakuan bahawa sedang ada rundingan antara kedua-dua parti tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah dan Muhyidin Yassin bagaimanapun berjaya membangkitkan keberanian terbuka ahli-ahli Majlis tertinggi UMNO dan pemberontakan dalaman berlaku mengakibatkan Abdullah terpaksa berundur sebelum 2010.

Email itu menuduh "Task Force ini juga terlibat dengan mendedahkan maklumat-maklumat Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia yang bertujuan menjatuhkan Najib Razak. Antaranya ialah mendedahkan maklumat pembunuhan Altantunya kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan kemudian kepada Raja Petra Kamaruddin".

Setelah ketiadaan Abdullah, dakwa email itu, ada usaha untuk mengekalkan semula Task Force ini. Pertemuan di antara wakil Task Force bersama Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi diadakan, dakwa email itu.

Bagaimanapun, dakwa email itu lagi, Najib Razak tidak berminat kerana dia tahu dan sedar apa yang telah dilakukan oleh Task Force ini ke atasnya. Namun akhirnya, dakwa email itu lagi, Najib lembut hati apabila nama Nasharudin Mat Isa dibangkitkan.

Email itu selanjutnya mendakwa, antara yang akan menjadi usaha terkininya ialah mengembalikan kegemilangan BN dengan membawa semula PAS ke dalamnya. Email itu seterusnya yakin Najib Razak akan menerimanya kerana ia akan meneruskan legasi ayahandanya.

Seterusnya email itu mengemukakan dua persoalan:

Apakah peranan Utusan Malaysia di dalam keprihatinan tiba-tiba terhadap PAS adalah sebahagian daripada agenda Task Force 2010?

Email itu mendakwa "Ya"

Siapakah Nasharuddin Mat Isa?

Email itu menjawab, tanya Dato Wan Abu Bakar.

Di bawah sekali tertulis seperti berikut:
Ikhlas,
Hassan
..........................................

Dalam artikel kickdefella.wordpress.com pula, satu pakatan konspirasi yang lebih teruk didedahkan.

Bukankah saya sudah dedahkan di blog ini bahawa PAS akan dibawa menyertai Barisan Nasional pada bulan Jun 2009? Bukankah ramai yang terkejut dan ramai juga yang memaki hamun saya dengan pelbagai bahasa yang indah-indah. Dan bukankah ramai sudah terlupa apa yang saya tuliskan itu.

Saya bukan Nujum Pak Belalang, saya bukan kaki temberang. Tetapi apa yang jelas ialah, pada penghujung April 2009 yang lalu, pemimpin-pemimpin sebuah parti komponen Barisan Nasional (bukan UMNO) telah di dalam beberapa sessi bertemu akar umbi memberitahu bahawa PAS akan dibawa menyertai BN pada bulan Jun 2009.

Khabarnya pada hari ini, 3 dari setiap 4 ahli parti itu mahu parti komponen tersebut segera tinggalkan BN. Parti tersebut lebih rela bersama musuh tradisinya sebagai pembangkang daripada melihat air liur mereka yang diludah ke langit sekian lama jatuh ke muka sendiri.

Bagaimana parti tersebut mendapat tahu bahawa PAS akan menyertai BN pada bulan Jun? Apakah parti itu telah diberi taklimat terlebih dahulu tentang perkara tersebut. Apakah parti-parti komponen BN yang lain juga tahu akan perkara ini?

Selepas UMNO gagal mengundang PAS menubuhkan kerajaan bersama di Selangor dan Perak pada 9 Mac 2008 dan beberapa hari kemudiannya, kedudukan Abdullah Ahmad Badawi menjadi begitu tidak stabil. Sebuah badan bernama TASK FORCE 2010 ditubuhkan dengan diketuai oleh Bekas Atache Tentera Malaysia ke Pakistan dan Pegawai Tinggi dalam Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia. Pegawai tersebut kini dipinjamkan ke Jabatan Perdana Menteri. Beliau anak kelahiran Terengganu dan bernama Wan Abu Bakar.

Leftenan Jeneral Dato’ Wan Abu Bakar Omar, Ketua kepada Nasharuddin Mat Isa di dalam “Agenda Melayu”

Tujuannya ialah mempertahankan Abdullah Ahmad Badawi. Cara untuk mempertahankan Abdullah ialah dengan menggunakan agenda Melayu. Agenda Perpaduan Melayu ini telah menarik Nasharuddin Mat Isa untuk bersama dengan Dato’ Wan Abu Bakar. Hanya Nasharuddin yang dapat memberi penjelasan sejauh mana penglibatannya dan samada penglibatannya itu dibayar dengan wang ringgit.

Bagaimanapun TF2010 ini gagal untuk membuahkan hasil bila Majlis Tertinggi UMNO bangkit memberontak dan menggulingkan Pak Lah akibat tekanan perang saraf 16 September oleh Anwar Ibrahim.

Berkemungkinan besar, 16 September hanyalah satu ilusi dan serangan saraf. Apa yang Anwar Ibrahim mahukan ialah berlaku peralihan kuasa segera di dalam UMNO. Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin yang bersamanya tahu bahawa mereka perlukan satu peralihan kuasa di dalam UMNO untuk memberi ruang kepada yang Di Pertuan Agung melantik Perdana Menteri baru selepas Perdana Menteri yang dilantik sebelumnya meletakkan jawatan.

Diluar ruang lingkup pengetahuan media dan golongan massa, satu usaha membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan sebenar telah dibincangkan. Ustaz Hadi, Presiden PAS tidak berbohong bila dia berkata idea Kerajaan Perpaduan telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat. Tetapi ini tidak bermakna Haji Hadi bercakap benar. Ini kerana Kerajaan Perpaduan yang dirancang pada ketika itu bukanlah Kerajaan Perpaduan cap ayam yang menggabungkan Kerajaan yang ada pada ketika itu dengan pembangkang. Sebaliknya ia adalah sebuah kerajaan alternatif yang bakal menggantikan Kerajaan sedia ada.

Nasharuddin bersama rakan dalam Pakatan yang cuba ditikam belakang dalam gelap olehnya

Kerajaan Perpaduan yang cuba diusahakan pada ketika itu ialah di antara PKR, DAP dan PAS dengan beberapa parti politik kecil yang lain beserta beberapa pemimpin yang juga ahli Dewan Rakyat Melayu dari UMNO.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan surat perletakkan jawatannya kepada YDP Agong, pembangkang akan mencadangkan pula kepada istana untuk mengambil kira penubuhan Kerajaan Alternatif yang dicadangkan oleh mereka.

Awal April itu, pembangkang sudah begitu hampir untuk menubuhkan sebuah Kerajaan baru. Sukar di buat spekulasi apa yang menggagalkan mereka. Namun kalau ditelitikan, beberapa minggu sebelum perletakkan jawatan Abdullah, Ustaz Hadi telah mengumumkan cadangan sebuah Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perpaduan itu adalah di antara BN dan pembangkang.

Apakah ini bermakna Haji Hadi tidak menyetujui Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat sendiri lantaran beliau mengambil inisiatif sendiri dan mencadangkan yang sebaliknya?

Ramai yang melihat Kerajaan Perpaduan yang dianjurkan oleh Haji Hadi adalah satu usaha terakhir oleh segelintir pemimpin didalam PAS untuk menyelamatkan Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun, sudah tentu pada waktu itu, Wan Abu Bakar sendiri sudah tahu bahawa kedudukan Abdullah mustahil untuk diselematkan lagi.

Oleh yang demikian, cadangan Kerajaan Perpaduan oleh Hadi sebenarnya adalah bukti penentangan Hadi terhadap kerajaan alternatif yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat sendiri.

Isu agenda Melayu hanyalah satu perang saraf anjuran TF2010 dan usaha di antara Wan Abu Bakar dan Nasharuddin Mat Isa. Apakah Melayu lebih lemah hari ini berbanding dengan 1988 dan 1999? Apabila UMNO diharamkan, Barisan Nasional telah pada satu ketika dipengerusikan oleh Presiden MCA. Ahli-ahli Dewan Rakyat dari UMNO telah menjadi anggota bebas buat seketika. Pada saat dan ketika itu, kewujudan dan penerimaan semula UMNO (BARU) kedalam BN berada di tangan bukan Melayu.

Pada tahun 1999, pengundi-pengundi Melayu telah secara beramai-ramai mengenepikan UMNO. UMNO dan BN terselamat dan masih berjaya mempertahankan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat dengan bersandarkan sokongan padu bukan Melayu. UMNO kehilangan Terengganu iaitu negeri yang paling tinggi penduduk Melayu. Pemimpin-pemimpin besar UMNO ramai yang menang tipis termasuklah Najib Razak sendiri. Sekali lagi penguasaan politik Melayu berada dalam genggaman Bukan Melayu.

Tetapi dalam tahun 2008, majoriti orang Melayu mengundi UMNO dan Barisan Nasional, tetapi kegagalan BN mempertahankan majoriti 2/3 nya dan prestasi buruknya di Semenanjung Malaysia ialah kerana pengundi Bukan Melayu telah menolak BN.

UMNO sebenarnya semakin kukuh kerana peratusan perwakilannya semakin meningkat berbanding dengan rakan kongsi dalam BN.

Kehadiran ahli-ahli Parlimen Melayu dan Islam di Dewan Rakyat juga masih majoriti. Di dalam BN, UMNO semakin besar pengaruhnya kerana parti-parti komponen yang lainnya semakin lemah. Jadi mengapa mahu di laung-laungkan agenda Melayu?

Bukankah usaha sebenar yang patut UMNO lakukan ialah mengembalikan kepercayaan Bukan Melayu kepadanya. Agenda Melayu itu sebenarnya adalah satu perang saraf dan UMNO telah menang di dalam perang saraf tersebut.

PAS adalah biawak hidup yang sudah tentu UMNO tidak mahu memikulnya ke dalam BN. Pemimpin UMNO sedar kemasukan PAS ke dalam BN hanya akan mempercepatkan kehancuran BN dengan menimbulkan kemarahan parti-parti komponennya.

Kemasukkan PAS ke dalam BN juga akan menyebabkan pengundi Bukan Melayu merasa mereka dikhianati oleh PAS, lantaran mereka sudah tentu semakin benci kepada BN.

Agenda Melayu sebenarnya adalah satu racun, sama seperti sejenis racun lipas. Apabila racun itu dimakan lipas, lipas tersebut akan kembali ke sarangnya dan mati. Seluruh tubuh lipas itu menjadi racun. Lipas-lipas lain yang memakan lipas beracun itu akan mati dan seterusnya ini akan memusnahkan koloni lipas tersebut.

PAS sudah termakan racun tersebut. Apakah kelak ini akan menular ke seluruh koloni pembangkang?

Haji Hadi sendiri merangkak di dalam kesamaran yang penuh dengan kontradiksi bila bercakap tentang Kerajaan Perpaduan yang ditajanya. Keadaan semasa semakin bertimpa-timpa kekeliruan yang mencelarukan. PAS mahu terus bersama Pakatan Rakyat tetapi PAS mahu terus berunding dengan UMNO. Bukankah ini sebenarnya adalah agenda UMNO.

Sudah tentu UMNO mahu PAS terus berunding dengannya supaya UMNO boleh dilihat ikhlas mempertahankan penguasaan Melayu dalam arena politik dan menerusi rundingan ini, kredibiliti PAS di kalangan pengundi-pengundinya akan semakin luntur.

Pada waktu yang sama UMNO sudah tentu mahu PAS terus bersama Pakatan Rakyat kerana kemasukan PAS ke dalam BN hanya akan mempercepatkan kehancuran BN dan bukan membantu membaik pulih BN untuk berdepan dengan pilihanraya akan datang. Dengan PAS terus berada di dalam Pakatan juga, UMNO boleh terus menggunakan ketidak tentuan dalam PAS untuk menghancurkan Pakatan.

Oleh yang demikian, bila anda mendengar ada di antara pemimpin-pemimpin PAS berkata, “kita akan terus berunding dengan UMNO dan akan terus bersama Pakatan”, fikirlah masak-masak dan ingatlah kalimah ‘Boneka UMNO’ yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz yang amat-amat kita sayangi itu.

............................................................
Rasa2nya boleh percaya ke pendedahan ini? Atau ia hanya usaha2 untuk 'membunuh ' karakter Ustaz Nasha?. Secara tidak langsung, ia turut 'membunuh' karakter Tuan Guru Presiden Pas!!! Anwar Ibrahim jumpa Umno BN bukan isu, Lim Kit Siang jumpan Umno BN demi Pulau Pinang pun bukan isu. Tapi kalau Tuan Guru Presiden yang mereka panggil Ustaz Hadi, itu isu besar!!! Pembaca fikirkan masak2.

No comments:

Related Posts with Thumbnails